saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 23/09/2007

Sakit kepala apabila datang bulan

Doktor,
SAYA gadis berumur 20 tahun. Masalah saya di sini ialah setiap kali saya dalam keadaan haid pasti saya akan mengalami sakit kepala yang teramat sangat. Untuk menghilangkan sakit kepala saya mengambil Panadol.

Persoalannya, adakah saya boleh mengambil sebarang ubat atau pil makan dalam keadaan haid dan bagaimanakah cara untuk mengelakkan daripada mengalami sakit kepala yang teruk.

Untuk pengetahuan doktor, saya tidak pernah mengalami masalah senggugut ketika haid. Oleh itu, saya berharap sangat doktor dapat memberikan penjelasan kepada persoalan saya ini. Sekian, terima kasih.

NUR

Nur,

Dari ringkasan cerita yang diberikan, sakit kepala semasa haid yang dialami oleh saudari boleh dikaitkan dengan sindrom yang dinamakan Premenstrual tension syndrome.

Gadis-gadis yang mengalami sindrom ini boleh mengalami berbagai-bagai perubahan sebelum (lebih kurang seminggu) dan semasa haid.

Mereka boleh merasai sakit kepala, pening, rasa mual, muntah, letih dan sebagainya. Salah satu daripada tanda-tanda yang dinyatakan boleh dialami.

Ubat-ubat tahan sakit boleh diambil untuk sakit kepala semasa haid. Terdapat berbagai-bagai jenis rawatan untuk sindrom yang dinyatakan.

Jika sakit kepala tidak boleh dikawal dengan ubat tahan sakit atau terdapat tanda-tanda lain seperti muntah atau perubahan pada penglihatan, anda mestilah mendapatkan nasihat doktor.

- Jawapan disediakan oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Selangor, Dr. S. Silvam.

Saiz zakar seperti kanak-kanak

Doktor,
SAYA berumur lewat 20-an. Masalah saya adalah zakar dan buah zakar saya tidak berkembang ketika saya akil baligh dan saiznya kecil seperti kanak-kanak. Saya mengalami mimpi basah ketika berusia 17 tahun. Adakah saya mampu berkahwin dan mempunyai anak?

LELAKI DILEMA

Lelaki Dilema,

Setiap orang lelaki atau wanita mempunyai ciri jantina masing- masing. Ciri-ciri ini boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu ciri-ciri seksual primer dan ciri-ciri seksual sekunder.

Ciri-ciri primer dapat dilihat semasa seseorang itu dilahirkan manakala ciri-ciri sekunder akan datang semasa akil baligh.

Bagi lelaki, perubahan ciri-ciri ini adalah disebabkan oleh hormon testosteron yang memecut semasa akil baligh.

Untuk menentukan keupayaan mendapatkan anak, memerlukan pemeriksaan fizikal oleh doktor serta ujian darah untuk menentukan tahap hormon tertentu dan ujian air mani.

Segolongan kecil pesakit mengalami kecederaan pada testis selepas mengalami beguk iaitu sejenis jangkitan virus biasa yang menghinggapi terutamanya kanak-kanak.

Ada juga segolongan pesakit yang mempunyai kromosom yang rosak sedikit. Kesemua ujian dan pemeriksaan perlu dibuat sebelum persoalan mengenai kahwin dan mempunyai zuriat dapat dijawab.

- Jawapan disediakan oleh Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Nanda Kumar Rajendram.

Pendarahan selepas senggama

Doktor,
SAYA baru sahaja mendirikan rumah tangga, perkahwinan pertama bagi suami dan kali kedua bagi saya. Beberapa bulan kebelakangan ini, selepas melakukan hubungan kelamin, saya perasan ada sedikit darah yang keluar dari faraj saya. Tidaklah terlalu kerap tetapi ada beberapa kali. Ia agak membimbangkan saya. Adakah keadaan ini merbahaya?

NASHA

Nasha,

Pendarahan faraj selepas bersenggama dengan suami perlu diperiksa oleh doktor kerana ia bukan suatu yang normal. Ada banyak punca yang berkemungkinan. Dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih serius seperti:

* Kekeringan faraj selepas melahirkan atau menopaus

* Kecederaan faraj

* Keradangan pangkal rahim/serviks (cervicitis)

* Penyakit tularan seks seperti klamidia atau gonorea

* Polip/ketumbuhan serviks

* Penyakit keradangan pelvik/pinggul

* Fibroid uterin

* Kanser serviks, rahim atau faraj

Jadi, usah berlengah lagi. Segeralah berjumpa doktor. Rawatan bergantung kepada apa yang menjadi punca pendarahan.

Contohnya, jika penyebabnya adalah kekeringan faraj akibat menopaus, doktor anda mungkin mempreskripsi terapi estrogen atau pelincir atau pelembab berasaskan air.

Syak hidap kanser prostat

Doktor,
BOLEHKAH doktor terangkan dengan lebih lanjut mengenai kanser tersebut, maksud saya cara-cara hendak mengenali atau petanda- petanda awal kanser tersebut dan sebagainya. Saya berharap doktor dapat menerangkan dengan lebih lanjut mengenai hal ini kerana saya syak, saya juga mengalami penyakit ini. Kerjasama doktor saya dahului dengan ucapan terima kasih.

HAFIZ

Hafiz,

Kanser prostat berlaku apabila pembiakan sel-sel prostat tidak terkawal. Di peringkat awal, pesakit tidak mengalami sebarang gejala. Berikut adalah gejala-gejala yang berkaitan dengan pembengkakan prostat.

* Terdapat darah dalam air kencing

* Terasa sakit atau panas semasa membuang air kecil

* Daya pengaliran air kecil yang lemah atau hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil

* Ejakulasi yang menyakitkan

* Penurunan keinginan seksual

* Kurang upaya dalam mengalami rangsangan seksual

* Kesakitan pada bahagian belakang atau tulang pinggul atau bahagian atas paha

* Hilang selera makan

* Kesakitan tulang yang berlanjutan.

Sekiranya anda mempunyai salah satu gejala tersebut di atas, pergilah berjumpa doktor pakar urologi.

Untuk memastikan kesihatan prostat anda doktor pakar akan melaksanakan pemeriksaan prostat melalui rektum, menjalankan pemeriksaan ultrasound, membuat ujian kandungan antigen spesifik prostat (PSA) dalam darah.

Sekiranya seseorang itu disyaki menghidap kanser prostat, doktor pakar urologi akan membuat biopsi, iaitu mengambil contoh sel prostat.

- Jawapan disediakan oleh Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear, Pusat Kebangsaan Kanser, Dr. Sulaiman Tamanang merangkap Ahli Majlis Kesejahteraan dan Kesihatan MayFirst.

Hantarkan soalan-soalan anda kepada Tanya Dr. Pakar, Kesihatan, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu (M) Bhd., 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel: kesihatan@utusan.com.my atau faks: 03-92213752.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.