saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 10/08/2007

Cabaran sebagai ‘makanan harian’ dalam perniagaan


BEBERAPA pekerja Jatimas Asia sedang melakukan kerja-kerja akhir sebelum produk dipamerkan serta dihantar kepada pelanggan.


MENGUTAMAKAN aspek kualiti kayu, reka bentuk menarik dan sentiasa memenuhi kehendak pelanggan membuahkan kejayaan kepada Pengarah Urusan Jatimas Asia (M) Sdn. Bhd., Zawati Ibrahim, 36, sekali gus membawa nama syarikatnya terus mengungguli industri perabot jati serta semakin diyakini.

Apatah lagi dengan kesungguhan dan komitmen ibu kepada lima anak ini menggunakan kecanggihan teknologi dalam usaha mempromosikan produk-produk keluaran tambah memudahkan interaksi dengan pelanggan serta pada masa yang sama menjadikan Jatimas sentiasa di hadapan.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, HALIM KHALID berkesempatan mewawancara wanita gigih kelahiran Wakaf Baru, Kelantan sini erta melawat lot kedainya yang terletak di No. 9, Jalan 2, Selayang Baru, Selayang, Selangor bagi berkongsi rahsia kejayaannya, baru-baru ini.

MEGA: Ceritakan serba sedikit bagaimana perniagaan puan bermula dan mengapakah perniagaan ini yang menjadi pilihan?

ZAWATI: Saya memulakan perniagaan ini pada tahun 2000. Pada mulanya saya hanya menolong seorang kawan dari Indonesia untuk mendapatkan pasaran tempatan. Setelah saya membuat penyelidikan dan pemerhatian secara rawak selama dua tahun tentang produk, pasaran dan promosi, barulah saya berani menceburi bidang perabot ini.

Pada masa itu saya tidak mempunyai modal, jadi saya hanya mampu membuat promosi dari rumah sahaja. Setelah itu, saya mendapat bantuan kewangan daripada suami, Mohd. Nizam Che Mohammad sebanyak RM2,000 - yang mana saya gunakan untuk kos pengangkutan, kos buruh sementara dan sewa tapak.

Alhamdulillah, saya mendapat restu suami yang mana banyak memberi impak atas kejayaan perniagaan saya ini.

Saya memilih perniagaan ini kerana industri perabot merupakan suatu bidang perniagaan yang ada potensi untuk berkembang secara nasional dan antarabangsa. Tambahan pula, bidang ini sesuai dengan jiwa saya sebagai seorang wanita dan ibu yang secara fitrahnya bersifat lembut dan penuh dengan nilai-nilai estetika.

Sejak kebelakangan ini, didapati perniagaan perabot jati sentiasa menjadi pilihan ahli perniagaan. Bagaimana puan melihat perkembangan sebegini?

ZAWATI: Ini adalah suatu perkembangan yang sihat. Kerana dengan ada lebih banyak retailer (peruncit) perabot jati, penggemar produk ini lebih banyak pilihan dan perbandingan, sekali gus faedahnya secara langsung akan memanfaatkan pengguna.

Ini juga sebagai penanda aras yang perniagaan perabot jati ini menguntungkan, secara tidak langsung ia menjadi pilihan ramai. Bagi Jatimas, ini adalah suatu kelebihan sekali gus pengumpul-pengumpul perabot jati dapat melihat keunikan produk Jatimas berbanding produk lain.

Sesuatu perniagaan itu sentiasa memerlukan pembaharuan untuk terus berkembang sekali gus memenuhi kehendak pelanggan, jadi bagaimana puan aplikasikan ia dalam perniagaan?

ZAWATI: Saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Dunia sekarang iaitu dunia tanpa sempadan dan era maklumat, jika kita terlambat sedikit sahaja, pesaing kita akan segera menandingi kita. Bagi saya, dengan adanya capaian Internet, banyak keunikan baru dari dalam dan luar negara dapat kita aplikasikan di dalam perniagaan dan produk kita. Tetapi haruslah mengikut kehendak semasa dan lokaliti.

Kami mempunyai Sistem Pengurusan Pelanggan yang membolehkan kami berinteraksi secara berkala dengan pelanggan-pelanggan kami. Kelebihan ini kami gunakan untuk mendapat maklumat terperinci pelanggan-pelanggan kami dalam memastikan kehendak mereka secara khusus.

Mereka yang berminat mendapatkan maklumat mengenai perabot kayu jati bolehlah melayari laman web www.jatimas.com.my atau menghubungi talian 03-6138 8199.

Sebagai sebuah perniagaan yang sudah semakin bertapak dan mencipta nama dalam industri perabot, apakah cabaran yang dihadapi dan bagaimana mengatasinya?

ZAWATI: Cabaran jika diterjemahkan di dalam bahasa perniagaan adalah sesuatu yang wajib untuk usahawan hadapi hampir setiap hari, minggu, bulan dan tahun.

Alhamdulillah, sekiranya para usahawan dapat menganggap sesuatu cabaran itu sebagai ‘makanan harian’. Jika namanya ‘makanan harian’, maka seharusnyalah sentiasa dihadapi.

Antara cabaran yang saya hadapi adalah bilamana saya membawa pembaharuan dalam konsep perniagaan ini, ramai yang tidak bersetuju, termasuk badan-badan kerajaan.

Contohnya, konsep francais yang akan kami perkenalkan pada penghujung tahun ini. Ramai yang menganggap konsep ini tidak sesuai untuk perniagaan perabot, ada yang mengatakan produk yang bukan 100 peratus tempatan tidak sesuai dan sebagainya.

Bagi saya pendapat yang bertentangan ini adalah suatu fenomena istimewa yang akan membuat saya lebih berhati-hati dan akan menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan usaha ini.

Lantaran itu, bagi mengatasi sesuatu cabaran, ia memerlukan kekuatan minda dan jiwa yang cekal. Bak kata Shakespear: “To be or not to be... that is the question”.

Oleh itu, jika kita katakan boleh, maka cabaran tersebut hanya suatu kesilapan teknikal yang akan dapat kita perbetulkan mengikut jalan kita sendiri.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

ZAWATI: Bidang perniagaan merupakan suatu bidang yang sememangnya akan dapat membuatkan kita puas dengan cara masing-masing.

Bagi saya, melihat suami, ibu bapa, anak-anak, adik-beradik Bangga dengan kejayaan ini... sudah cukup membuatkan saya puas. Apalagi bila kita mampu membimbing para kakitangan, pengedar dan francaisi ke arah kemajuan dan lebih berjaya dalam perniagaan dan kehidupan personal, membuatkan saya rasa benar-benar puas.

Pujian dan saranan daripada pelanggan juga merupakan suatu ‘adrenalin’ bagi saya.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan puan berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

ZAWATI: Sejarah menunjukkan dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi bidang perniagaan ini merupakan suatu bidang yang digalakkan dalam Islam. Pada zaman sekarang ramai umat Islam berjaya dalam bidang perniagaan dan seterusnya membawa keluar ummah dari kancah kemiskinan ke arah kejayaan. Melalui perniagaan juga, kita dapat membantu insan lain.

Jika 9/10 adalah saranan Islam, jangan tunggu lagi untuk menyertai bidang yang sememangnya suatu sunah.

Bagaimana pula sumbangan puan kepada orang terdekat, mereka yang berada di sekeliling serta umat Islam lain?

ZAWATI: Sememangnya menjadi hasrat saya sebagai seorang Muslim untuk memberi sumbangan kepada orang lain, apatah lagi yang karib.

Sesungguhnya kita dituntut untuk berbuat baik (menyayangi) kepada orang lain sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri. Ramai teman-teman lain juga seperti kami, ada menyediakan bajet tertentu untuk kebajikan dan sebagainya. Semoga ini menjadi amalan biasa kepada ramai korporat Muslim.

Menyentuh tentang tanggungjawab setiap Muslim menunaikan zakat, berikan pandangan puan mengenainya?

ZAWATI: Mudah sahaja, yang wajib tetap wajib. Sedikit sahaja yang Allah s.w.t minta kita tunaikan itu. Cuba hitung...hanya 2.5 peratus sahaja daripada pendapatan, perniagaan, barang kemas dan sebagainya.

Tetapi bayangkan impaknya; Pertama-dapat menyucikan wang kita. Kedua-dapat melipat gandakan keberkatan yang kita terima daripada Yang Maha Esa dan ketiga-dapat manfaatkan insan lain yang benar-benar memerlukan. Bayangkan betapa banyak yang Allah berikan berbanding yang kita tunaikan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:12
Asar 4:35
Maghrib 7:09
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.