saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 23/09/2007

Tabah hadapi kematian

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Dalam satu kuliah maghrib, seorang ustaz bersyarah menyatakan sakit atau seksa sakaratulmaut tidak ubah seperti seekor kambing yang disayat kulitnya hidup-hidup. Kemudian ustaz itu menjelaskan peringkat demi peringkat sehinggalah roh seseorang itu tercabut dari jasad. Mulai dari pemahaman itu, saya sering termenung mengingati mati yang begitu dahsyat gambarannya.

Saya sering merasakan bahawa seseorang itu tidak akan mati kecuali berhadapan dengan penderitaan. Saya mahukan ketenangan atau keyakinan dengan mengingati mati, bukan gambaran-gambaran ngeri lagi menakutkan. Terima kasih.

– INSAN INSAF, PJ.

Jawapan: Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar selalu menziarahi kubur yang akan mengingatkan seseorang kehidupan di akhirat. Rasulullah juga menyuruh kita memandikan mayat, kerana ini merupakan satu pengajaran yang paling memberi kesan. Baginda menyuruh kita menyembahyangkan mayat agar seseorang itu insaf.

Mengingati mati serta melahirkan insaf pada diri adalah baik. Namun, ingatan atau rasa ngeri pada kematian menyebabkan seseorang itu terus melakukan perbuatan ibadah semata-mata dan meninggalkan tanggungjawab seharian adalah tafsiran salah.

Semua orang rasa ngeri dengan kematian. Hal demikian berlaku kerana kita sering disuakan dengan gambaran peristiwa dahsyat ketika sakaratulmaut.

Semua orang diuji kekuatan imannya yang berkaitan dengan dunia yang akan dialami setelah hidup di dunia. Orang yang sakit perlu berusaha memperbaiki akhlaknya. Bertaubat menjauhkan permusuhan, perselisihan yang berkaitan dengan urusan dunia, biarpun urusan itu berkaitan kematian, seperti harta pusaka. Kalau ditakdirkan pendek umurnya dia perlu reda.

Ada dua perkara penting pada orang yang sakit, yang mungkin membawa mati, iaitu rasa takut (khau) kepada Allah dan rasa penuh harapan (raja’). Takut kepada Allah melahirkan rasa takwa kepada-Nya, manakala raja’ itu meletakkan Allah sebagai tempat mengharap, berlindung, tempat memohon rahmat dan memohon belas. Dengan dua sifat itu, seseorang itu akan memperoleh rasa baik sangka terhadap Allah dan akan tabah ketika menghadapi mati.

Menurut riwayat Nabi Musa apabila ia mati dan rohnya kembali kepada Allah s.w.t., Allah berfirman kepadanya menanyakan tentang sakaratulmaut. Nabi Musa berdatang sembah menyatakan bahawa sakaratulmaut itu sakitnya seumpama kambing hidup yang dikupas kulitnya oleh tukang sembelih.

Nabi Ibrahim ketika ditanya tentang sakaratulmaut menyatakan, ia tidak ubah seperti sekerat besi yang dibakar hingga merah menyala yang kemudiannya diletakkan dalam bulu basah, kemudian besi itu ditarik. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh akan didatangi malaikat maut dengan rupa yang amat elok dan menyukakan hatinya ketika berhadapan dengan sekaratulmaut seperti dijelaskan dalam hadis-hadis. Kesusahan dan ketakutan ketika berhadapan dengan sakaratulmaut akan diganti dengan kegembiraan.

Bagi orang yang beriman, Allah akan memperlihatkan tempatnya di syurga. Rasulullah ada bersabda mengenainya, yang bermaksud: Tidak keluar seseorang daripada kamu daripada dunia, sehinggalah ia tahu ke mana tempatnya dan sehingga dia melihat tempatnya sama ada di syurga atau neraka.

Bapa Ibnu al-Khadraj memberitahu bahawa dia pernah mendengar Rasulullah bersabda tatkala melihat malaikat maut berada di hujung kepala seorang lelaki kaum Ansar, baginda berkata: Wahai malakul maut, berlembutlah kepada sahabatku maka sesungguhnya dia adalah mukmin. Maka jawab malakul maut: Perbaguskan diri, tenangkan hati dan ketahuilah sesungguhnya aku bersikap lembut kepada setiap mukmin.

Apabila seseorang reda dengan kematian dan gembira bertemu Allah, maka Allah juga amat gembira untuk bertemu dengannya. Dalam sebuah hadis marfu’ dijelaskan: Sesungguhnya, seorang mukmin itu apabila dia hampir mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah baginya, nescaya dirinya menjadi ingin untuk keluar. Maka dia lebih suka untuk menemui Allah, sedangkan Allah juga suka menemuinya. Dan sesungguhnya orang kafir itu apabila hampir mati dan melihat apa yang disediakan baginya, nescaya dirinya menjadi benci untuk keluar maka di sana dia benci untuk menemui Allah, sedangkan Allah benci untuk menemuinya.

Seorang mukmin itu apabila dia terputus daripada dunia dan menghadapi dunia akhirat, turun kepadanya beberapa orang malaikat dari langit dalam keadaan berwajah putih berseri, seolah-olah muka mereka sinar matahari, bersama mereka kain-kain kapan dari kain-kain kapan syurga dan ubat-ubat pemelihara mayat daripada ubat-ubat pemelihara mayat dari syurga sehinggalah mereka mengambil tempat duduk di mana luasnya sayup mata memandang.

Kemudian datanglah malaikat maut duduk di hujung kepalanya dan berkata: Wahai jiwa yang tenang keluarlah untuk mendapat keampunan Allah dan keredaan-Nya. Maka keluarlah roh seperti titisan air dari bekas air dan sekiranya kami melihat dia keluar selain dari itu, maka keluar juga jiwanya, yang mana apabila ia dikeluarkan, lalu mereka semua meletakkan di kain-kain kapan dan ubat-ubat pemelihara mayat dan keluarlah ia darinya seperti bau semerbak kesturi yang semerbak di muka bumi.

Abi Masud pernah mengatakan bahawa apabila Allah ingin mengambil roh seorang mukmin, Dia mewahyukan kepada malaikat maut mengatakan yang Dia mengirim salam kepadanya. Maka apabila datang malaikat itu kepada orang yang berkenaan, malaikat berkata kepadanya yang Allah mengirim salam kepadanya.

Abu Musa al-Asyari pernah memberitahu bahawa roh orang yang beriman itu keluar dari badan lebih harum daripada bau kesturi, kemudian dibawa naik oleh para malaikat yang mengambil nyawanya, lalu mereka bertembung dengan malaikat yang lain. Mereka bertanya tentang orang yang diiringi oleh malaikat-malaikat itu. Malaikat maut memberitahu mereka, juga beritahu amalan baiknya. Mendengarkan jawapan itu malaikat yang bertanya itu berkata yang bermaksud: Semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu, juga kepada orang yang kamu iringi.

Dengan itu, maka dibukalah baginya pintu-pintu langit lalu malaikat itu menaikinya menurut pintu amalan di mana orang yang mati tadi melihatkan diri dalam amalan itu, lantas bercahayalah mukanya, maka dia pun menghadap Tuhannya dalam keadaan wajah cerah berseri seumpama sinar sang suria.

Abu Hurairah menyatakan bahawa nyawa seorang Islam itu tidak diambil sehinggalah diperlihatkan kepadanya sesuatu yang menggembirakan. Apabila nyawa itu dicabut, berserulah roh tadi, meminta ia disegerakan menemui Tuhan Yang Maha Pengasih.

Apabila orang yang mati dibaringkan di pembaringan, ia berkata alangkah lambatnya perjalanannya menemui Tuhan. Segala seruannya untuk menyegerakan bertemu Tuhannya didengar oleh semua binatang kecil dan besar kecuali jin dan manusia.

Tatkala dimasukkan dalam kubur, dia didudukkan, lantas diperlihatkan tempatnya di syurga. Kuburnya dipenuhi kenikmatan dan bauan mewangi. Maka dia meminta kepada Allah supaya didahulukan. Maka dikatakan kepadanya, ia mempunyai saudara-saudara yang belum menyusul. Kerana itu dia disuruh tidur untuk ketenangan.

Allah apabila mengambil hamba- Nya yang beriman, akan menjadikan hamba-Nya itu tenang dan Allah pula reda terhadapnya.

Ketahuilah, bahawa Allah itu amat pengampun lagi penyayang. Sentiasa mengharapkan hamba-hamba-Nya memohon keampunan, harapan, bersandar kepadanya dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Tugas manusia ialah bertaubat dengan penyesalan tanpa mengulanginya, manakala urusan menerima taubat itu adalah di luar keupayaan atau kekuasaan manusia.

Manusia tidak seharusnya mencampuri urusan Allah. Setiap orang perlu ada rasa sangka baik bahawa Allah itu amat pemurah, penyayang lagi mengampuni dosa seseorang hamba kecuali dosa kerana mensyirikannya.

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas saya meyakini bahawa seseorang itu akan memperoleh ketenangan dengan mengingati mati. Hanya orang yang tidak yakin sahaja berasa ngeri apabila teringatkan mati. Ketahuilah bahawa mati itu pasti datang apabila tiba masanya, biar apa usaha yang dilakukan oleh manusia untuk mengelakkannya.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.