HIBURAN
ARKIB : 06/06/2007
Jefrydin masih gagah di pentas
SEMUA orang tahu Jefrydin adalah penyanyi 60-an yang terkenal dengan lagu Kenanganku, Mengapa Termenung dan Seruling Anak Gembala.
Lagu-lagu dendangannya, baik yang dirakam bersama kumpulan The Siglap Five mahupun secara solo tetap segar hingga kini.
Justeru pada usia 60 tahun kini, Jefrydin masih aktif menyanyi biarpun penyanyi baru silih berganti.
Sebenarnya tidak ada sebarang rahsia penyanyi ini bertahan lama. Apa yang sering dilakukannya ialah menjaga keperibadian sebagai penyanyi.
Katanya, “Kita perlu jaga peribadi kerana orang bukan sekadar mendengar nyanyian tapi mereka turut menilai budi bahasa dan cara kita melayan peminat.
“Biar dalam keadaan penat sekali pun, jangan sombong dengan orang dan elakkan daripada menganggap diri adalah yang terbaik,” katanya yang mengelak daripada minum minuman sejuk, pedas dan berminyak untuk menjaga suara.
Selain keperibadian yang baik, katanya kesihatan juga perlu dijaga.
“Setiap hari saya mengambil masa paling lama 20 minit untuk membuat senaman atau pergerakan silat. Selalunya pergerakan itu berbeza setiap hari. Dalam usia sekarang, kesihatan perlu dijaga,” kata Jefrydin.
Bagi memperbaiki gaya persembahannya pula, penyanyi yang terkenal dengan sifat pemalu itu sering menonton video cakera padat (VCD) konsert Elvis Presley, Tom Jones, Engelbert Humperdinck, Tony Christie dan Rod Stewart.
“Saya tidak pernah mengikuti kelas tarian. Sebab itu saya berpandukan kepada konsert yang ditonton menerusi VCD untuk memberikan saya ilham menari ketika persembahan,” katanya terus terang.
Sebagai penyanyi, Jefrydin juga begitu prihatin tentang pakaiannya.
“Walaupun penyanyi lelaki, orang akan perasan kalau kita asyik pakai baju yang sama. Selalunya kalau ada majlis besar, sebulan sebelum acara saya akan tempah pakaian baru,” katanya yang tidak pernah berhasrat untuk menjual baju-baju show itu walaupun untuk majlis amal.
Bagaimanapun Jefrydin mempunyai cara tersendiri untuk menghulurkan bantuan. Kadang kala dirinya umpama wakil rakyat kerana ada sahaja surat daripada pihak-pihak yang tidak dikenali meminta bantuan kewangan.
“Kalau surat minta bantuan daripada rumah kebajikan atau badan-badan amal, saya kirimkan melalui pejabat pos. Pada saya banyak atau sikit bantuan itu tidak penting. Tapi biarlah ikhlas,” katanya.
Cipta lagu
Selain menyanyi Jefrydin juga berkebolehan mencipta lagu. Katanya lagu Mengapa Termenung, dicipta hasil daripada pemerhatiannya terhadap seseorang.
“Waktu itu setiap kali pulang dari sekolah dengan berbasikal, saya akan nampak orang ini termenung di tingkap. Dari situ datang idea cipta lagu Mengapa Termenung.
“Lagu Kasih Kau Pergi adalah kisah kawan saya. Setiap lagu ciptaan saya ada cerita di sebaliknya,” kata Jefrydin yang ditemui di kediamannya di Subang Perdana, Selangor baru-baru ini.
Dia yang pernah belajar di Sekolah Tangling Tinggi, Singapura dan kemudian meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Siglap di Toa Payoh kini merancang untuk menghasilkan album baru.
Kata Jefrydin, kemungkinan besar dia akan bergandingan dengan komposer masa kini.
“Saya cadang menggabungkan konsep pop yeh-yeh dengan muzik masa kini untuk album baru itu. Mungkin saya akan menjadi produser bersama dan album itu akan diterbitkan dengan kos sendiri,” katanya yang pernah menjadi pengutip bola tenis sambilan di sebuah kelab rekreasi di Singapura sewaktu berusia 15 tahun.
Sekarang ini kerjaya seni Jefrydin diuruskan oleh isterinya, Rashidah Abdullah, 50, yang bertindak sebagai pengurus.
Bersama The Rhythm Boys
Sebelum bersama The Siglap Five, Jefrydin terlebih dahulu menyanyi bersama kumpulan The Rhythm Boys (sebelum A.Ramlie menyertainya).
Suatu hari ketika menyanyi di majlis orang kahwin di Singapura, seorang pengurus syarikat rakaman keturunan Cina-Indonesia, Mr. Lee, terpandang persembahannya.
Terus Mr. Lee tawarkannya kontrak buat album tetapi dengan kumpulan Siglap Five yang dianggotai oleh Hamidon Zaini (keyboard), A. Karim Ahmad (gitar utama), Kamsin Ahmad (gitar kedua/irama) dan Ahmad Ali (bass). ‘Siglap’ diambil sempena nama kampung anggota kumpulan tersebut iaitu Kampung Siglap sementara ‘Five’ melambangkan keanggotaan kumpulan itu seramai lima orang.
Hibur tentera di Vietnam
Bidang nyanyian juga telah membawa Jefrydin ke Vietnam pada tahun 1967 untuk menghibur tentera Amerika Syarikat.
“Sebulan saya bersama anggota Siglap Five berada di sana bersama penyanyi dan pemuzik dari Amerika Syarikat, Australia dan Filipina.
“Kami ditugaskan menghibur ribuan tentera Amerika Syarikat di tiga kem berasingan,” imbaunya yang turut menerima sepucuk pistol sebagai kenangan pada lawatannya itu.
Bagaimanapun pemberian tersebut tidak dapat dibawa balik ke Singapura.
Biodata
Nama sebenar: Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman
Umur: 60 tahun
Asal: Jalan Sophia, Singapura
Keluarga: Anak sulung daripada dua beradik
Isteri: Rashidah Abdullah, 50
Anak-anak: Raden Arjuna Mirko,27 (pramugara), Raden Wira Sukma, 21 (mahasiswa di Universiti Selangor) dan Raden Ratna Sari Dewi, 17 tahun (pelajar).
Antara albumnya: Seruling Anak Gembala, Kenanganku, Seruling Bambu, Sendiri, Jessi 10 Pujaanku (1979), Mas Mona 1 (1993), Pertemuan (1994), Tiada Bayangan Cinta (1997), Nostalgia Hari Raya Bersama Artis Legenda (1999) dan Mas Mona II (1999)
Filem: Aksi Kucing (1966), Kisah Seorang Biduan (1980) dan Penagih Dadah (1980)
Anugerah: Separuh Akhir Bintang Radio 1964, Anugerah Seniman Veteran di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006
Penghargaan: Ahli Mahkota Perak (AMP) dari Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2002
Kasih Malaysia - Vietnam
Cinta atau sahabat
Erin belum jawab!
Komitmen Nad Zainal
Du’a tumpang populariti?
Awi Rafael tidak kisah
Afee Utopia kini 'duta'
Kenapa Faizal Tahir kurus?
Papar kehidupan masyarakat Asia
Tidak salahkan media
Belum fikir pencen
Cinta diuji
MLTR kembali
Chacha temui cinta baharu
Madeena buah hati Mizz Nina
Ihsan insani Azmil Mustapha
‘Wanita tak suka saya’
Pernah berpisah
Watak kameo beri impak
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||












