saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/07/2007

Tipulah kalau saya tak kecewa – Khairil

TANGGAL 20 Julai lalu, pada penghulu segala hari, Jumaat, Khairil Rashid atau Krill menamatkan tugasnya di radio Era dengan sebak yang menggunung di dada. Banyak berkongsi sebak yang sama dengan Khairil pada waktu-waktu terakhir dia ke udara di stesen popular itu.

Malah kalangan pendengar juga secara langsung dapat mendengar suara sebak Khairil saat dia mahu meninggalkan konti radio Era pada Jumaat lalu.

Saya memahami apa yang dirasakan oleh Khairil. Sementelah dia adalah antara pengasas stesen radio yang berada di tangga paling atas dalam senarai popular itu.

Pada 30 Julai ini Khairil akan memulakan cabaran di radio yang jauh lebih di belakang, XFreshFM juga di bawah syarikat Airtime Management Programming (AMP Sdn. Bhd.).

Satu stesen radio yang agak baru tetapi dianggap belum begitu menyerlah dan hanya dinaungi oleh kelompok juruhebah kelas biasa sahaja. Berat rasa hendak meninggalkan tempat lama, tetapi apakan daya dia terpaksa melangkah juga.

Kata Khairil, bohong kalau dia tidak kecewa dengan perubahan baru ini. Apatah lagi jasa dan baktinya sudah hampir satu dekad dicurahkan di stesen radio berkenaan.

Apakah ini juga bermakna, khidmat dan bakti Khairil tidak lagi diperlukan dalam strategi memantapkan lagi siaran radio berkenaan? Tempat Khairil dalam slot Pagi Di Era sekarang digantikan dengan dua nama baru, AC Mizal dan Yasmin Hani.

Bagaimana Khairil menerima pertukaran ini?

Mula-mula tak sangka. Memang tiba-tiba saja. Tetapi bila diterangkan secara jelasnya kenapa dan mengapa, saya sudah boleh menerima dengan fikiran lebih terbuka lagi.

Apa alasan pengurusan AMP menukarkan Khairil yang sebenar-benarnya?

Mereka nampaknya menghargai kepakaran dan pengalaman saya. Sebab itu saya diletakkan di stesen baru macam XFreshFM.

Kenapa ke XFreshFM? Lama Khairil membina nama di Era, tiba-tiba terbuang ke lain pula?

Awak tengok sajalah. Di XFreshFM tak ada sesiapa yang betul-betul menyinar. Jadi, mereka memerlukan pengacara yang ada tarikan kepada pendengar. Itu semua demi pembaharuan. Pasal itu saja, mereka pindahkan saya. Itulah yang dijelaskan kepada saya, kalau ada sebab lain saya tak tahu. Saya mula pun pelik juga. Tanya juga kepada diri sendiri, kenapa aku? Kenapa? Bila mereka sudah bagi tahu betul-betul, saya boleh nampak macam mana strategi pemasaran yang diatur oleh mereka. Untuk menaikkan rating di XFreshFM. Mudah-mudahan.

Khairil bersedia untuk bertugas di tempat baru tu?

Saya buat kerja macam biasa sajalah, yang selalu saya buat. Cuma kena cari sesuatu yang baru yang sesuai dengan XFreshFM. Mungkin saya akan jadi lebih gila-gila kut (ketawa).

Sesuaikah dengan usianya hendak gila-gila lagi?

Saya terima sebagai satu cabaran. Apa yang tak boleh buat di Era saya akan bawa ke situ. Satu cabaran baru kepada saya. Umur dah 36 tahun, tetapi idea kena sentiasa muda. Nama pun XFreshFM. Kita yang kena cari benda kreatif supaya orang suka. Bukan dibuat-buat atau paksa pendengar.

Sebenarnya, jauh di sudut hati Khairil kecewa ke tak bila diarahkan keluar dari Era?

Cakap pasal frust nanti kita tak boleh buat kerja.

Dari radio nombor satu pergi ke radio yang ratingnya tak cecah satu juta pun. Bukankah itu sesuatu yang perlu dikecewakan?

Iya, tipulah kalau tak kecewa. Memang frust, tetapi hendak buat macam mana. Kita ni tertakluk bawah pengurusan, tak boleh cakap banyak. Terima sajalah. Tetapi untuk saya, saya suka ambil cabaran baru. Dah sembilan tahun di Era, saya sudah terlalu lama buat untuk rancangan sebelah pagi. Saya perlukan pendengar sebelah petang pula. Itulah hal positif yang saya fikirkan daripada pertukaran ini.

Kenapa menangis pada hari akhir, bukannya kena buang kerja?

Memang betul saya sebak, tetapi tak sampai menangis. Saya sebak saja, tetapi orang ingat saya menangis sebab mereka tak nampak apa yang berlaku di konti. Soal perasaan, macam biasalah ia datang sendiri. Masa itulah kita ingat dari mana kita bermula. Kita sama-sama naikkan Era daripada tak ada apa-apa hingga berjaya sampai sekarang. Saya bersama team lama naikkan Era sampai jadi nombor satu sampai sekarang ni, bila kena tukar macam mana tak sebak. mengenangkan pendengar setia saya selama ini, saya rasa sebak. Sebab itu tak dapat tahan. Saya tak menangis, cuma sebak saja. Betul!

Apakah ini bermakna Khairil tidak diperlukan lagi di Era?

Masa awal saya tahu saya akan ditukarkan, memang terasa sikit. Tetapi saya kena fikir saya kerja makan gaji. Saya ada anak-anak dan isteri. Tak boleh sensitif sangat. Kerja macam ini ‘mood’ kena sentiasa baik. Kalau fikiran berserabut, tak ceria di konti, kerja kita pula terganggu. Soal itu saya tak hendak fikir. Sama ada saya tak diperlukan lagi ke, apa ke, saya malas hendak layan. Janji saya dapat gaji setiap bulan, itu saja. Fikir negatif pun nanti rosakkan minda saya sendiri.

Berapa hari ambil masa terima perubahan ini?

Hari keluar dari Era (20 Julai) saya sebenarnya sudah rasa lega. Rasa kosong saja niat hati saya hendak teruskan kerja saja.

Bukan masalah disiplin

Ada soksek-sokek kata pertukaran ini sebab masalah disiplin, rating pagi di Era juga kurang bagus, apa komen Khairil?

Memang kami akui agak menurun. Tetapi bukan pasal disiplin sesiapa. Itu mungkin disebabkan persaingan dan macam-macam yang lain. Saya sendiri tak tahu kenapa sebab jatuh. Disiplin tak ada kena-mengena langsung. Jangan dengar sangat cakap-cakap angin ni (ketawa).

Khairil juga dikatakan tak ngam dengan Kieran?

Ye ke orang cakap macam tu? Tak adalah. kita orang sentiasa ngam masa on air. Di luar tu kita buat hal masing-masing. Tetapi saya akui antara saya dengan Kieran bukan sahabat yang sangat karib bila di luar. Tetapi bila on air kami boleh ‘ngam gila’. Ada chemistry antara kami dan saling melengkapi. Tak timbul soal tak ngam tu. Bahkan kami tak pernah bergaduh pun.

Ke stesen yang kurang popular, Khairil tidak risau kalau-kalau populariti turut menurun?

Soal populariti saya tak kisah. Saya bukan artis, buat apa sibuk-sibuk pasal populariti. Saya bermula dari zaman tak ada apa-apa anugerah mengenai populariti dah. Jadi, popular ke tak, bukan niat saya masa kerja. Saya dah kecap populariti 10 tahun. Umur pun dah 36 tahun, populariti bukan masalah besar pada saya lagi. Saya bukan jenis cari publisiti. Kalau ada cerita adalah. Kalau tak ada, duduk diam buat kerja saya. Sekarang mungkin sebab ada banyak majlis anugerah sebab itu orang asyik cakap pasal popular. Sebagai juruhebah radio sepatutnya tak timbul soal popular ke tidak. Macam wartawan juga, popular ke tak, tak jadi hal. Sikap hendak popular tak ada dalam diri seorang juruhebah. Sebab itu saya tak risau apa-apa. Barangkali juga saya bukan dilahirkan untuk menjadi orang popular.

Khabarnya Khairil sedang intai peluang ke radio lain, betul ke?

Tak pernah. Saya tak ada perancangan langsung untuk ke arah itu. Awak fikirlah. Saya sudah 36 tahun. Dah tak ada masa untuk fikir ke tempat baru atau mulakan sesuatu yang baru. Selagi saya kerja dengan AMP yang besar ini saya akan buat saja apa yang diarahkan.

Hot.FM misalnya, tak ditawarkan ke?

Saya pun tidak mencari, hati dan perasaan saya masih di sini (ketawa).

Pendapat Khairil tentang AC Mizal dan Yasmin Hani yang menggantikan tempat Khairil di Era?

Pertamanya, mereka baru beberapa hari, tak boleh letak sasaran terlalu tinggi. Saya tak boleh kata bagus ke tak sebab mereka masih baru. Dia orang jauh lagi kena berjalan. Kalau sudah 6 bulan, setahun mungkin boleh nampak perubahan. Okey ke tak. Saya doakan dia orang boleh buat sehabis baik. Keserasian bukan boleh dapat dalam sehari dua. Saya dengan Kieran pun bukan terus boleh ngam.

Harapan Khairil di masa depan?

Era akan terus maju dengan line-up baru. Dengan saya atau tanpa saya Era akan terus hidup sampai bila-bila sekalipun. Dengarlah suara saya dalam situasi baru di XFreshFM.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.