saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/10/2007

Sains fiksyen jadi realiti


Pesawat Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan wanita dari Amerika Syarikat, Peggy Whitson dan jurutera penerbangan dari Rusia, Yuri Malenchenko. – Reuters.


TANGGAL 10 Oktober 2007, tepat jam 9.21 malam, umum telah mengetahui Malaysia melakar satu lagi sejarah. Detik itu menyaksikan hubungan pertama (first contact) warga Malaysia dengan alam angkasa. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, warga Malaysia pertama yang dapat ‘menerbangkan’ dirinya ke angkasa lepas.

Ia tentunya bukan sekadar penerbangan biasa, sepertimana sebahagian besar daripada kita pernah lalui. Ia adalah penerbangan sulung bangsa dan umat Malaysia ke angkasa, di luar kepompong kehidupan harian kita di bumi.

Ia umpama hubungan pertama antara manusia dengan bangsa Vulcan, di dalam siri Star Trek. Biarpun ia hanyalah rekaan sains fiksyen, namun impaknya kepada pemikiran dan peradaban manusia telah berubah.

Kita tidak pernah terfikir untuk melihat bangsa Malaysia melangkah kaki dan berterbangan bebas di angkasa 50 tahun yang lepas. Begitu juga di dalam siri Star Trek, manusia tidak terfikir bahawa pada tahun 2063, manusia akan membuat perhubungan pertamanya dengan bangsa lain di angkasa lepas dan seterusnya membuat penerbangan sulung ke sana sebagai lawatan balas iaitu pada tahun 2151 dengan menerbangkan Enterprise NX-01.

Ia bermula pada 5 April 2063, apabila seorang saintis bernama Zefram Cochrane membina kapal angkasa pertama manusia (yang dikenali sebagai Phoenix) yang lebih laju daripada kelajuan cahaya, iaitu dengan menggunakan teknologi warp, yang memungkinkan manusia selepas itu menerokai angkasa secara keseluruhannya.

Ini antara inti pati filem The First Contact, iaitu siri filem Star Trek yang menguasai rancangan televisyen pada tahun 80-an dan 90-an. Ia tentunya menggamit kenangan bagi sesetengah daripada kita yang meminati filem atau siri televisyen bercorak sains fiksyen. Percaya atau tidak, walaupun ia cuma khayalan manusia yang telah ditulis dan diadaptasikan kepada bentuk layar filem, namun kesannya kepada negara penciptanya telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sains dan teknologi di negara tersebut.

Tidak dinafikan ada di antara kisah-kisah sains fiksyen, baik dari buku atau filem, terkeluar daripada norma-norma pemikiran logik manusia. Alan Frank, melalui buku kecilnya yang bertajuk Sci-Fi Now memperjelaskan bahawa selain daripada keuntungan bagi pihak penerbit filem atau buku bercorak sains fiksyen, ia juga telah memainkan peranan mengubah persepsi masyarakat terhadap sains lantas membawa satu paradigma baru di dalam memahami sains.

Filem-filem seperti Star Trek, Star Wars, 2001: A Space Odyssey adalah antara filem-filem yang berjaya menimbulkan minat terhadap sains di kalangan masyarakat antarabangsa.

Namun, di sebalik kejayaan filem-filem tersebut, ada segolongan manusia yang seharusnya diberi tabik hormat, kerana dengan pemikiran dan ketajaman mata pena merekalah, dunia tidak seperti dahulu lagi. Dunia kini sedang melayani cita-cita atau angan-angan mat jenin manusia pada peradaban silam. Kita sedang cuba menjadikan angan-angan itu satu realiti.

Menulis atau membaca sains fiksyen bukannya satu perkara yang mudah. Ia perlu dibaca dengan kesungguhan dan dengan menggunakan keupayaan fikiran yang terbuka. Menulisnya juga bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Si penulis perlu mereka cipta perkataan-perkataan yang dapat memperlihatkan sesuatu teknologi itu telah tercipta.

Salah seorang penulis sains fiksyen yang terkenal ialah Isaac Asimov. Mengenali dirinya melalui buku autobiografinya, I. Asimov: A Memoir, iaitu sebuah buku yang ditulisnya sendiri dua tahun sebelum beliau meninggal dunia, banyak membuka fikiran penulis terhadap dunia sains fiksyen.

Asimov adalah antara penulis sains fiksyen terbaik di dunia, selain daripada Arthur Charles Clarke yang juga penyumbang utama untuk filem 2001: A Space Odyssey. Asimov dilahirkan di Rusia, dan kemudiannya mengikuti keluarga untuk hidup dan seterusnya mati di Amerika Syarikat. Beliau sebenarnya merupakan seorang profesor di dalam jurusan kimia di Boston University School of Medicine, tetapi cuma dapat bertahan selama beberapa tahun sebelum dipecat, kerana minatnya yang lebih mendalam terhadap penulisan sains fiksyen.

Asimov banyak menulis sains fiksyen yang berkisar tentang robot (seperti siri The Complete Robot yang diterbitkan pada tahun 1984) dan juga angkasa lepas dan penerokaannya (seperti siri Foundation iaitu Prelude to Foundation, Foundation, Foundation and Empire, Second Foundation, Foundation’s Edge dan Foundation and Earth).

Siri Foundationnya merupakan siri novel sains fiksyen yang banyak menyumbang kepada ilmu-ilmu aeroangkasa. Namun peperangan dan kegilaan merebut takhta dan kuasa tidak dapat lari daripada menjadi agenda utama pemikirannya di dalam Foundation.

Asimov juga pernah membantu Gene Roddenberry, pencipta Star Trek, menyumbang idea di dalam siri TV tersebut.

Tentunya penerokaan pertama wakil kita, Malaysia, ke angkasa bukanlah langkah terakhir, sebaliknya merupakan pertama untuk sirinya. Masyarakat kita perlu dididik untuk mengetahui sains dan teknologi, melalui buku-buku sains dan juga novel-novel sains fiksyen. Malaysia perlu mempunyai lebih ramai penulis sains fiksyen, yang lebih cerdik mencanai teori-teori dari buku-buku teks ke dalam bentuk yang lebih kreatif dan menarik. Akhirnya ia dapat membantu negara untuk merealisasikan impian seterusnya untuk bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa meneroka alam angkasa - destinasi seterusnya.

* PENULIS merupakan Setiausaha Agung, Komuniti Bukuonline.org dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.