saya nak baca ..

TERKINI


ARKIB : 27/08/2007

Usahawan tani: Dana pinjaman BPM ditambah jadi RM1b - PM

KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan menambah pembiayaan dana pinjaman Bank Pertanian Malaysia (BPM) dari RM50 juta kepada RM1 bilion dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani di negara ini.

Perdana Menteri berkata, tambahan pembiayaan sebanyak 20 kali ganda itu akan membolehkan lebih ramai lagi rakyat melibatkan diri dalam industri asas tani, sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara.

“Saya harap Bank Pertanian akan lebih aktif lagi.

“Bank Pertanian akan jadi satu-satunya institusi yang akan melaksanakan peranan yang besar dalam memajukan bidang pertanian terutamanya industri asas tani di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 di Taman Awam Batu Buruk di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, usaha menyuntik dana itu juga selaras dengan langkah untuk mengkorporatkan BPM tidak lama lagi.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan bank berkenaan berfungsi dengan lebih berkesan untuk memberi bantuan pembiayaan khususnya kepada petani, penternak dan nelayan bagi meningkatkan lagi produktiviti masing-masing.

Perdana Menteri berkata, melalui tambahan dana itu juga, usahawan tani boleh mendapatkan pinjaman lebih besar sebagai modal untuk meningkatkan pengeluaran produk pertanian mereka.

Beliau berkata, jumlah pinjaman itu pula bergantung kepada saiz perusahaan mereka, misalnya jika aktiviti yang dijalankan adalah berasaskan kepada industri kecil dan sederhana, maka pinjaman yang diperlukan sudah tentu lebih besar.

“Kalau dia memerlukan pinjaman yang lebih dan ada sebab-sebabnya, mengapa tidak (diberikan kemudahan itu).

“Terserah kepada pihak yang meminta dan bank yang hendak memberikan pinjaman,” katanya.

Abdullah mengarahkan supaya satu kumpulan pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi-agensi terlibat diwujudkan bagi mengenal pasti produk pertanian yang berpotensi untuk dieksport.

“Saya sudah arahkan (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) (untuk lantik kumpulan ini).

“Bukan tidak ada (produk pertanian negara yang dieksport) (tetapi) kita hendak tengok produk-produk baru untuk dieksport.

“Kita hendak jadikan ekspo pertanian seperti ini untuk cari produk-produk yang berpotensi termasuk buah-buahan untuk dipasarkan di luar negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kumpulan berkenaan juga perlu membantu usahawan tani memastikan produk-produk yang hendak dieksport itu dilabel dan dibungkus dengan baik supaya ia dapat diterima di pasaran luar.

Beliau berkata, langkah itu merupakan pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan dalam membantu meningkatkan lagi pengeluaran pertanian negara memajukan perusahaan golongan usahawan tani.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana usahawan tani semakin aktif mengeluarkan produk yang ada antaranya beliau sendiri tidak menjangka dapat dihasilkan.

Abdullah berkata, jika industri pertanian dimajukan dengan baik, ia akan memberi pulangan lumayan kepada golongan berkenaan.

Beliau turut meminta usahawan tani menghasilkan lebih banyak lagi produk pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana melalui cara itu, industri pertanian negara dapat dimajukan ke tahap lebih tinggi.

Pelbagai agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam pameran sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 itu, yang akan berlangsung sehingga 2 Sept ini.

Ia dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. - Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.