saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 15/10/2007

Beraya di kampung satu kemestian

SELAMAT Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia. Tangan dihulur, kemaafan dipinta agar segala kesalahan diampunkan. Bagi yang masih mempunyai kedua ibu bapa, tangan dikucup memohon keampunan.

Sebulan berpuasa, tibalah Syawal yang dinantikan. Gema takbir di masjid begitu memilukan mengenang orang-orang tersayang yang telah tiada. Hanya doa mengiringi agar mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Pada hari yang bahagia ini pastinya ramai yang sedang berkumpul bersama keluarga di kampung halaman masing-masing. Kerinduan kepada ibu bapa dan sanak saudara terubat. Kampung yang lama ditinggalkan kini meriah kembali.

Bermacam-macam juadah disediakan bagi menyambut kedatangan anak menantu dan cucu. Lemang, ketupat, rendang, kuah kacang, dodol dan pelbagai jenis kuih muih.

Pakaian serba baru yang berwarna warni tambah menceriakan suasana Hari Raya. Rumah dihias indah bagi menyambut tetamu jauh dan dekat. Tawa dan jerit pekik kanak-kanak menggamatkan suasana.

Bagi kebanyakan orang, pada ketika inilah mereka berkesempatan bertemu dengan sanak saudara dan handai taulan yang telah lama berpisah. Maklumlah, setiap orang sibuk dengan urusan masing-masing dan sukar untuk mengumpulkan semuanya sekali gus.

Mungkin juga ada yang telah berpisah bertahun-tahun lamanya daripada yang kecil menjadi dewasa, muda menjadi tua dan yang bujang telah berkahwin dan mempunyai anak.

Peluang untuk ziarah menziarahi tidak harus dilepaskan. Yang muda berkunjung ke rumah yang tua. Akan terhiburlah sedikit hati mereka yang kesunyian setelah anak-anak dewasa dan meninggalkan mereka.

Janganlah pula menghabiskan masa di depan kaca televisyen kerana sayang tidak dapat menonton rancangan-rancangan menarik yang disediakan. Berhibur bila-bila masa pun boleh namun Syawal hanya sekali setahun.

Sementara itu, bagi anda yang terpaksa bekerja pada Hari Raya - doktor, jururawat, polis, tentera, pemandu bas, pemandu ambulans, pekerja lebuh raya, wartawan dan ramai lagi, bersabarlah kerana tugas anda tidak mengizinkan anda untuk bercuti. Mungkin raya ini anda bertugas dan raya depan giliran anda pula untuk bercuti.

Nurul Andeliana Abu Bakar, 21 tahun.

Mudah dipanggil Ande, gadis ini beraya bersama ibu bapa dan adik beradiknya di Sitiawan, Perak. Neneknya yang tinggal di Johor bersama ibu saudaranya juga akan pulang ke Sitiawan untuk beraya bersama.

Berbeza dengan Intan Marliana dan Siti Azar Ameerah, hidangan raya di rumahnya adalah nasi beriani, rendang tok, rendang kerang dan sup daging.

“Biasanya tengah hari kami akan makan nasi beriani dan petangnya makan sup daging,’’ ujar pelajar jurusan Sains Fizik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Mengenai warna tema baju raya, kata Ande: “Kami tak ada tema tertentu. Susah tema ni, semua adik beradik dah besar, mereka tak suka warna sama. Bila nak ambil gambar, baru kami pakai baju yang warna sama.’’

Intan Marliana Ramli, 23 tahun.

Gadis yang bertugas sebagai setiausaha di Universiti Malaysia Perlis ini pulang berhari raya kampung bapanya di Bahau, Negeri Sembilan.

Katanya, sudah lima tahun mereka tidak beraya bersama keluarga sebelah bapa kerana bapanya yang bekerja sebagai anggota polis tidak mendapat cuti. Biasanya mereka beraya di Perlis sahaja.

Menurut Intan, dia begitu seronok dapat beraya di Bahau kerana dapat bertemu dengan saudara mara dan sepupunya yang ramai. Maklumlah bapanya merupakan anak sulung daripada lapan beradik.

Lebih istimewa lagi katanya, kerana dapat bertemu dengan moyang dan emak moyang yang telah berumur lebih 100 tahun.

Mengenai hidangan raya, kata Intan, ibunya menyediakan juadah seperti laksa utara di samping hidangan lain, iaitu lemang, ketupat dan rendang.

“Yang paling saya suka ialah nasi impit dan kuah kacang,’’ kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Intan sekeluarga yang memilih warna merah sebagai tema Hari Raya tahun ini mengenakan jubah merah. Biasanya, dia memakai baju kurung tetapi tahun ini mahukan kelainan.

Siti Azar Ameerah Azmi, 16 tahun.

Pelajar tingkatan empat yang menetap bersama keluarga di Seremban menyambut raya pertama di kampung bapa di Sepri, Rembau, Negeri Sembilan.

Walaupun datuk dan nenek sebelah bapa sudah tiada lagi, namun setiap tahun mereka tetap akan pulang ke kampung untuk beraya bersama adik beradik bapanya.

“Menurut bapa dengan cara ini keluarga tidak berpecah belah.

“Kami balik pada malam ‘bantai’ (malam raya). Kemudian kami bersama-sama membuat persiapan seperti memasak, memasang langsir, memasang pelita, mengemas rumah dan sebagainya.

“Seronok apabila orang datang ke rumah pada malam raya untuk bertakbir,’’ kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Tambah Siti Azar, hidangan raya yang disukainya ialah rendang Selangor yang berkuah dan dimakan bersama lemang serta ketupat. Rendang Negeri Sembilan kering dan berwarna hitam.

Siti Azar yang memilih tema hijau untuk sekeluarga menambah, pada raya kedua mereka akan ke rumah datuk dan nenek sebelah ibu di Petaling Jaya.

Muhammad Nor Hafidz Mohd. Khairuddin, 18 tahun.

Hos rancangan kanak-kanak WHOA di NTV7 ini pulang ke kampung ayah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kampung ibunya juga tidak jauh, iaitu di Tasik Gelugor. Mereka sekeluarga memang tidak pernah beraya di Kuala Lumpur.

Kata Muhammad Nor Hafidz, tahun ini tahun pertama beliau bekerja dan nampaknya terpaksalah memberi duit raya kepada adik-adik.

“Bila dah bekerja ni tanggungjawab lebih sikit. Kena beli baju sendiri dan bagi duit raya pada ibu dan ayah.

Tambahnya, jika tahun lepas warna tema baju mereka sekeluarga adalah hijau, tahun ini pula bebas. Mereka boleh memakai apa sahaja warna baju yang digemari.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.