saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/10/2007

Ulasan Buku

INI merupakan buku yang ke-15 ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman, yang merupakan himpunan pengalamannya sebagai bekas seorang pustakawan di Perpustakaan Negara Malaysia, dan juga sebagai seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara.

Pengalaman 14 tahun beliau sebagai pustakawan telah melahirkan satu aliran pemikiran yang begitu komited dengan budaya ilmu dan mewujudkan gerakan membaca di dalam masyarakat beliau. Buku ini telah dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu Bahagian Pertama: Dinanisme Perpustakaan yang membicarakan kehebatan Perpustakaan Iskandariah yang telah dibangunkan semula setelah 16 abad ‘tidur’ di dalam peradaban manusia.

Pengalaman penulis dilihat begitu berharga apabila beliau membicarakan pengalaman beliau sendiri yang sempat melawat Iran dan Perpustakaan Peribadi Ayatullah Ma‘rashi Najafi di Qom, Iran. Iran yang kaya dengan sarjana masa silam, yang telah mewarnai berkurun lamanya tamadun manusia, tidak terkecuali dengan mempunyai perpustakaan-perpustakaan hebatnya.

Penulis juga membicarakan bagaimana untuk menyemarakkan perpustakaan desa di Malaysia, yang bukan sekadar bertindak sebagai sebuah bangunan yang menyimpan buku, sebaliknya penulis mencadangkan supaya diperhebatkan lagi penggunaan perpustakaan desa sebagai satu pusat kecemerlangan masyarakat setempat. Menurutnya, “perpustakaan desa tidak seharusnya menjadi ‘tempat’ penyediaan bahan bacaan semata tetapi harus meningkatkan layanan dan perkhidmatan ‘profesionalisme’ yang selayaknya sebagaimana yang dinikmati oleh perpustakaan awam, perpustakaan khusus dan perpustakaan akademik.

Membezakan

Dalam bahagian kedua, penulis membicarakan tentang dinamisme pusat sumber sekolah. Tiga buah artikel yang berjaya mencuri pandangan pembacanya, membicarakan tentang pengurusan pusat sumber sekolah, cadangan untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan membezakan perpustakaan dengan pusat sumber sekolah.

Penulis mencadangkan supaya pusat sumber sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembinaan dan perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Yang menariknya juga, penulis mencadangkan supaya pusat sumber sekolah berfungsi sebagai pasar raya yang menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Perbincangan tentang budaya ‘biblioholisme’ pula merupakan tajuk utama kepada bahagian keempat buku ini. Lima buah artikel di bahagian ini cuba mengupas dan memasyarakatkan definisi biblioholisme, atau apa yang dihuraikan oleh penulis sebagai ‘rakus membaca’, tamak mengumpul buku atau ‘gila’ membeli buku. Idea asal biblioholisme yang telah dibacarakan oleh Tom Raabe (2001) cuba dikupas dan diaplikasikan di dalam masyarakat Malaysia oleh penulis.

Pada bahagian kelima buku ini, penulis cuba melihat kepada beberapa koleksi khas yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi perpustakaan di Aceh. Penulis juga membicarakan usaha-usaha untuk membina perpustakaan Melayu yang cemerlang serta pemuliharaan rekod-rekod umat Melayu yang terdapat di dalam bentuk manuskrip-manuskrip lama. Pemuliharaan rekod-rekod ini amat penting kepada sejarah pembinaan bangsa, terutamanya kepada kaum Melayu khasnya, dan umumnya kepada masyarakat Malaysia. Penulis membicarakan peranan seseorang pustakawan yang perlu bersifat profesional, yang juga beberapa kali diperkatakan oleh penulis di beberapa bahagian lain buku ini, perlu mentadbir perpustakaan-perpustakaan di masjid.

Sesungguhnya buku ini amat menarik dibaca dan ‘dikhatam’ sebaiknya. Beberapa idea yang cuba diutarakan oleh penulis buku ini sememangnya bersifat ‘gila-gila’ tetapi amat berguna untuk mengatasi masalah-masalah masyarakat yang bersifat kritikal. Mungkin amalan atau budaya membaca dilihat sebagai aktiviti sendirian, tetapi Shaharom telah membuktikan daripada pengalamannya sebagai pustakawan, keintelektualannya sebagai seorang pensyarah dan yang terpenting sebagai seorang biblioholist yang amat ‘rakus’ membaca.

Judul: Perpustakaan dan Pusat Sumber Sekolah: Dinamisme dan Relevensi

Pengarang: Shaharom TM Sulaiman

Penerbit: Goal Intelligent Publishing Sdn. Bhd.

Tahun: 2007

ISBN: 983373024-8

Harga: RM49.90

Tebal: 266 muka surat

Pengulas: KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM

* PENGULAS ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.