saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 20/06/2007

Mariani dibenci kerana watak

TIADA secebis pun kenangan pahit yang terpalit di minda seniwati Mariani tatkala ditanya tentang pengalamannya sewaktu menjadi anak wayang di Studio Jalan Ampas, Singapura.

Bagi Mariani sepanjang tempoh berkampung di Jalan Ampas dari tahun 1953 hingga 1970, adalah saat yang membahagiakan kerana ditatang bagai minyak yang penuh.

Katanya, pemilik Studio Jalan Ampas, Tan Seri Run Run Shaw sentiasa mengutamakan kehendak pelakon.

“Semua pelakon disediakan rumah, api atau air tidak perlu bayar. Cakap sahaja nak kereta apa, mesti disediakan. Begitu juga kalau nak beli baju, taukeh kedai akan datang bawa baju untuk kami pilih.

“Ketika itu kami mendapat layanan kelas pertama. Kalau ada pelakon Hollywood atau Bollywood yang datang, pasti kami akan makan malam bersama. Setakat Elizabeth Taylor, John Wayne, Marlon Brandon dan Alfred Hitchock semuanya telah datang ke Studio Jalan Ampas,” cerita Mariani sewaktu ditemui di kediamannya di Jalan Peel, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Cuma satu sahaja katanya, sepanjang tempoh menetap di kawasan studio Jalan Ampas, para pelakon tidak bebas untuk bergaul dengan orang luar.

Mariani yang lebih senang membahasakan diri sebagai Mami berkata, dia pernah mendapat tunjuk ajar menari daripada pelakon Bollywood, Gita Bali iaitu isteri kepada aktor Shammi Kapoor.

Jelasnya, ketika Gita melawat studio, dia sedang menjalani latihan tarian untuk filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di bawah pimpinan Siput Sarawak.

“Rupa-rupanya dia tertarik dengan gerak tari Melayu dan akhirnya mami menarikan tarian gabungan Melayu dan Hindi untuk filem tersebut,” katanya yang pernah mendapat tunjuk ajar menari daripada allahyarham Normadiah.

Normadiah merupakan guru tarinya yang kedua dan sering menggunakan rotan untuk melatih pelakon menari.

Bakat tarian Mariani dapat dilihat menerusi filem pertama lakonannya, Cemburu arahan S.Ramanathan yang diterbitkan pada tahun 1953.

“Biasalah pelakon dulu mesti tahu berlakon, menari dan menyanyi. Sebenarnya mami tidak pernah terfikir untuk buat semua itu. Cita-cita mami hendak menjadi doktor tapi terjebak dalam dunia seni kerana didesak oleh Saloma.

“Dia yang menyuruh mami berlakon. Sewaktu mami menang pertandingan ratu cantik pada tahun 1951 (usia 17 tahun), Shaw Brothers tawar untuk berlakon tapi mami tolak kerana mami nak masuk Raffles Girls School sebab nak jadi doktor. Bagaimanapun dua tahun kemudian bila Saloma paksa mami supaya cuba berlakon, mami ikut,” imbasnya semula.

Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 74, berkata kemunculannya dalam filem Cemburu mendapat reaksi baik daripada orang ramai sehinggakan ada yang membencinya.

“Bagi mami berlakon dalam filem Cemburu itu biasa sahaja. Bila buat promosi, ada yang meludah mami kerana benci melihat mami sebagai wanita jahat.

“Bila mami cerita pada bos yang mami kena ludah, dia ketawa dan kata itu tanda mami berbakat. Sejak itulah mami ambil serius bidang lakonan,” katanya yang pernah bergandingan dengan allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Labu Labi.

Dia yang sering diberi watak jahat itu pernah berlakon filem Hong Kong berjudul Black Gold pada tahun 1953 yang menjalani penggambaran di Cameron Highlands.

Pada tahun lalu, Mariani turut mendapat tawaran berlakon filem Hindi namun terpaksa ditolak kerana ada komitmen lain.

“Mami ditawar berlakon filem Hindi kerana Mami boleh bercakap Hindi. Mami belajar dari TV sahaja. Kalau sudah bertahun asyik tengok filem Hindi, mestilah tahu. Bahasa Tamil pun mami tahu sebab sewaktu di Singapura, mami bergaul dengan kaum India,” katanya yang dilahirkan di Tanjung Pagam, Singapura.

Dia yang mempunyai 13 orang anak hasil daripada tiga perkahwinan, 25 cucu dan empat cicit itu telah hidup menjanda sejak 25 tahun lalu ketika Melissa Saila berusia 9 tahun lagi.

Bersama suami pertama, Allahyarham Darus, Mariani dikurniakan dua anak, Noraini dan Normala. Bersama suami kedua, Allahyarham HM Rohaizad, Mariani mendapat enam anak - Sharifah Haslinda, Sharifah Rozita, Syed Herwaini, kembar Syed Marhain dan Syed Nazran serta Syed Hasnidan. Bersama suami ketiga, Alias, Mariani memperoleh lima anak - Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melissa Saila.

Mariani yang kini menetap bersama cucu kesayangannya, Lea Marini, 14, berkata, setiap kali musim perayaan, dia akan menyambutnya di Singapura kerana kebanyakan anak-anaknya menetap di sana.

Pelakon yang begitu komited dengan dunia lakonan itu juga pernah ditawar menjadi penyanyi rakaman setelah bakat nyanyiannya dicungkil menerusi filem Darah Muda.

Bagaimanapun tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana terikat kontrak sebagai pelakon dengan Shaw Brothers.

Namun ketika era kegemilangannya, Mariani sering mengadakan persembahan pentas dan antara lagu yang sering didendangkan ialah Idaman Kalbu dari filem Labu Labi, Jikalau Abang Merindu dan lagu dari filem Cemburu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.