saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/09/2007

Washington cari helah bertapak di Selat Melaka

PERSIDANGAN Ketua-Ketua Perisikan Pertahanan Rantau Asia Pasifik (APICC) yang diadakan di Kuala Lumpur beberapa hari lepas begitu menarik perhatian. Ini kerana ia julung kali diadakan selain dihadiri oleh sebahagian besar negara Asia Pasifik dan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis.

Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan persidangan tersebut, pertukaran maklumat risikan antara negara adalah faktor penting yang dapat menumpaskan aktiviti keganasan.

Matlamat perjumpaan tersebut antara lain mencari jalan bagaimana untuk memudahkan pertukaran maklumat risikan supaya dapat dilakukan tanpa menjejas kedaulatan sesebuah negara.

Pertukaran maklumat risikan mengenai keganasan antara negara adalah antara kelemahan paling ketara yang membantut usaha mengekang aktiviti keganasan.

Contoh klasik kelemahan ini adalah terdapat tuduhan yang menyatakan organisasi perisikan Pakistan (ISI) enggan berkongsi maklumat mengenai Osama Laden yang dikatakan sedang bersembunyi di sempadan Afghanistan dan Pakistan.

Bukan sahaja masalah ini timbul di antara dua negara tetapi terdapat juga agensi perisikan dalam satu negara yang begitu berat berkongsi maklumat sesama mereka.

Kegagalan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS berkongsi maklumat risikan mengenai komplot serangan 11 September 2001 adalah antara contoh betapa pentingnya perkongsian maklumat risikan.

Walaupun terdapat 16 negara Asia Pasifik menyertai persidangan ini, tetapi ketiadaan tiga negara utama iaitu Rusia, China dan India telah sedikit sebanyak mengekang keberkesanan proses pertukaran maklumat di rantau tersebut. Besar kemungkinan Moscow dan Beijing merasa sangsi dengan kehadiran Washington kerana maklumat risikan dikatakan begitu sensitif sekali gus mengakibatkan pertukaran sebarang bentuk maklumat antara dua negara dilakukan secara berhati-hati sekali.

Begitu juga dengan New Delhi yang sudah pasti kurang selesa dengan kehadiran Islamabad pada persidangan tersebut kerana kedua-dua negara ini tidak pernah lekang dengan masalah keganasan terutama sekali membabitkan isu Kashmir.

Adakah ketidakhadiran ketiga-tiga negara tersebut memberi isyarat bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dalam proses memerangi keganasan?

Rusia sering berdepan dengan isu keganasan di Chechnya, China pula dengan kemelut puak Uighurs dan India pula dengan masalah Kashmir. Filipina bergelut menyelesaikan hal pejuang Islam di Kepulauan Mindanao sementara isu selatan Thai menghantui kerajaan Thailand.

Memang sukar untuk meyakinkan bahawa rantau Asia Pasifik bebas dari aktiviti keganasan kerana setiap negara sedang menghadapi masalah yang boleh menjerumus kepada keganasan.

Tetapi jika diteliti kejadian keganasan selepas 11 September 2001 dalam erti kata yang sebenar, insiden tersebut lebih banyak berlaku di Eropah berbanding dengan Asia Pasifik. Kejadian pengeboman di Madrid pada tahun 2004 dan London, setahun kemudian adalah petunjuk jelas ke arah mana keganasan tersebut sedang menuju.

Beberapa siri tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa UK mengenai komplot pengganas dan terkini terbongkarnya komplot pengganas di Jerman adalah petunjuk jelas Eropah merupakan sarang pengganas baru.

Walaupun kawasan Kepulauan Mindanao dan selatan Thailand dikatakan tidak selamat kerana terdapat masalah pemberontak, begitu juga dengan London, Madrid, Berlin ataupun Amsterdam juga tidak selamat kerana ancaman keganasan.

Pembunuhan Theo van Gogh oleh Mohammed Bouyeri pada tahun 2004 mempamerkan bagaimana tepatnya gelaran Eropah sebagai bom jangka keganasan.

Kehadiran Washington di APICC yang diwakili sendiri oleh Pengarah Agensi Risikan Pertahanan AS, Leftenan Jeneral Michael D Maples sudah tentu memberi kredibiliti tentang betapa pentingnya persidangan tersebut.

Tetapi persoalannya adalah kepentingan tersebut mewakili pihak mana.

Beijing sudah tentu tidak mahu berkongsi maklumat risikan dengan Washington terutama sekali apabila berhadapan dengan isu Uighurs. Begitu juga dengan Moscow sudah tentu sama sekali tidak mahu bekerjasama dengan Washington mengenai pemberontakan di Chechnya kerana Rusia mempunyai agenda mereka yang tersendiri.

Terdapat desas-desus yang menyatakan Washington akan menggunakan landasan APICC untuk memaksa Kuala Lumpur dan Jakarta untuk menerima kehadiran tentera AS di Selat Melaka. Washington sudah lama berusaha memujuk kedua-dua negara pesisir ini untuk bersama-sama dengan Singapura supaya akur dengan keperluan kehadiran tentera AS di Selat Melaka.

Terbaru, Washington mengguna Inisiatif Peningkatan Keselamatan (PSI) sebagai asas untuk mereka bertapak di Selat Melaka tetapi sehingga kini Kuala Lumpur dan Jakarta masih bertegas menolak program tersebut.

Tetapi PSI bukannya strategi pertama yang pernah digunakan Washington kerana pada tahun 2003 mereka memperkenalkan Inisiatif Keselamatan Maritim Serantau (RMSI) sebagai langkah permulaan bertapak di Selat Melaka.

Bantahan keras Kuala Lumpur dan Jakarta terhadap RMSI membuatkan Washington membatalkan program tersebut dan diganti dengan PSI.

Kuala Lumpur dan Jakarta setakat ini bertekad enggan menyertai PSI disebabkan terdapatnya perasaan curiga dan syak wasangka berikutan kaedah perlaksanaan PSI tidak mengikut lunas perundangan antarabangsa yang sedia ada. Mudah kata, kedaulatan dan maruah negara boleh tergadai jika tersilap langkah.

Terdapat juga kesangsian bahawa Washington boleh menggunakan PSI sebagai meletakkan pengaruh mereka di Selat Melaka. Jakarta sering dipujuk supaya menyertai PSI dan kali terakhir ini dilakukan ketika Setiausaha Negara AS Condoleezza Rice membuat lawatan ke Indonesia pada bulan Mac 2006. Permintaan Rice ditolak oleh Jakarta atas alasan kedaulatan negara tidak mahu diperjudikan.

- PROF. MADYA DR. AZMI HASSAN ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (Centepis) Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.