saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/09/2007

Anak Kerbau Mati Emak versi baru di kaca TV

ANAK Kerbau Mati Emak (AKME) hasil karya penulis skrip terkenal, Allahyarham Bidin Subari atau nama penanya, Malina Manja telah dianggap sebagai salah sebuah karya yang hebat di awal kemunculannya sekitar tahun 70-an.

Bermula dengan pementasan di Dewan Budaya selama tiga malam berturut-turut, AKME kemudian beralih ke layar kaca di RTM menerusi slot Potret Pekerti, juga pada tahun 70-an.

Selepas itu, AKME dipentaskan kembali di pentas Istana Budaya selama 10 hari pada awal tahun 2004 dengan menampilkan Mior Hashim Manap sebagai pengarah ketika itu.

Kini, karya tiga dekad itu kembali dijelmakan ke layar TV bermula 7 Oktober depan menerusi saluran RTM1 dan apa yang menariknya, sentuhan skrip Bidin Subari itu masih lagi dikekalkan dan hanya menampilkan sedikit perubahan demi menepati kriteria masa kini.

Bertemu dengan penerbit eksekutifnya, Muhammad Yusoff Osman di Unit Drama TV RTM di Petaling Jaya Isnin lalu, AKME versi 2007 itu difahamkan merupakan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berjumpa dengan Perdana Menteri (PM) dan pada pertemuan itu PM turut menyarankan agar karya popular Bidin Subari itu ‘dihidupkan’ semula. Kata PM, karya tersebut banyak menyentuh aspek kemelayuan serta kaum Melayu dan ia sesuai untuk tontonan umum.

“Selepas itu, kami di Unit Drama TV RTM mula duduk berbincang dan memulakan rancangan untuk menerbitkan semula AKME dalam versi baru ini tetapi sentuhan asal skripnya masih lagi dikekalkan. Disebabkan itu juga, kami memilih sebuah perkampungan di Yan, Kedah sebagai lokasi memandangkan kawasan itu masih lagi mengekalkan ciri-ciri yang terdapat dalam skrip asal AKME,” jelas Yusoff.

Bercerita tentang cabaran untuk mengembalikan kegemilangan AKME dalam versi baru ini, Yusoff berkata, skripnya yang masih lagi boleh diaplikasikan dengan situasi hari ini banyak membantunya untuk mewarnakan AKME versi baru.

“Pada zaman skrip ini ditulis, pihak kerajaan menggalakkan penduduk mengamalkan pertanian dan hari ini juga, seperti yang kita sedia maklum, kerajaan juga mahu menumpukan pada bidang pertanian sebagai sumber ekonomi negara. Jadi, persamaannya masih ada dan dikekalkan,” ujarnya.

Tambah Yusoff lagi, perbezaan yang ditambah dalam drama versi baru ini adalah mengaplikasikan zaman teknologi maklumat pada penghujung cerita itu.

“Versi dulu, babak menaip menggunakan mesin taip tetapi versi baru, kami tonjolkan penggunaan komputer seiring dengan perubahan yang dialami. Malah, dialognya juga menggunakan bahasa percakapan biasa,” katanya.

Bagi penerbit juga selaku pengarah drama ini, Kamarudin Ambak, salah satu lagi cabaran yang dihadapinya adalah untuk menggunakan teknik single camera ketika menjalani penggambaran drama komedi ini.

“Kaedah ini bukan senang sebenarnya kerana cara ini agak jarang digunakan dalam drama komedi tetapi kerana kami mahu kekalkan stail AKME, maka kami menggunakan cara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, kekuatan AKME sebenarnya lebih terletak kepada skrip dan dialognya yang melucukan. Penonton juga perlu mendengar dengan teliti dialognya untuk mendalami maksud yang tersirat di dalamnya.

Tawil dulu

WATAK utama AKME ialah watak Tawil dan pada drama awalnya watak itu dilakonkan oleh Abu Bakar Ahmad.

“Watak Tawil ini sebenarnya seorang yang bodoh-bodoh alang tetapi apabila dia mula berkata-kata, sukar untuk orang sekelilingnya menidakkan kebenaran yang disampaikannya. Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana watak itulah, saya dikenali sehingga ke hari ini.

“Ketika itu, saya aktif bersama persatuan Angkatan Seni Pentas (AKSEP) dan pada waktu itulah, Bidin Subari datang dan mencari pelakon untuk pementasan AKME. Mungkin merasakan saya mempunyai keunikan dan aura tersendiri, maka saya ditawarkan menjayakan watak Tawil dan ternyata dia sememangnya berasa puas hati dengan persembahan saya. Saya sendiri pun sebenarnya menyukai watak itu,” ceritanya panjang lebar.

Dek kerana terlalu sukakan watak Tawil itu sehingga sudah meresap dalam dirinya, Abu Bakar pernah berasa tidak berpuas hati apabila watak itu diserahkan kepada pelakon lain ketika ia dipentaskan di Istana Budaya pada 2004.

“Ketika itu, saya tidak membawakan watak Tawil tetapi diberikan watak Tok Empat Takat. Apabila watak Tawil dibawa oleh orang lain ketika itu, saya berasa tidak puas hati dengan lakonannya kerana merasakan mesej dan penghayatannya tidak sampai. Hampir saja saya mahu menegurnya tetapi telah dinasihati oleh pengarahnya untuk tidak berbuat demikian,” ceritanya mengenang zaman silam.

Tawil baru

UNTUK AKME versi baru ini, watak Tawil dibawakan oleh pelakon generasi baru, Ngasrizal Ngasri atau lebih mesra dengan panggilan Bell.

Kata Bell: “Memang rasa terkejut jugalah apabila diberitahu terpilih membawakan watak Tawil ini dan sudah semestinya saya berterima kasih kepada pihak penerbit di atas kepercayaan yang diberikan.”

Menyedari watak itu telah diwujudkan sebelum kelahirannya, Bell mengambil inisiatif bertanyakan kepada penerbit untuk menghayati watak berkenaan.

“Kesukaran untuk membawakan watak Tawil ini adalah kerana ia banyak bermain dengan pergerakan badan dan dari situ saya cuba untuk menghidupkan watak Tawil. Saya telah cuba sedaya upaya melakonkan watak itu.

“Saya akan terima jika orang mahu melakukan perbandingan antara lakonan saya dengan pelakon sebelum ini,” cerita Bell lagi.

Tambahnya lagi, cabaran utamanya adalah untuk menghafal skrip yang kadangkala berbelas helaian muka surat untuk satu adegan.

“AKME sebenarnya adalah sebuah drama yang berterusan kisahnya. Bayangkan, satu hari penggambaran kadangkala hanya untuk dua atau tiga adegan sahaja dan AKME ini ada lebih daripada 90 adegan. Memandangkan ini adalah cerita gaya lama, maka itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh semua pelakon. Namun, ia satu pengalaman yang cukup menyeronokkan,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.