saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/10/2007

Berhari raya di kuburan


Amalan menziarah kubur anggota keluarga yang telah meninggal dunia menjadi amalan masyarakat Islam negara ini. Gambar hiasan.


LAZIMNYA pada pagi Hari Raya iaitu sebelum atau sesudah solat Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia akan berpusu-pusu memenuhi tanah-tanah perkuburan untuk menziarah kubur ahli keluarga mereka.

Sesetengah tanah perkuburan telah berubah menjadi seperti kawasan perayaan yang meriah. Terdapat gerai-gerai menjual bunga-bunga dan air wangian untuk ditabur dan dijirus di atas kuburan.

Ramai juga membaca surah Yasin, berzikir malah ada yang melakukan upacara tahlil di situ untuk disedekahkan pahalanya kepada mayat. Ada juga segelintir kecil umat Islam yang sehinggakan membawa makanan serta minuman di kawasan perkuburan dan membuat jamuan di situ.

Ini semua perbuatan yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w dan tidak juga pernah diamalkan oleh mana- mana para al-salafussoleh termasuk imam kita Imam Muhammad Idris al- Syafie rahimahullah. Sekiranya perkara tersebut adalah baik lagi mendatangkan manfaat yang besar kepada umat Islam, nescaya mereka akan mendahului kita dalam mengamalkannya.

Syaikh Wahid Abdussalam Bali ketika mengulas pengkhususan Hari Raya Aidilfitri dijadikan hari menziarah kawasan perkuburan berkata:

Pertama, bukan merupakan petunjuk Nabi s.a.w atau salah seorang sahabatnya mengkhususkan Hari Raya untuk berziarah kubur.

Kedua, Hari Raya adalah hari kegembiraan dan kesenangan, bukan hari kesedihan dan tangisan.

Ketiga, Hari Raya adalah hari saling berkunjung orang yang masih hidup, dan bukan untuk mengunjungi orang yang sudah mati. - (Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 429).

Sebenarnya Rasulullah telah mengharamkan untuk dilakukan ibadah di kawasan perkuburan dan menjadikannya sebagai kawasan perayaan.

Ini sebagaimana sabda baginda: Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan.

Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (riwayat Imam Muslim)

Dari hadis ini dapat kita fahami bahawa rumah yang tidak dikerjakan ibadah seperti membaca al-Quran dan solat adalah sama seperti kawasan perkuburan. Oleh itu secara tidak langsung ia memberitahu kepada kita bahawa kawasan perkuburan bukan merupakan tempat untuk beribadat seperti membaca al-Quran.

Tambahan pula amalan mengirim pahala bacaan al-Quran seperti surah Yasin kepada mayat menurut pendapat Imam al-Syafie adalah tidak sampai pahalanya kepada mayat tersebut. Ternyata di dalam kitab-kitab Imam al-Syafie tidak pernah tertulis tentang amalan mengirim pahala bacaan al-Quran kepada mayat.

Firman Allah, (Dalam Kitab-Kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. (Al-Najm: 38-39)

Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w tidak pernah mensyariatkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan al-Quran kepada yang telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya atau memberikan petunjuk kepada mereka baik dengan nas (dalil yang jelas lagi terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah dinukilkan daripada seorang pun sahabat (bahawa mereka pernah mengirim pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah mati).

Jika amalan itu baik tentu para sahabat telah mendahului kita mengamalkannya. Dan dalam masalah ibadah ia hanya terbatas pada dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qias-qias atau pendapat-pendapat.

Oleh itu bagi masyarakat Islam di Malaysia yang rata-ratanya mengaku berpegang teguh dengan mazhab Syafie sewajarnya meninggalkan amalan membaca al-Quran di kuburan bertujuan mengirim pahalanya kepada mayat bukan hanya pada pagi Hari Raya Aidilfitri tetapi juga pada hari-hari selainnya.

Perayaan

Rasulullah bersabda: Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu sebagai kuburan dan janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan. (riwayat Abu Dawud)

Sekiranya kubur manusia yang paling mulia di atas muka bumi ini iaitu kuburnya Rasulullah s.a.w diharamkan untuk dijadikan kawasan perayaan, apatah lagi kuburan manusia biasa yang selainnya. Maka haram hukumnya untuk mengkhususkan Hari Raya Aidilfitri sebagai hari berkumpulnya manusia di kawasan perkuburan kerana ia menggambarkan seolah-olah kuburan dijadikan kawasan perayaan.

Tambahan pula apabila manusia berkumpul beramai-ramai dan melakukan pelbagai aktiviti di kawasan perkuburan kita sering melihat mereka duduk di atas kubur atau memijak-mijaknya. Mereka seolah-olah tidak pernah mengetahui amaran keras daripada Rasulullah terhadap mereka yang duduk di atas kubur.

Baginda s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya jika seseorang kamu duduk di atas bara api membakar sehingga menembusi pakaiannya lalu membakar kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kuburan. (riwayat Muslim)

Tidak dinafikan bahawa kita sememangnya disunatkan menziarah kubur agar mengingatkan kita kepada kematian. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w: maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian. (riwayat Muslim)

Namun demikian Rasulullah tidak pernah memerintahkan kita untuk mengkhususkan pagi Hari Raya Aidilfitri sebagai hari untuk menziarah kubur. Ternyata tidak wujud satu hadis pun yang sabit daripada baginda tentang amalan menziarah kubur khusus pada Hari Raya Aidilfitri.

Tambahan pula apa yang disunatkan untuk kita lakukan ketika menziarah kubur hanyalah mendoakan kesejahteraan mayat dan doa yang telah diajar oleh Rasulullah adalah: Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya-Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. (riwayat Imam Muslim).

Sesungguhnya ketika Allah mewafatkan Nabi s.a.w, agama Islam itu sudah lengkap dan apa-apa ibadah yang bukan sebahagian daripada agama ketika itu maka ia bukan sebahagian daripada agama Islam selama-lamanya. Ini sebagai mana dinyatakan dalam surah al-Maidah: 3.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.