saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/07/2007

Luscious mengejar kerlipan bintang


Luscious dari kiri: Nadia, Eenaz dan Ruzana.


Siapa Luscious?. Ya! Siapa yang kenal dengan nama itu seandainya tiga gadis manis ini tidak menyertai pertandingan TV realiti Gang Starz yang berakhir pada 17 Jun lalu.

Bukan sahaja kerana program anjuran TV3 itu menawarkan hadiah kemenangan wang tunai paling tinggi berjumlah AS$100,000 (RM350,000) tetapi lebih utama, mereka ialah satu-satunya kumpulan yang anggotanya semua wanita.

Selain bertanding dengan para peserta dari negara ini, mereka juga perlu berentap dengan kumpulan dari dua negara Asia lain termasuk Indonesia dan Singapura.

Biar nasib tidak menyebelahi mereka apabila tersingkir pada persembahan episod kelapan, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengejar kerjaya sebagai sebuah kumpulan penyanyi wanita.

Luscious kini giat mempersiapkan diri untuk menghasilkan album sulung.

Kata anggotanya; Eenaz, Nadia dan Ruzana, mereka mahu menghasilkan sendiri lagu, susunan muzik dan liriknya.

Mereka sendiri mampu bermain alat muzik khususnya piano dan mengakui setiap lagu yang terhasil untuk album itu nanti adalah hasil buah tangan mereka sendiri.

“Kami mahu pendengar menghayati muzik dan cita rasa kami. Itu intonasi kami. Dan kami berharap, album itu mampu menjadi sebuah inspirasi kepada pendengar,” kata mereka.

Konsepnya, kata mereka adalah seperti maksud Luscious itu sendiri iaitu sesuatu yang indah dipandang atau didengar.

“Paksinya R&B, soul dan acapella tetapi kami bersedia mencuba sesuatu yang berlainan kerana muzik itu sendiri sesuatu yang subjektif,” tegas mereka.

Sembilan tahun lalu

Mengakui, jika tidak kerana Gang Starz, mungkin mereka tidak dikenali dalam dunia seni arus perdana.

Tetapi, jangan memperkecilkan kebolehan mereka walaupun ketika menyertai pertandingan itu mereka antara kumpulan yang mendapat kritikan pedas daripada juri tetapnya - Arab, Vernon Kerdit dan Maple Loo.

Ini kerana Luscious telah pun bertapak sejak sembilan tahun lalu dan antara kumpulan yang sering kali muncul di persembahan-persembahan kecil (gig) sekitar ibu kota.

Dan anggotanya pula memang amat dekat dengan dunia seni sendiri misalnya Eenaz atau nama sebenarnya Nur Shafinaz Mokhtar merupakan anak kepada penyanyi lagu-lagu asli veteran, Datin Orkid Abdullah.

Sementara Nadia atau Nadia Aqilah Bajuri dan Ruzana Ibrahim (Ruzana) merupakan ensemble utama pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) yang mendapat sambutan luar biasa ketika dipentaskan tahun lalu.

Luscious pada awal penubuhannya dipelopori Eenaz, Farah Asyikin (Malaysian Idol 2) dan Ilia Julaiza.

“Kumpulan ini dah lama ditubuhkan... sejak kami masih di kolej lagi. Bagaimanapun Farah dan Ilia kemudiannya menyambung pengajian.

“Nadia kemudiannya menganggotai kumpulan ini pada tahun 2000. Bagaimanapun, kumpulan ini ‘berehat’ selama tiga tahun dari 2003 hingga akhir 2006 kerana kekurangan seorang anggota.

“Bagaimanapun, kami berdua (Eenaz dan Nadia) tidak pernah melupakan Luscious dan mahu mengaktifkan semula kumpulan ini dan akhirnya impian itu tercapai apabila bertemu Ruzana,” kata Eenaz.

Bina tapak

“Sebenarnya kalau ikutkan, Luscious seangkatan dengan kumpulan Ruffedge dan VE namun nasib tidak menyebelahi kami untuk melebarkan sayap seni kami ke arena arus perdana.

“Tetapi kini kami melihat adanya peluang yang cerah setelah kami menyertai pertandingan Gang Starz.

“Memanglah rasa terkilan juga kerana tidak dapat melangkah lebih jauh dalam pertandingan itu, tetapi ia sesungguhnya telah memberikan kami semangat,” kata Nadia pula.

Walaupun hanya sempat dua bulan bersama 14 peserta Gang Starz yang lain, kata anggota Luscious itu lagi, banyak ilmu dan pengalaman berharga dikutip sepanjang menyertai pertandingan program realiti itu.

“Terutama nasihat daripada para penasihat yang terlibat umpamanya Pot Amir, Cat Farish, Azmeer dan Juliza Adlizan.

“Dan nasihat yang menjadi azimat kami ialah jangan pernah menunjukkan kelemahan pada persembahan,” kata Ruzana.

Harapkan muka

Pastinya ramai yang mengikuti kehadiran Luscious sepanjang program tersebut, mengetahui kelebihan dan kelemahan vokal anggota Luscious.

Tidak dinafikan sepanjang penampilan Luscious pada program TV realiti popular itu, vokal Nadia paling menonjol namun Eenaz dan Ruzana turut memiliki keistimewaan vokal masing-masing.

Pun begitu, mereka kelihatan lebih senang menonjolkan keharmonian vokal dalam setiap persembahan membuatkan adakalanya nyanyian mereka dikritik pengkritik.

Tetapi mereka ada alasan tersendiri dan tegas dengan prinsip tersebut. “Kami mahu mewujudkan satu keharmonian dalam sebuah kumpulan wanita,” kata mereka.

Malah mereka menegaskan, kehadiran mereka di pentas seni bukan sekadar mengharapkan penampilan dan wajah sahaja.

Bersedia digosip

Kata mereka lagi, sebaik menjejak kaki ke lapangan ini, mereka sudah menyiapkan diri menghadapi setiap persaingan termasuklah gosip.

“Itu perkara pertama yang kami fikirkan dan ia sesuatu yang sihat. Itu kami belajar menerusi Gang Starz.

“Malah kami akui, sejak menyertai Gang Starz, kami semakin lama, semakin kuat terutama daripada segi emosi.

“Memang bukan mudah memasuki dunia ini tapi kami yakin dengan kekuatan setiap anggotanya, kami pasti mampu melalui apa juga yang mendatang,” kata Eenaz.

Nadia juga menambah: “Kami amat mengharapkan peminat menerima kami kerana karya-karya kami. Bukan kerana cerita-cerita panas atau gosip.

“Kami percaya dengan niat yang betul dan restu daripada keluarga, perjalanan kami akan dirahmati.”

Mengenali Luscious

Selain bergelar penyanyi berkumpulan, anggota Luscious juga sebenarnya terkenal sebagai penulis skrip dan pelakon malah ada juga yang masih meneruskan pengajian di kolej.

Eenaz, 27, sudah banyak menghasilkan skrip untuk drama RTM antaranya Naskah Adi Ratna, Kerana Dia dan Cucu Nenek Dapat Jodoh.

Dia juga bertindak sebagai sebahagian panel penulis skrip bagi telenovela Manjalara yang kini sedang popular di TV3.

Nadia, 22, pula semakin dikenali menerusi slot Samarinda apabila turut sama berlakon dalam drama Emil Emilda sebagai Sasha yang kini ditayangkan setiap Selasa hingga Khamis di TV3.

Sementara Ruzana, 23, pula kini meneruskan pengajian dalam bidang pemasaran di sebuah kolej swasta di ibu kota.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.