saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 01/07/2007

Kenapa Ali botakkan kepala?

Ali XPDC? Bukan! Dia tidak mahu nama itu lagi. Kalau boleh jangan sesekali mengaitkan nama tersebut. Bukan berpatah arang berkerat rotan tetapi nama XPDC sudah menjadi milik orang lain. Dia tidak ada hak membawanya meskipun pernah bersama kumpulan itu untuk sekian lama.

Bagi Ali atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail, walaupun XPDC memahat sejarah pahit dan manis tetapi apa yang penyanyi rock itu mahukan peminat mengenalinya sebagai bintang yang baru.

Baru bukan dari erti kata pengalaman yang ditimba sebaliknya baru bersama empayar yang sedang diciptanya ketika ini.

Kira-kira setahun meninggalkan XPDC, yang pasti penyanyi itu yakin Mpire yang ditubuh mampu membawa tuah terhadapnya.

Kerana itulah Ali membuat keputusan nekad untuk mencari perubahan baru berbeza dengan imej yang ditonton oleh orang ramai sebelum ini.

Mengambil masa sepuluh tahun ‘membela’ rambut untuk menyesuaikan dirinya dengan imej rock yang dibawa, akhirnya Ali membuat satu keputusan nekad.

Tidak bernazar apa-apa tetapi tindakannya membotakkan kepala semata-mata untuk mencari kelainan ataupun angin baru bersama kumpulan Mpire.

“Sudah berkali-kali saya memikirkan untuk membotakkan kepala dan akhirnya saya buat. Sayang akan rambut sebelum ini yang ‘dibela’ sekian lama tapi tak apalah ini semua wajah baru.

“Saya juga tak mahu orang mengingati saya sebagai Ali yang lama (ketika bersama XPDC) sebaliknya Ali yang baru,” ujanya.

Berusia 29 tahun, Ali yang kelihatan masih steady dan awet muda ini yakin peminat-peminatnya akan menerima imej barunya ini.

Kata Ali, botak atau tidak, rock tetap rock. Dia tidak akan berubah walaupun rambutnya sudah menjadi dogol pada ketika ini.

Bersesuaian dengan imej barunya itu, maka Julai akan datang lahirlah album yang pertamanya sejak keluar dari kumpulan lamanya.

Mengambil judul nama kumpulan sebagai tajuk album, Mpire akan diedarkan kepada umum pada 7 Julai ini.

Dan peminat rock yang sudah lama menantikan album ini akan turut menggoyangkan kepala mereka tanda gembira selepas sekian lama penyanyi itu diam membisu.

“Saya mendapat tekanan daripada peminat yang saban hari bertanya bilakah album saya hendak dipasarkan?

“Dan saya percaya, kehadiran album ini tentunya dapat menghilangkan kerinduan mereka untuk mendengar jeritan suara saya selama ini,” katanya.

Album berkonsepkan hard rock itu cukup istimewa bagi Ali kerana ia memuatkan dua buah lagu ciptaan Allahyarham J.S Kevin iaitu Peringatan Dari Yang Satu dan Angin Si Taring.

Dengan rasa terharu ketika merakamkan lagu itu Ali masih membayangkan J.S Kevin yang mewasiatkan lagu berkenaan kepadanya sebelum meninggal dunia.

“Arwah bagi lagu itu kepada rakannya untuk diberikan kepada saya sebelum dia meninggal dunia. Alhamdulillah saya merakamkan lagu itu dengan baik,” katanya yang begitu rapat dengan Allahyarham.

Selain J.S Kevin, papa rock – Ramli Sarip turut menyumbangkan lagu untuknya iaitu Janji Kita selain Zaki yang mencipta lagu Hasrat.

Pada ketika ini lagu Hasrat yang sedikit sebanyak ada kena-mengena dengan kehidupan Ali telah diputarkan di beberapa stesen radio termasuk KL FM dan Muzik FM.

Ada bisnes sendiri

Ketika sibuk menyiapkan lagu untuk album barunya itu, dalam masa yang sama Ali mengambil peluang membuka studio serta pejabat Empayar Kita Sdn. Bhd.

Syarikat yang menyediakan kelengkapan sistem bunyi dan lampu serta pengurusan pentas untuk persembahan seperti konsert itu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Antara syarikat yang pernah menggunakan kelengkapan itu ialah Hotel Quality ketika menganjurkan Minggu Setiausaha Mawi dan Rossa, majlis belia serta beberapa syarikat korporat lain.

Sudah lama ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan, penyanyi itu menaruh keyakinan jika ada keikhlasan tentunya Tuhan itu akan membuka rezeki dan ruang yang seluas-luas untuknya.

“Setakat ini studio yang saya buka hanyalah untuk mengadakan latihan sendiri dan jika tiada latihan, saya memberi perhatian terhadap kerja-kerja penyewaan sistem bunyi dan lampu,” katanya.

Menurut Ali, sekiranya ada pihak yang ingin menyewa peralatan berkenaan ataupun mengundangnya bagi pertunjukan pentas bolehlah menghubungi syarikatnya di talian 03-

90748921.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.