saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 06/08/2007

Jangan taksub pahala


Dr. Adibah Abdul Rahim.


PEJAM celik, pejam celik, hari ini sudah 22 hari kita berada di dalam bulan Rejab. Lazimnya, umat Islam berlumba-lumba melaksanakan ibadat seperti berpuasa sunat, bersedekah dan berzikir.

Lebih-lebih lagi disogokkan dengan pelbagai fadilat yang bakal diperoleh kepada mereka yang beramal pada bulan ini.

Antara ganjarannya iaitu; Setiap umat Islam yang berpuasa pada Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat 1,000 kali haji dan umrah. Dibina untuknya 1,000 mahligai dengan 1,000 bilik dan 1,000 bidadari, lebih cantik daripada matahari 1,000 kali.

Siapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa daripada jasad, 70 hajat ketika di dalam kubur, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan di langit), 70 hajat ketika ditimbangkan amalannya di Mizan dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.

Selain itu, berpuasa pada 27 Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun. Malah mereka ini juga dapat minum air sungai yang dinamakan Rejab dengan airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan dan lebih dingin daripada salju.

Ini baru disenaraikan beberapa hadis yang menyentuh tentang kelebihan beramal pada bulan Rejab. Sebenarnya, kalau hendak disusunkan satu persatu, sudah pasti tidak terkira dengan jari. Malah, andainya kita layari internet, paparan bahan-bahan bertulis berkaitan tajuk di atas, memang terlalu banyak.

Hakikatnya, bukan seorang dua yang dikaburi dan terpengaruh dengan ganjaran-ganjaran ini. Sebenarnya hadis-hadis tersebut adalah tergolong dalam hadis mauduk iaitu ia adalah palsu serta tidak bersandar atau bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w..

Larangannya, bukan sahaja kita tidak boleh beriman malah ia sekali gus bermaksud kita tidak boleh percaya dan beramal dengan hadis sebegini.

Kebimbangan inilah yang telah disuarakan Pembantu Profesor, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Dr. Adibah Abdul Rahim sewaktu mengulas pengaruh faktor ganjaran ini sehingga telah menjadi satu fenomena di mana umat Islam terlalu percaya kepada ganjarannya sehingga lupa kepada persoalan status hadis.

Ketaksuban

Memang banyak kelebihan yang berkaitan bulan Rejab, cuma dibimbangkan sikap ketaksuban masyarakat dengan ganjaran fadilat dalam bulan Rejab sehingga menjadikan umat Islam berlumba-lumba mengejar ganjarannya sampaikan amalan yang dikakukan berlandaskan ganjaran atau kelebihan, bukan dilakukan amalan tersebut atas landasan keikhlasan. Sedangkan hakikatnya, bagaimana rupa ganjarannya harus diserah kepada Allah s.w.t..

“Umum perlu diberitahu, bahawa kita tidak boleh berpuasa semata-mata untuk ganjaran. Apatah lagi, ganjaran-ganjaran yang telah dijelaskan di dalam hadis-hadis tersebut adalah hadis mauduk. Meskipun, jika ia sekadar dianggap sebagai satu motivasi sekalipun.

“Di samping itu, sekiranya kita terlalu mengejar ganjaran, seolah-olah kita mengharapkan sesuatu daripada Allah. Sedangkan sebagai hamba-Nya, seharusnya setiap amalan kita kepada Allah itu adalah balasan kita atas nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini,” jelas Adibah.

Jelasnya lagi, salah satu tanda hadis mauduk iaitu, ia menyebut akan ganjaran yang melampau-lampau atau tidak setaraf dengan amalan yang dibuat.

Katanya, Ibnu Hajjar al-‘Asqalani pernah mencuba membuat satu kitab di mana dia merancang mengumpulkan fadilat-fadilat Rejab, tetapi satu hadis sahih pun tidak ditemui.

“Amalan ibadat pada bulan Rejab ini bukan sahaja tentang berpuasa sunat tetapi turut melibatkan perlaksanaan puasa dan solat khusus pada 27 Rejab. Solat sunat Raghaib sebanyak 12 rakaat ini dilakukan antara waktu Maghrib hingga Isyak dengan diikuti dengan bacaan surah tertentu sebanyak 70 kali.

“Semua ulama sepakat bahawa solat Raghaib dan puasa khusus ini juga adalah satu amalan bidaah kerana Rasulullah dan para sahabat tidak pernah mengamalkannya. Saya hendak tekankan bahawa amalan yang tidak mengikut sunah dan syariat Rasulullah adalah bidaah.

“Amalan ini juga ditolak oleh Imam Ibnu Taimiyah dan Imam Nawawi. Ini kerana pada zaman mereka di mana terlalu banyak bidaah dan khurafat berlaku sehingga boleh menimbulkan mudarat,” terangnya.

Menurut Adibah, tarikh 27 Rejab yang dikatakan berlaku Israk Mikraj sebenarnya tidak ada ulama yang mengatakan itu tarikh khusus untuk peristiwa tersebut. Kita tidak tahu tentang tarikh sebenarnya kerana ia adalah rahsia Allah.

Pun begitu, sekiranya seseorang itu ingin melaksanakan amalan puasa sunat, tidak ada larangan untuk kita melakukannya. Yang pasti, puasa sunat tersebut dikira sama seperti puasa sunat pada bulan-bulan lain.

Terang Adibah, apa yang istimewa dan jelas berkaitan bulan Rejab ialah ia adalah bulan persediaan menyambut Ramadan. Di samping itu, ia bulan yang diharamkan berperang selain dari Muharam, Zulhijjah dan Zulkaedah.

Lantaran itu, pesanannya, agar umat Islam jangan percaya adanya amalan, ibadat atau pahala khusus untuk Rejab. Ini kerana kecetekan ilmu serta melakukan secara membabi-buta, bukan kebaikan yang diperoleh malah mendatangkan satu dosa kerana mempercayai serta mengejar ganjaran semata-mata berdasarkan hadis mauduk.

Katanya lagi, kekeliruan konsep ini amat merbahaya kerana sikap terlalu percaya ini, seolah-olah kita mengajak manusia percaya benda yang tidak sunah tetapi dikatakan sunah. Sekali gus mengajak orang membuat satu amalan bidaah.

“Oleh itu, dalam kita melakukan amalan, harus dipastikan amalan itu berlandaskan syariat Allah dan sunah Rasulullah,” tegasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.