saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/08/2007

Maria Menado - Wanita Tercantik Malaya


MARIA MENADO masih menyimpan baju tenun songket yang ditempah khas dari Brunei sewaktu ke negara itu yang pernah dipakainya pada awal tahun 50-an.


MUNGKIN nama Liesbet Dotulong tidak memberi erti kepada sebahagian besar peminat seni mahupun warga industri perfileman tempatan.

Namun siapa yang tidak mengenali Maria Menado (kini Datuk), si jelita yang dilahirkan pada 2 Februari 1932 di Tunsia, Mabnahasadari, Menado di Sulawesi Utara, Indonesia.

Walaupun sudah tidak aktif secara langsung dalam industri seni namun beliau menjadi antara artis veteran yang namanya terus harum dan mekar sehingga hari ini.

Mungkin kehadirannya menyerikan Jalan Ampas hanya seketika malah saat teman-teman terus memperjuangkan kerja seni masing-masing, beliau nekad ‘bersara’ daripada kerjaya glamor itu.

Hayatnya dalam dunia perfileman Melayu hanya sekitar sedekad namun beliau menjadi antara heroin filem Melayu yang berada di kemuncak kerjaya sejak zaman prakemerdekaan.

Filem Pontianak yang melonjak nama beliau dalam bidang perfileman Melayu sendiri diterbitkan pada zaman Malaya mendapat kebebasan daripada British.

Namun perkahwinan keduanya dengan Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin pada 1963 membuatkan beliau nekad berhenti bermain filem dan berpindah ke Pahang.

Malah terpaksa akur dengan permintaan Majlis Diraja Istana Pahang yang melarang penayangan filem Pontianak di negeri tersebut sebaik bergelar permaisuri Pahang.

Apabila Sultan Sir Abu Bakar mangkat pada 1974, Maria kemudiannya berkahwin lain pada 1978 dengan Datuk Dr. Hussain Yusuf.

“Bersama Datuk juga, saya tidak aktif. Saya menjadi suri rumah sepenuh masa pada kedua-dua perkahwinan,” kata Maria sewaktu ditemui di kediamannya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Pelakon dulu berdikari, berdisiplin

Bagaimanapun, kata Maria, apa yang boleh dikongsi bersama ialah pengalamannya bergelar anak seni bermula dari awal tahun 50-an hingga awal tahun 60-an.

Pelakon dahulu, katanya amat berdisiplin dan sentiasa bersiap sedia di set studio menunggu pengarah seperti yang termaktub di dalam kontrak.

“Kalau shooting bermula pukul 8 pagi, biasanya kami sudah berada di studio sekitar 6.30 pagi atau 7 pagi,” jelas Maria.

Namun beliau mengakui, dunia seni dahulu tidak seglamor hari ini malah tiada paparan gosip menghiasi surat khabar mahupun majalah seperti yang berlaku dewasa ini.

Menurut Maria, pelakon sezamannya juga amat berdikari dan harus melakukan segala-galanya sendiri.

“Dulu tiada mekap artis disediakan. Kami harus menyolek dan mendandan sendiri wajah. Cuma untuk kesan khas, kita akan dibantu oleh pengarah seninya.

“Misalnya untuk wajah hantu dalam filem Pontianak. Seorang pengarah seni menunjukkan bagaimana menata rias wajah dan kemudian saya akan melakukan sendiri segala-galanya.

“Selain itu, setiap pembikinan filem baru, kami akan diberi tiga helai baju baru dan selebihnya kostum disediakan.

“Tahu sajalah baju kostum... kita tiada pilihan. Jadi selalunya saya bawa baju sendiri yang selalunya saya suaipadankan untuk mendapatkan gaya baru,” ceritanya lagi.

Artis kelas pertama

Maria juga memberitahu dia menerima bayaran gaji sebanyak RM250, antara yang tertinggi pada waktu itu berbanding artis lain sekitar RM100-RM150.

Bonus pula, kata Maria, seperti yang termaktub dalam kontrak ialah sebanyak RM500 bagi setiap filem yang dilakonkan.

Sementara bonus tambahan diberi pada setiap kali Hari Raya dengan jumlahnya bergantung kepada ihsan pihak penerbit.

“Seperti artis lain, saya tinggal di berek yang disediakan rumah produksi di Jalan Boon Teck. Bagaimanapun, saya amat jarang keluar.

“Selalunya selesai berlakon, saya pulang terus ke rumah,” kata Maria yang mengakui rapat dengan Allahyarham aktor Nordin Ahmad selain pengarah seperti B.N. Roa dan L. Krishnan (sekarang Datuk).

Ikon fesyen

Seperti artis wanita jelita hari ini, Maria juga seringkali muncul dengan fesyen terkini dan selalu membawa arus perubahan baru fesyen semasa.

Gemar mencipta gayanya sendiri yang selalunya menggabungkan unsur keInggerisan dengan gaya timur, idea pemakaian kebaya jarang bersama gaun panjang dicetuskan oleh beliau selain memperkenalkan Baju Bodo iaitu sejenis fesyen tradisonal Bugis-Makasar.

Tidak hairanlah jika Maria banyak menerima gelaran antaranya Glamour Girl di Malay Filem Production, Wanita Tercantik Malaya oleh Majalah Times serta Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara oleh United Press International, sebuah pertubuhan berita sehingga menjadi ikon fesyen ketika itu.

“Malah saya sendiri masih menyimpan baju kurung songket yang ditenun dan ditempah khas dari Brunei ketika berpeluang melawat negara itu pada pertama kali.

“Rasanya hanya ada dua sahaja kain songket itu di dalam dunia. Selain saya yang memilih warna hitam, Allahyarham Saloma (kini Puan Sri) mempunyai sepasang songket serupa yang berwarna merah,” katanya yang masih bergaya dan sihat di kala meniti usia 75 tahun.

Bukan bangsawan

Berbeza dengan warga Jalan Ampas yang kebanyakannya berasal dari pentas bangsawan, Maria hadir tanpa beliau sendiri menduganya.

Tanpa mempunyai sebarang pengetahuan apalagi asas dalam lakonan, kemunculannya sebagai Ratu Kebaya (walau bukan seorang model) menarik minat pengusaha studio dan penerbit Shaw Brothers, Run Run Shaw menawarkannya menjadi bintang filem.

“Bersama rombongan itu (selain memperaga, mereka juga mengadakan persembahan nyanyian), saya menjelajah hingga ke Pulau Pinang.

“Kembali ke Singapura, saya menyertai satu pertandingan kebaya dan menjadi juara. Run Run Shaw tertarik dengan saya dan menawarkan untuk menjadi artisnya.

“Saya dipanggil uji bakat dan dalam tempoh tiga hari, saya terus ditawarkan watak untuk filem,” jelas Maria.

Filem pertamanya, Penghidupan berpasangan dengan Alllahyarham Tan Sri P. Ramlee dan itulah satu-satunya filem lakonannya bersama Seniman Agung negara itu.

Selepas menjadi artis naungan Shaw Brothers, Maria berpindah ke Keris Film sebelum menyertai studio Cathay Keris.

Sehingga tahun 1963, beliau berlakon kira-kira dalam 20 buah filem termasuk filem yang diproduksinya sendiri bersama suami pertamanya, Abdul Razak Sheikh, Maria Menado Production (M.M Production).

Abdul Razak Sheikh yang juga merupakan seorang promoter showbiz juga merupakan penulis skrip bagi filem Pontianak. Mereka bercerai pada tahun 1961.

Antara filem-filem lakonan Maria termasuklah filem sekuel seram yang berjudul Dendam Pontianak (1957) dan Sumpah Pontianak (1958), Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Selendang Delima dan Raja Bersiong selain Siti Zubaidah, Darahku, Bunga Tanjung dan Pontianak Kembali yang diterbitkan syarikatnya.

Pada zaman kemasyhurannya, Maria pernah diberi peranan jahat di samping Shammi Kappor dan Padmini dalam filem Hindi yang bertajuk Singapore yang menjalani penggambaran di Singapura dan Bombay (kini Mumbai).

Maria juga pernah muncul dalam filem usahasama dengan Indonesia berjudul Hilang Gelap Timbul Terang keluaran Perfini dengan Syarikat Merdeka Film Enterprise di Malaya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.