saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/08/2007

Impak yang tidak sekuat mana

KEJAYAAN filem Remp-It tidak disangka memberikan ruang kepada Ahmad Idham untuk melanjutkan filem tersebut dalam bentuk yang lain. Kali ini Ahmad Idham memberikan rupa baru, perwatakan baru dan setting baru, tetapi jalan cerita yang hampir sama. Bukan itu sahaja Ahmad Idham juga mengambil filem The Fast and The Furious: Tokyo Drift sebagai modelnya.

Impak Maksima cuba memenuhi naluri dan cita rasa anak muda Melayu yang gilakan kereta dan kemaruk berlumba kereta. Strategi Ahmad Idham kali ini adalah dengan menggunakan drifting. Teknik drifting (secara literal bermaksud pemanduan yang tergelincir atau hanyut ke tepi) adalah memandu kereta dengan daya pecutan yang tinggi, membrek kecemasan kereta ketika dalam kelajuan yang tinggi hingga memberikan kesan bunyi pada tayar, berasap dan mampu mengeluarkan cahaya api pada corong eksos kereta.

Bukan itu sahaja, seni dan kehebatan drifting ini juga terletak pada aksi stunt yang menyaksikan kedudukan kereta yang menggelonsor atau tergelincir ke tepi selepas brek kecemasan di selekoh tajam hingga ada kalanya kereta seakan mengiring hampir terbalik. Teknik pemanduan drift sebenarnya bukanlah baru, malah telah lama digunakan oleh pemandu kereta lumba di awal tahun 1930-an dan contoh semasa adalah pemanduan lasak kereta pacuan empat roda. Sejarah drift dikatakan bermula di Jepun pada tahun 1960-an apabila sekumpulan pelumba Zoku berlumba di jalan berliku di kawasan pergunungan.

Cabaran sebenar pemanduan drift ini adalah pada keupayaan tayar kereta mencengkam jalan ketika dibrek atau dipandu pada pecutan yang melampau. Tokoh terkenal drifting ini adalah Keiichi Tsuchiya yang bermula dengan kesukaannya berlumba di jalan-jalan raya, tetapi namanya mula memuncak pada tahun 1977 apabila beberapa buah majalah motor Jepun menyiarkan kisahnya dan video tentangnya juga dihasilkan. Lumba motor drift mula menjadi popular di Jepun pada 1986 hingga kini dan mereka mengadakan perlumbaan drift yang dikenali sebagai D1 Grand Prix. Bagaimanapun bagi peminat filem tentu anda telah menyaksikan aksi kereta drift ini dalam filem Rebel Without Cause lakonan James Dean arahan Nicholas Ray.

Dalam filem Impak Maksima, Ayie (Awal Ashaari) adalah seorang pelajar kolej yang digambarkan sangat meminati perlumbaan kereta ini. Tetapi Johari (Eizlan Yusuf) abang kepada Ayie yang pernah menjadi pelumba drift dan menjalankan perniagaan servis kereta, melarang Ayie terlibat dengan perlumbaan haram tersebut. Ini kerana Johari bertanggungjawab terhadap adiknya selepas kematian ibu bapa mereka.

Masalahnya Ayie berlumba kereta drift itu secara haram dan dia terlibat pula dengan Ray (Zul Huzaimy), watak antagonis dalam filem ini. Puncanya bermula daripada kawan Ayie (Opie Zami) yang mencabar Ray berlumba gara-gara terdesak untuk membayar hutangnya kepada ah long. Dalam perlumbaan secara haram ini bukan sahaja ia melibatkan pertaruhan wang, tetapi ia juga melibatkan gadis-gadis jalanan, seks, dadah dan juga gengsterism.

Untuk mengatasi semua masalah ini, Ahmad Idham mengambil jalan mudah dengan meletakkan seorang anggota polis yang menjalankan tugas secara menyamar sebagai gadis drift iaitu Maria (Dynaz).

Dalam filem seperti ini, plot sudah tidak penting lagi. Watak-watak hanya untuk mengisi aksi dan menjalankan cerita. Segala kisah dan permasalahan watak sebenarnya hanya latar untuk aksi drift dan stunt yang lebih diutamakan. Bintang dan watak sebenar dalam filem seperti ini adalah kereta-kereta yang telah diubah suai untuk memungkinkan dipandu pada tahap yang paling maksima.

Dalam filem seperti ini yang penting adalah aksi stunt perlumbaan pemanduan kereta, gaya kereta dan unsur bunyi yang bingit. Sungguhpun pada babak-babak awal memperlihatkan permainan drift yang agak menarik, bagaimanapun selepas itu filem ini hilang daya ketahanannya dan aksi driftnya kelihatan hambar sahaja. Beberapa adegan yang seharusnya spektakular, gagal dilaksanakan dengan berkesan seperti letupan kereta, adegan kereta terbalik dan terbakar.

Kelemahan yang membawa kesan hambar ini adalah disebabkan olahan plot nipisnya yang lemah dan kerana disebabkan terlalu bergantung pada aksi mekanikal seperti perlumbaan kereta dan aksi cemas.

Kecuali lakonan Zul Huzaimy yang menyerlah dengan watak antagonis dan Eizlan yang semakin matang, para pelakon lain gagal memberikan impak yang seharusnya.

Selepas Remp-It, kini Impak Maksima. Sayangnya Ahmad Idham gagal menyelami permasalahan sebenar anak-anak muda yang terlibat dalam gejala perlumbaan haram ini. Watak-watak anak muda dari kalangan keluarga berada dan kaya raya kelihatan kosong dengan permasalahan yang superficial. Yang dilihat hanyalah keseronokan di permukaan sahaja.

Perlumbaan haram kereta di jalan raya yang sememangnya menjadi isu di negara ini dijadikan modal untuk menarik perhatian anak-anak muda menonton filem ini. Ini yang menjadi masalah utama filem seperti Impak Maksima.

Filem: Impak Maksima

Arahan: Ahmad Idham

Lakonlayar: Ahmad Idham

Pelakon: Awal Ashaari, Eizlan Yusuf, Zul Huzaimy, Dynaz, Yatt, Opie Zami, Cat Farish, M. Rajoli, Azizah Mahzan dan lain-lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.