saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 26/07/2007

Perkim raikan 10 pengantin silang budaya


Pasangan pengantin yang diraikan pada majlis persandingan secara beramai-ramai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Ciptaan Allah menunjukkan kebesarannya dengan kejadian di langit dan bumi menunjukkan kebenaran ayat ini. Setiap yang dijadikan ada pasangannya. Keadaan tanah di bumi, tidak sama rata semuanya, bahkan berpasangan antara tinggi dan rendah.

Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau. Di kawasan yang lain berpadang pasir. Daratan berpasangan dengan lautan. Pokok-pokok meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Kemudian Allah s.w.t memperlihatkan malam berpasangan dengan siang meliputi alam ini.

Binatang-binatang di daratan dan di lautan berpasangan jantan dan betina. Demikian pula manusia yang dilahirkan lelaki dan wanita.

Hikmat Allah s.w.t menjadikan berbagai-bagai jenis kejadian dalam keadaan berpasangan dengan memahaminya dengan mudah.

Bayangkan bagaimana keadaan alam ini sekiranya ia sentiasa dalam keadaan malam, bumi berkeadaan pamah, semuanya berpadang pasir, manusia terdiri dari lelaki atau semuanya perempuan.

Keadaan dunia seperti ini tentu membosankan dan kejadian ini tidak melahirkan keturunan. Generasi manusia akan hilang dalam jangka waktu yang singkat. Dengan adanya pasangan, dunia kelihatan indah dan sesungguhnya kejadian Allah s.w.t menepati kehendaknya untuk menjadikan makhluk ciptaannya berbakti, beribadat dan mengabdikan diri kepadanya.

Lantaran itu, perkahwinan adalah jambatan penghubung sebuah keluarga dengan keluarga baru. Selain itu, pernikahan juga bertujuan memelihara nasab dan keturunan.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di bawah program kebajikan mengadakan majlis perkahwinan silang budaya melibatkan 10 pasangan pengantin Islam yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Eropah.

Majlis persandingan ini memperlihatkan sebahagian keunikan Islam sebagai agama yang syumul sekali gus menangkis prasangka bahawa Islam adalah milik orang Melayu sahaja.

Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini membuktikan walaupun masyarakat negara ini berbeza budaya dan fahaman tetapi ia tidak menjadi penghalang menjalinkan hubungan yang baik di antara satu sama yang lain.

Katanya, dalam soal perkahwinan ia masih boleh mengekalkan amalan budaya masing-masing kerana Islam itu adalah agama yang sempurna untuk semua bangsa di dunia ini.

“Walaupun di Malaysia budaya dominannya adalah budaya Melayu tetapi masyarakat atau bangsa lain masih boleh mengamalkan dan mengekalkan corak perkahwinan budaya masing-masing mengikut ketetapan dan syarak Islam.

Universal

“Perkara atau perkahwinan tidak semestinya perlu mengikut budaya melayu kerana beranggapan untuk menghormati budaya itu di negara ini semata-mata,” katanya semasa merasmikan Majlis Perkahwinan Silang Budaya di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Perkim, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan Datuk Dr. Arifin Suhaimi dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri merangkap Setiausaha Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.

Menurut Dr. Mahathir, kekecewaan mungkin berlaku di kalangan ahli keluarga sekiranya budaya asal bangsa tadi disisihkan dan ini boleh mewujudkan situasi yang tidak baik malah menimbulkan kerenggangan hubungan kekeluargaan.

Jelasnya, Islam menyeru penganutnya berbuat baik sesama ahli keluarga dan tidak menyekat umatnya kerana ia bersifat universal dan menerima setiap budaya selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Dalam perkara ini ia dapat meningkatkan imej dan martabat Islam pada pihak yang tidak jelas dengan sesuatu perkara tentang ajaran Islam itu sendiri malah memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama bersifat sederhana dan menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa dalam keluarga,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, memeluk Islam bukan alasan untuk meninggalkan keluarga atau menyisihkan mereka kerana berlainan agama.

“Tanggapan demikian perlu dikikis dan keluarga mesti dihormati terutama kepada kedua ibu bapa yang masih mengamalkan ajaran agama dan budaya asal mereka.

“Walaupun sudah bergelar seorang muslim, mereka perlu memupuk hubungan yang lebih baik lagi dengan adik-beradik dan keluarga,” jelasnya

Sementara itu, apabila sudah bergelar suami isteri, pasangan juga perlu menjaga persefahaman yang baik di antara satu sama lain supaya tidak timbul sebarang masalah dan persengketaan,” jelas beliau.

Pengantin yang diraikan ialah Mohd. Haikal Chan Hock Hin dan Khairiah Yahya, Muhammad Harun Tee Abdullah dan Hamidah Aliamaran, Mohd Azlan Abdullah dan Aishah Abdullah, Iskandar Zulkarnain Abdullah dan Hasni Hasaruddin, Mohd Daniel Au Yang Leong Hock dan Zabedah Shamsudin.

Turut diraikan, Muhammad Ramzi Abdullah dan Noraidah Baharudin, Mohd Firdaus Abdullah dan Rafidah Zainol, Muhammad Faisal Wong Abdullah dan Nur Faizah Mohd. Isa, Muhammad Jason Tan Abdullah dan Nor Aireen Mohd. Nordi, Al-Zafir Christopher J. Setterington dan Siti Zafina Khuzaimah.

Salah seorang pengantin, Muhamad Ramzi Abdullah, 33, berkata, majlis seumpama ini merupakan satu usaha yang murni dalam memupuk semangat muhibah di kalangan ahli masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

“Saya merasa teruja apabila diraikan dengan majlis persandingan mengikut tradisi dan budaya masyarakat India yang sinonim dengan adat dan caranya tersendiri.

Hidayah

“Peluang yang diberi ini secara langsung membuktikan Islam itu adalah agama yang universal untuk semua bangsa di dunia ini.” jelasnya.

Bagi Al-Zafir Christopher J. Setterington, 36, majlis itu memperlihatkan bahawa Islam itu adalah agama yang mudah untuk dipelajari.

“Sangkaan saya sebelum ini salah mengenai agama Islam, tetapi selepas saya mendapat hidayah dan petunjuk akhirnya Islam adalah agama yang mudah untuk dianuti.

“Lantaran itu, saya merasa bersyukur kerana diraikan pada majlis yang meriah ini dan secara langsung dapat membuka mata dan memperbetulkan pandangan negatif kepada masyarakat bukan Islam,” katanya.

Mohd. Azlan Abdullah, 28, pula berkata, majlis seumpama ini harus diteruskan pada masa hadapan.

“Ini kerana ia memberi satu kesan yang mendalam kepada diri saya kerana Perkim mengambil berat khususnya kepada masyarakat bukan Islam yang berminat untuk mendalami ajaran ini.

“Dengan semangat yang diberikan, saya terharu terutama meraikan saya dan isteri di majlis yang gilang-gemilang ini,” katanya.

Seorang lagi pengantin, Mohd. Daniel Au Yang Leong Hock berkata, program seumpama itu diharap dapat dilaksanakan pada masa hadapan untuk menyatukan hati masyarakat bukan Islam kepada agama Islam.

“Saya dan isteri tidak menyangka akan diraikan dengan majlis seperti ini dan sudah pasti menjadi satu kenangan manis dalam hidup saya apabila bergelar muslim sejati.

“Namun saya dan isteri mengharapkan agar hubungan kami berkekalan sehingga ke akhir hayat,” tambahnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.