saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/06/2007

Apabila NGO jadi parti

Semasa mengikuti pelancaran Parti Keadilan Nasional (Keadilan) di Hotel Renaisance, Kuala Lumpur pada April 1999, seorang aktivis sosial membisikkan, “Keadilan lebih baik terus menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi bukan parti politik.”

Aktivis sosial itu melihat Keadilan tidak mempunyai laras perjuangan yang jelas sebagai parti politik. Idealisme memperjuangkan keadilan sesuai untuk NGO seperti Pergerakan Keadilan Sosial (Adil). Untuk sebuah parti politik, idealisme saja tidak cukup. Mimpi parti politik selalunya lebih besar dari kenyataan tetapi NGO tidak begitu.

Sebuah parti politik yang didukung idealisme perjuangan sebesar mana sekalipun tetapi tidak realistik, perjuangan tersasar dan tidak menjadi realiti. Akhirnya rakyat akan bertanya, ‘‘Berjuang untuk apa?’’

Setiap parti politik secara dasarnya memperjuangkan keadilan sosial. Tidak ada parti yang tidak memperjuangkan keadilan sosial. Kerana itu sejak awal lagi kehadiran Keadilan di pentas politik kelihatan sedikit aneh.

Baru-baru ini gelombang besar merempuh Parti Keadilan Rakyat (PKR) nama baru selepas bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) ketika Kongres Nasional PKR di Seremban. Beberapa ‘‘orang kuat’’ PKR mendedahkan berlaku ‘‘ketidakadilan’’ dalam parti yang memperjuangkan keadilan.

Perebutan jawatan dalam parti menjadi agenda lebih penting daripada menentukan arah tuju PKR. Maka yang kelihatan ialah banyak mahukan jawatan daripada menzahirkan idealisme PKR. Ini membuatkan ada yang merajuk dan membuat pendedahan untuk menjatuhkan pucuk pimpinan.

Kelam-kabut yang berlaku semasa kongres kali ini sebenarnya bukanlah kerana rayuan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Penolakan ROS hanya faktor kecil yang tidak seharusnya menjadikan PKR sedemikian rupa.

Kita kena ingat, PKR adalah kelangsungan NGO Adil yang ditubuhkan oleh Wan Azizah untuk memperjuangkan Anwar yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menghadapi tuduhan rasuah. Ketika Adil ditubuhkan tahun 1998, isu Anwar tengah menggelegak.

Tetapi demonstrasi jalanan yang mengeruhkan Kuala Lumpur ketika itu tidak boleh dijadikan penanda aras untuk sebuah NGO berubah menjadi parti politik.

Kalau mengikut teori politik, dalam banyak hal operasi sebuah parti politik tidak sama dengan NGO. Inti pati perjuangan Adil ialah sebuah badan sosial yang melakukan reformasi politik, ekonomi dan sosial. Bagaimanapun banyak orang tahu Adil berjuang untuk Anwar sebab ia ditubuhkan selepas Anwar jatuh.

*Marah

Maka selepas suasana ‘‘panas dan membahang’’ pada 1998, yang dulunya marah-marah kini sudah kembali waras. Dan mereka bertanya, ‘‘Apakah selama ini terutama ketika Anwar dalam kerajaan tidak ada keadilan politik, ekonomi dan sosial?’’

Satu lagi apabila Anwar mahu menentang isterinya sendiri, Wan Azizah untuk jawatan tertinggi, ini membuka banyak persoalan kepada mereka yang menyokong perjuangan Adil sebagai sebuah NGO. Kenapa berebut jawatan? Daripada perspektif NGO, ini cukup aneh tapi inilah strategi politik.

Walaupun memperjuangkan keadilan politik tetapi apabila sembilan ketua bahagian bertindak keluar parti beramai-ramai termasuk Datuk K. Nallakaruppan, kemelut PKR bukanlah di kongres ini. Kemelut, perebutan dan autokrasi telah lama dalam PKR. Sebahagian yang ada dalam PKR termasuk yang memegang jawatan adalah individu yang kecewa. Mereka mahu menebus kekecewaan. Maka apabila satu gerakan politik sarat dengan dendam dan kecewa peribadi, laras perjuangan parti untuk rakyat sudah tidak ada lagi.

Nalla sebenarnya bukanlah orang politik, jauh sekali seorang tokoh politik. Kewujudan Nalla dalam PKR tidak banyak menyumbangkan kepada parti. Ini kerana Nalla jauh lebih kecil pengaruh dan prinsip politiknya berbanding tokoh kiri seperti Syed Hussin Ali. Tetapi peletakan jawatan Nalla memberikan kesan politik yang besar kepada PKR.

Apabila Nalla yang mengakui mengenali dan rapat dengan Anwar sejak 30 tahun lalu tersinggung dengan tindakan Anwar, ini memberikan gambaran ada sesuatu yang tidak kena dalam PKR. Anwar menghalang Nalla daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Ijok baru-baru ini. Peluang bertanding diberikan kepada tokoh korporat Tan Sri Khalid Ibrahim. Nalla kecewa lagi apabila di kongres ini Anwar meminta dia tidak bertanding jawatan naib presiden. Lalu dalam barisan calon naib presiden adalah orang pilihan Anwar.

Apa yang kita lihat pada zahirnya kemelut PKR bertolak daripada perebutan jawatan, kronisme dan autokrasi pemimpin tertinggi. Tetapi kalau semua orang diberi jawatan sekalipun, ia tidak mungkin menyelesaikan masalah PKR sebagai sebuah parti politik yang asalnya sebuah NGO.

Maka yang menjadi isu bukan saja perebutan jawatan tetapi laras perjuangan yang kabur sebagai sebuah parti politik. Lalu gelombang yang melanda semasa kongres memberi isyarat jangka hayat PKR sebagai sebuah parti politik. Kocakan di dalam nampaknya tidak terbendung, perjuangan menuntut keadilan sosial, politik dan ekonomi lebih kepada kosmetik untuk mencantikkan PKR. Dengan kocakan dalam PKR dan gelombang pilihan raya yang semakin hampir, tentunya inilah waktu yang paling genting bagi PKR yang jatuh merudum dalam pilihan raya 2004. Apakah PKR juga memerlukan reformasi politik supaya ada perjuangan untuk rakyat dan tidak hanya untuk individu?

– KU SEMAN KU HUSSAIN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.