saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 09/09/2007

Ibadat bulan Ramadan

Bersama: MOHD.YUSOF ABAS
SOALAN: BAGAIMANA hukumnya saudara saya yang hanya suka beramal ibadat pada bulan Ramadan dan apabila habis Ramadan dia susah hendak bersolat atau ke surau lagi?

– Zulkifkli, Muar.

JAWAPAN: Apa yang perlu difahami ialah setiap Muslim itu berkewajipan melakukan amal ibadat kepada Allah s.w.t. selama hidupnya bukan sebulan dalam setahun, atau pada bulan atau masa tertentu sahaja. Ada keistimewaan dan kelebihannya , seperti di bulan Ramadan dan Rejab, Syaaban, dan lain-lain.

Sebab itu Rasulullah s.a.w. selalu berpuasa dan bersedekah pada hari tersebut dan mengatakan bahawa amalannya yang baik akan tersenarai pada hari baik tersebut. Dalam doa ikrar iftitah pula, kita diajarkan supaya menjadikan hidup dan mati kita sebagai hamba ini hanya untuk mengabdikan diri kepada-Nya bagi mendapat keredaan-Nya sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku. (Surah az-Zariat 56). Rasulullah sendiri apabila di bulan Ramadan bersegera seperti angin dan banyak melakukan ibadat sedekah dan lain-lain. Jadi kalau Rasulullah pun tidak pernah mencuaikan tugas dan amalnya untuk mengabdikan diri kepada Tuhannya, maka bagaimana kita yang banyak dosa kepada Tuhan selama ini? Beribadat kepada Tuhan sekali sekala sahaja sekalipun di bulan Ramadan adalah tidak patut.

Oleh itu jadilah hamba yang tahu mengenang budi dan jangan jadi hamba yang kurang adab dan kurang ajar dengan Tuhan. Anda dinasihatkan supaya memberi sokongan dan rangsangan kepada saudara anda tersebut. Mudah-mudahan dia akan berubah dan memperbetulkan hidupnya pada masa hadapan. Saya percaya dan berharap (berdoa) berkat Ramadan yang diberkati ini kita semua akan mendapat petunjuk dan rahmat-Nya. “Amin ya! Arhamarrahimin.” Wallahualam.

Ganjaran beribadah di Masjidilharam

SOALAN: SAYA selalu dengar ada orang yang mengatakan bahawa satu solat kita di Tanah Suci, pahalanya adalah lebih baik dari seratus ribu solat di tempat lain. Adakah benar pendapat itu dan bagaimana dengan amal ibadat yang lain dan adakah amalan dosa juga mendapat gandaan tersebut?

– Ubaidillah Samad, Langkawi.

JAWAPAN: Pendapat tersebut adalah benar. Ini berdasarkan hadis sahih riwayat Abu Hurairah, di mana sabda Nabi bermaksud: Satu solat di Masjidilharam pahalanya adalah lebih baik dari seratus ribu solat di lain masjid dan satu solat di masjidku ini(Nabawi) lebih baik dari seribu solat di masjid lain. Hakikat ini diterima ramai kerana banyak riwayat yang datang melalui berbagai-bagai punca dan sanadnya seperti hadis Anas dan hadis Jabir riwayat Ibnu Majah. Begitu juga hadis Abdullah bin Az-zubair, hadis dari Ibnu Abbas dan lainnya.

Jadi jika kita solat satu waktu di Masjidil- haram menyamai solat selama 55 tahun 6 bulan 20 malam di tempat lain. Manakala solat lima waktu pada satu hari dapat menyamai solat 277 tahun 9 bulan 10 malam di tempat lain, demikianlah seterusnya.

Sedangkan satu solat di Masjidilharam dapat menyamai 100 solat di Masjid Madinah. Sebaliknya begitu juga amal kejahatan yang lain, yang akan mendapat gandaan dosa berlipat kali ganda, dan atas alasan inilah Ibnu Abbas tidak memilih untuk mendiami di kota Mekah tetapi memilih Taif sebagai tempat kediamannya sehingga wafatnya di sana dan makamnya masih diziarahi sampai hari ini di Taif juga, kerana takut dosa. Wallahualam.

Fidyah tinggal puasa

SOALAN: SAYA ditakdirkan ramai anak dan setiap tahun pada bulan Ramadan saya dalam pantang. Jadi tidak ada masa untuk saya berpuasa melainkan pada bulan yang lain. Adakah perlu saya membayar sebarang fidyah atau bagaimana?

– Noraini Manaf, Pasir Putih.

JAWAPAN: Anda boleh mengqada puasa itu selepas Ramadan dan jangan menangguhkannya sehingga berulang tahunnya.Ini kerana fidyahnya akan bertambah. Fidyah tersebut adalah secupak makanan untuk satu hari puasa yang tertinggal. Ini sekiranya puasa tersebut ditinggalkan kerana untuk menjaga kesihatan dirinya bersama anaknya tanpa keuzuran. Tetapi sekiranya puasa tersebut ditinggalkan hanya untuk menjaga kesihatan anaknya, maka dikenakan juga membayar fidyah di samping puasa qada. Melainkan mereka yang tua dan uzur tanpa ada harapan untuk sembuh selama-lamanya maka atas mereka hanya dikenakan fidyah dari awal lagi dan tidak perlu (tidak diwajibkan) melakukan ibadah puasa dari dulu lagi sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan wajib ke atas mereka yang tidak terdaya (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan fakir miskin (satu cupak untuk seorang miskin bagi satu hari puasa yang ditinggalkan) dan siapa yang bersukarela melakukan kebaikan (dengan melebihkan bayaran fidyah itu dari sukatan yang ditentukan) maka itu adalah suatu kebaikan untuknya (walau bagaimanapun) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari hanya membayar fidyah) kalau kamu mengetahui (surah al-Baqarah ayat 184) Wallahualam.

Kafarah

SOALAN: SAYA ada melakukan kesilapan kecil bukan sumpah atau nazar. Contohnya bila isteri kita belum mandi wajib kita sudah menggauli mereka atau darahnya belum benar-benar kering dan bersih. Bagaimana saya ingin bertaubat dan membayar kafarah terhadap kesilapan tersebut?

– Naim, Puteraja.

JAWAPAN: Sekiranya anda tersilap melakukan sesuatu dan tidak dijelaskan bentuk kafarahnya, kata ulama, anda disunatkan bersedekah sebagai ganti kafarah. Umpamanya anda tersilap hitung tarikh suci tersebut, anda digalakkan bersedekah untuk satu kali kesilapan yang berlaku dengan membayar satu dinar atau lebih kurang RM10. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya amal kebaikan itu akan menghilangkan segala amal kejahatan (surah Hud ayat 114).

Ini sesuai juga dengan sabda nabi yang bermaksud: Iringilah setiap kesalahan itu dengan kebaikan yang akan membersihkannya (menghapuskannya) (maksud hadis).

Maksud kebaikan di dalam ayat dan hadis di atas boleh juga difahami sebagai ibadat taubat kerana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang itu akan diampuni sekiranya ia benar-benar bertaubat nasuha (yang memenuhi syaratnya) kepada Allah s.w.t.

Malah dalam suatu hadisnya ada menyatakan bahawa kesalahan yang tersembunyi itu diiringi dengan kebaikan yang tersembunyi juga. Demikianlah sebaliknya, semoga kebaikan tersebut dapat menghapuskan kejahatan yang berlaku. Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel [email protected] Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 6:59
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.