saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 15/10/2007

Nuansa Khat papar ketinggian seni Islam


ANTARA pelukis yang mengambil bahagian dalam pameran Nuansa Khat: Nuansa Muslim di Galeri RA, Kuala Lumpur hingga 20 Oktober ini.


KHAT dalam bahasa Arab bererti garis. Tapi dalam pengertian khusus ia difahami sebagai tulisan yang baik dan indah (`alkitabul jamilah’). Seni khat merupakan sebahagian daripada pencapaian intelektual Islam yang merupakan gabungan daripada pengetahuan dan kemahiran Timur Tengah kuno, Yunani, Parsi dan India, bagaimanapun pengaruh asing itu mengalami proses adaptasi dan aplikasi yang kuat.

Sarjana-sarjana Islam kemudiannya menambah pembaharuan penting kepada warisan intelektual luar tersebut berdasarkan ilmu-ilmu baru yang dicipta.

Bernard Lewis dalam bukunya What Went Wrong? menjelaskan beberapa aspek dalam perkembangan ilmu Islam terutama nombor dipengaruhi ketamadunan India. Namun, ia dikembangkan oleh sarjana-sarjana Islam seperti Al-Khawarizmi dan Ibnu Rushdi.

Satu lagi pembaharuan dalam ketamadunan Islam ialah penciptaan kertas, sebuah pencapaian yang diasaskan oleh China. Seni pembuatannya diperolehi oleh Islam daripada dua tawanan di Pertempuran Talas (751), hingga kilang kertas dapat dibina di Samarkand dan Baghdad.

Sarjana-sarjana Arab kemudiannya memperbaiki teknik pembuatan kertas orang Cina dengan menggunakan kain linen berbanding kulit pokok mulberi.

Salah satu kesan utama daripada perkembangan seni pembuatan kertas tersebut ialah maraknya seni khat berasaskan kalimat-kalimat suci yang dipetik daripada al-Quran.

Bagaimanapun jauh sebelum itu, seni khat telah muncul pada era perkembangan Islam di bawah Nabi Muhammad S.A.W dan seterusnya pada zaman Khulafa Ar-Rashidin terutama pada masa pemerintahan Uthman Affan di mana al-Quran mula disalin.

Khat tidak hanya merupakan medium untuk mengutarakan keindahan ayat-ayat suci tetapi juga estetika huruf-huruf Arab yang digunakan.

Seni tersebut semakin berkembang pada era pemerintahan Bani Umayyah dengan kelahiran empat gaya khat iaitu Thuluth, Jalil, Tumar dan Nisf.

Gaya-gaya seni khat ini berkembang pesat di wilayah-wilayah Arab termasuk Turki dengan kemunculan sentuhan baru oleh ahli-ahli seni Islam.

Berdasarkan manuskrip Seljuk pada abad ke-13, Socrates (Soqrat) dikatakan mengadakan perbincangan rutin dengan murid-muridnya khusus mengenai kesenian Islam termasuk seni khat.

Sejak penemuan kertas oleh masyarakat Arab, kesenian khat muncul sejajar dengan genre-genre lain dalam zaman keemasan kesenian Islam yang berlangsung sejak tahun 750 hingga abad ke-16.

Ia turut ditandai kemunculan seni tembikar, kaca, seni logam, tekstil, manuskrip berhias dan pertukangan kayu yang kemudiannya turut mempengaruhi seni-seni yang sama di Eropah.

Manuskrip berhias misalnya menjadi suatu seni yang penting dan amat dihormati manakala seni khat sendiri menjadi elemen penting yang mula berkembang dalam manuskrip dan perhiasan seni bina Islam.

Di sisi lain, seni khat Arab dianggap memiliki keistimewaan yang luar biasa berbanding jenis kaligrafi lain kerana ia merupakan bahagian yang terinspirasi daripada keajaiban mukjizat al-Quran.

Berpenghujung

Sarjana-sarjana Islam meletakkan seni khat sebagai kanzun la yafna, iaitu perbendaharaan kata yang tidak pernah habis atau berpenghujung.

Dalam khat wujud dakwah dalam bentuk seni tauhid. Ia bebas daripada perbuatan syirik terhadap suatu bentuk benda kerana tidak ada berhala berbentuk huruf.

Malah, khat menjadi medium dakwah dan penyebaran syiar Islam ketika agama suci itu memasuki wilayah-wilayah Nusantara pada awal perkembangan Islam di rantau ini.

Pameran Nuansa Khat: Nuansa Muslim yang berlangsung di Galeri RA, Kuala Lumpur hingga 20 Oktober ini merupakan perspektif 13 pelukis dan penggiat khat tanah air dalam melihat estetika seni itu.

Antara pelukis yang mengambil bahagian ialah Allahyarham Ahmad Khalid Yusof, Allahyarham Mohd. Din Mohamad, Abdul Ghafar Ibrahim, Sharifah Zuriah Al-Jefri, Syed Ahmad Jamal, Wafaf Abdul Ghani dan Siti Zainon Ismail.

Namun di tangan pelukis-pelukis tersebut, karya khat tidak lagi sebuah petikan al-Quran yang ditulis pada sehelai kertas tetapi diberi gambaran yang lebih luas.

Dalam erti kata lain, karya-karya tersebut diterjemahkan ke dalam nuansa seni yang lebih luas iaitu karya kanvas. Tidak ada lagi pendekatan tradisional, tetapi menggunakan medium cat minyak, akrilik dan sebagainya.

Tema yang dibawa juga berbeza. A. Ghaffar Ibrahim dalam karya-karya seperti Laju dan Ya misalnya mennggunakan pendekatan khat untuk menonjolkan nilai puisi.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak terlepas daripada corak, irama dan gaya karakter asas khat Arab. Ini dapat dilihat pada unsur garis, dominasi garis lurus serta dan lengkung yang asimetrik.

Kombinasi elemen-elemen ini termasuk kreativitinya menciptakan ritma yang tinggi dan kuat. Ini dianggap sebagai irama-irama baku dan hingga kini bertahan dengan keindahan bentuk yang sempurna.

Gaya Thuluth dalam karya Siti Zainon puka (gaya tulisan Jawi-Melayu) misalnya mewujudkan sebuah irama Kufi yang mengesankan dan mengajak khalayak untuk terus menggali karakter dan keindahan seni khat.

Apa yang digambarkan pada kanvas menggunakan gaya tersebut ialah sebuah catatan harian yang yang menggunakan simbol-simbol huruf Jawi-Melayu.

Begitu juga karya-karya Allahyarham Khalid Yusof yang mengadaptasi huruf-huruf Jawi yang merupakan simbol estetika kesenian Melayu seperti pantun, syair dan gurindam.

Dengan karakter asasnya yang fleksibel, seni khat Arab tersebut dikembangkan ke arah yang lebih terbuka, dinamik dan tidak terikat pada kaedah-kaedah khat tradisional. Ini sekaligus memudahkannya berintegrasi ke dalam seni lukis moden.

Dalam seni khat moden, para pelukis dalam Nuansa Khat: Nuansa Muslim, mengolah irama-irama seni berkenaan menjadi bahagian yang inheren dalam wacana estetika yang dibantu oleh keupayaan teknik, penghayatan artistik dan visi estetika yang baik.

Melalui seni khat mereka melontar pelbagai tema dan pendekatan. Ada gaya surealisme, dekoratif surealistik, dekoratif simbolik dan bahkan decoratif posteristik.

Mereka melontarkan pandangan bahawa melukis tulisan khat tersebut sama seperti membaca kitab suci al-Quran itu sendiri. Menyejukkan dan menggairahkan serta penuh dengan nilai-nilai pengabadian kepadaNya.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.