saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/08/2007

“Kerana saya Mazidul”

PADA usia 40 tahun, selepas hampir 15 tahun menjadi wartawan penyiaran Mazidul Akmal Sidek diuji. Bukan sebarang ujian, tetapi yang cukup mencabar kredibiliti dan namanya sebagai seorang personaliti di TV3.

Mazidul, bapa kepada dua anak lelaki ini ditahan dalam satu serbuan pihak berkuasa April lalu. Beliau dikatakan terlibat dengan penagihan dadah.

Ironinya Mazidul seorang wartawan yang selalu membongkar isu-isu sosial semasa. Dia selalu menyoal orang yang ditahan yang belum disahkan bersalah dengan gaya yang agak kasar.

Demikian dia dinilai di depan kaca televisyen rumah kita. Justeru bila dia sendiri dihadapkan dengan kes tidak bermoral seperti itu, ada yang mencebik dan menuding jari semula kepadanya.

Bagaimanapun pada 26 Julai lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Mazidul bersama rakannya, penerbit program 360, Fadzli Ramli atas tuduhan menyalahguna dadah jenis methamphetamine itu. Mazidul berkongsi pengalaman pahitnya sepanjang dihadapkan dengan kes berkenaan.

Kepada lelaki ini, dia akan terus mempertahankan kerjayanya sebagai wartawan penyiaran dan meneruskan tugas menyelongkar penyelewengan moral yang berlaku dalam masyarakat.

‘’Tidak kira apa sekalipun cabarannya, saya kena teruskan juga,’’ kata pengacara berimej setengah botak ini lagi.

Apa pengajaran dari kes penangkapan itu?

Pengajaran utama, saya tahu membezakan antara sahabat, kawan dan kawan-kawan. Keduanya, kesannya bukan kepada saya saja. Ini cabaran dalam tugasan saya dan ia akan menjadi kenangan berharga saya sepanjang menjadi wartawan.

Sekarang sudah terbukti saya tidak bersalah, saya tidak terlibat dengan penagihan dadah saya kena bersyukurlah.

Bagaimana Mazidul menilai layanan pihak berkuasa terhadap kes ini?

Sebenarnya dalam kes ini pihak berkuasa mempunyai dua pilihan. Pertamanya dia boleh memberikan saya jaminan polis selama dua minggu, tunggu keputusan hospital keluar atau boleh dikenakan pertuduhan serta-merta. Tapi bila saya kena pertuduhan “charge’’ terus, saya tak mahu cakap apa-apa. Biarlah pihak berkuasa menjalankan kerja mereka, saya tak boleh ganggu. Saya tak adalah hendak melawan apa-apa sebab sebagai warganegara Malaysia, kita mendaulat dan mendukung undang-undang. Benda ini jadi besar sebab nama saya Mazidul. Kalau nama saya Salleh bin Osman seorang bekerja kilang ke semua itu tak jadi masalah. Sebab saya tak diberi jaminan dua minggu, ia heboh seluruh negara.

Penerimaan mereka yang tersayang sepanjang kes ini berlangsung?

Banyak, terlalu banyak memberi kesan kepada keluarga saya. Yang saya paling kisah tentang keluarga. Isteri saya tak hendak pergi kerja. Anak-anak saya ada dua orang. Dua-dua tak mahu pergi sekolah. Dua-dua lelaki pula tu, mereka malu. Tetapi sampai berapa lama? Kalau sehari dua tak mengapa, tetapi berbulan kes ini berlangsung takkan hendak terus ponteng. Mereka kena hadapi juga hanya kerana mereka anak-anak dan isteri saya. Masyarakat tak faham apa yang jadi. Benda ini jadi gempar, seperti saya ini artis pula. Memang ia jadi besar sebab saya Mazidul. Masalah, saya bukan artis. Sekarang saya tahu bagaimana situasinya kalau berhadapan dengan kes yang macam ini.

Ada yang hairan, kenapa cepat sangat kes Mazidul selesai?

Itu prosedur biasa. Benda biasa. Patutnya dua minggu saja. Tetapi biasanya jadi empat bulan sebab mahu cari tarikh di mahkamah. Kalau positif saya ambil dadah ia tak akan jadi cepat macam ini. Bila air kencing saya menunjukkan saya bebas dari dadah (hasil ujian hospital), kes itu boleh dipercepatkan. Ini iktibar kepada kami. Yang pentingnya kesan kepada kredibiliti semua pihak. Saya memang terpaksa tunggu keputusan mahkamah keluar barulah boleh bercakap macam sekarang. Keputusan mahkamah benda yang tak boleh dipertikaikan. Ada orang faham, ada yang tidak.

Mazidul ada musuh yang nyata atau tersembunyi?

Saya akui dengan kedudukan saya sekarang Ketua bahagian Hal Ehwal Semasa, adalah tak kena di mana-mana. Saya dengan 999 sudah lima tahun sebelum ke 360. Benda yang saya buat tak semua orang suka. Kita bongkar kisah negatif, kisah tak baik orang, ada yang suka ke? Tapi saya tak boleh tuduh orang dengki atau sakit hati. Tapi saya percaya tak semua orang suka dengan apa yang saya buat. Tetapi ada juga yang suka, itu cukuplah. Sama ada suka atau tidak terlalu subjektif. Selagi ada orang yang masih suka apa yang saya keluarkan di TV, itu sudah cukuplah. Musuh atau tidak, saya tak ambil peduli. Hukuman media terlalu awal datang kepada saya. Kalau saya tukang jaga parking di mana- mana bangunan dituduh bawah seksyen yang sama, tak ada apa-apa pun orang hendak kecoh.

Boleh kongsi dengan pembaca semasa ditangkap, apa yang terlintas di fikiran?

Masa tu sebenarnya saya keliru. Keliru sungguh-sungguh. Kenapa jadi macam itu? Kenapa aku terbabit sedangkan aku tak buat salah apa-apa. Dalam kepala saya isu ini mesti jadi kecoh dan memang benar, esoknya satu Malaysia bercakap.

Takut kena buang kerja?

Saya tak takut tentang apa yang saya lalui sebab saya yakin ujian air kencing akan dibuat sekali lagi. Yang saya fikir ialah kecaman masyarakat kepada saya selepas itu. Kita ni pengamal media, reputasi kena jaga. Reputasi syarikat, reputasi rancangan kena ambil tahu. Saya membawa nama syarikat dan rancangan yang ada kredibiliti. Saya selalu terlibat dengan rancangan yang selalu mengkritik masalah sosial. Bila kena macam ini tentulah saya risau. Masa saya dibawa ke mahkamah, ada seorang lelaki umur dalam 40-an datang menyergah kepada saya. Masa itu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada 14 Mei 2007. Tengah wartawan kejar, lelaki Melayu itu datang dan tanya, “ha apahal engkau? Engkau selalu tangkap orang hisap dadah – sekarang kau dah kena.’’ Dia marah sungguh pada saya. Masa itu saya sudah rasa dah. Lelaki pertama yang bantai saya di depan tu. Tapi saya cakap, undang-undang benarkan saya ditangkap. Kalau saya tak bersalah undang-undang itu akan melepaskan saya.

Macam mana hendak bersihkan nama?

Kalau selama ini orang yang punya tanggapan mengatakan saya ini menyusahkan kehidupan mereka, saya tak mampu hendak bersihkan apa-apa. Itu stigma. Mungkin sebab cerita yang saya buat bukan pasal artis, tetapi pasal pelacur, penagih dadah, mesin judi. Tiga isu yang selalu saya sentuh ini membuatkan ada pihak yang tidak senang hati. Saya faham pihak ini tidak akan senang hati pada saya sampai bila-bila pun. Mungkin sebab dia tak berpeluang mengenali saya secara peribadi. Pada saya membersihkan nama adalah satu benda yang tak perlu. Kalau ada yang anggap saya mengacau, nama saya tak akan bersih selamanya sampai bila-bila pun. Bagi kawan-kawan saya mungkin nama saya tak tercemar pun.

Apakah ini cabaran paling hebat sepanjang Mazidul menjadi personaliti di TV3?

Bukan, ada lagi yang lebih hebat. Orang tak tahu sehingga hari ini saya sudah buat empat laporan polis berkenaan kes ugutan bunuh terhadap saya. Hal saya kena ugut bunuh, sms mengugut, hendak tetak dengan parang dan macam-macam tidak pernah pula diberi sebarang perhatian. Itu yang saya hairan. Saya jenis kerja kalau hendak mati, biarlah saya mati dulu. Selalu orang remind saya,“elok-elok, suatu hari nanti orang letak pistol di kepala.” Cabaran (kes dadah) ini tak besar sangat dibandingkan dengan apa yang pernah saya lalui. Tetapi itu personal antara saya dan pihak berkuasa saja. Kes tuduhan dadah ini tak adalah besar sangat.

Boleh ceritakan pengalaman anda digari?

(Ketawa). Awak bayangkan, tangan saya ni besar. Saya kena gari dari pukul 3 pagi hingga 1 petang. Lama tu. Gari pula berkongsi dengan produser saya, Fazli. Hendak minum ke garu badan ke kena dua-dua angkat tangan. Saya pula ada kencing manis sudah 13 tahun. Kena suntik insulin, 4 kali sehari. Bayangkan keadaan saya macam mana bila tidak kena cucuk insulin tu. Lemah lesu. Hendak lap peluh pun seksa. Memang sudah 13 tahun saya penagih, tetapi saya penagih insulin. Bukan penagih dadah (ketawa).

Bagaimana kalau selepas ini tetap ada yang mengaitkan Mazidul dengan isu dadah?

Benda hitam itu sudah berlaku pun. Sekarang saya buat kerja yang patut saya buat. Kalau terus kaitkan, hendak buat macam mana lagi. Kalau macam itu tak bergunalah keputusan di mahkamah itu. Saya memang bercampur dengan ramai orang sebab itu bidang tugas saya.

Dalam tugasan sebagai wartawan penyiaran, orang kata, Mazidul mengalahkan polis masa soal siasat orang, kenapa ya?

Saya menyoal orang, saya tak sentuh tentang siasatan polis. Saya hanya guna hak saya sebagai wartawan. Itu saja. Hal-hal yang orang hendak tahu saya tanyalah. Sebabnya saya mewakili masyarakat, tak ada kepentingan sendiri. Saya tak ada kepentingan apa-apa pun bila tanya soalan macam itu. Kenapa pula saya hendak lebih dari polis? Polis memang tak akan tanya soalan macam yang saya tanya. Saya tanya soalan yang boleh beri pengajaran kepada masyarakat. Tetapi mungkin dengan karakter saya botak, suara besar saya, orang akan anggap macam itu. Tak apalah.

Mungkin selepas ini Mazidul akan lebih berhati-hati dalam menemu bual orang lain? Tidak kasar sangat macam biasa?

Saya tak rasa saya akan berubah dalam mengendalikan rancangan Saya tak boleh ubah apa-apa. Ini identiti saya yang perlu saya pertahankan. Bukan tujuan saya untuk memalukan orang, bukan kurang ajar. Kita pelihara identiti orang selama ini. Sebab saya bukan temu bual artis, cakap hal-hal kecil. Saya berurusan dengan orang bermasalah, takkan hendak tanya dengan gaya lembut, sopan santun. Saya bukan temu bual orang yang baik-baik. Tengoklah siapa responden saya juga. Mereka bukan orang yang tidak ada masalah. Suasana kerja, saya bukan duduk di hotel. Tetapi dalam ladang kelapa sawit, jadi kenalah dengan gaya saya bertanya tu. Bukan seronok, tetapi mencabar. Itu yang saya suka. Saya bertanya orang yang di tempat tidak menyeronokkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.