saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 19/10/2007

Islam Kemboja perlu al-Quran

MELAYU Champa merupakan salah satu etnik yang masih terdapat di Kemboja, yang kini berjumlah lebih setengah juta orang. Champa yang bermaksud ‘campur’ bertutur dalam bahasa Cham dan mereka adalah keturunan Kerajaan Melayu Champa.

Negeri-negeri Melayu Champa yang wujud pada abad ke-3 hingga 15 Masihi dengan kekuatan serta pengaruh yang besar, asalnya terletak di tengah dan selatan Vietnam.

Pada abad ke-12 menyaksikan permulaan pertembungan besar antara kerajaan Champa, Khmer, Siam dan Vietnam.

Ketika itu kerajaan Champa menghadapi beberapa peperangan dengan kerajaan Khmer dan pada tahun 1181, kerajaan Champa telah dikalahkan oleh kerajaan Khmer.

Kebangkitan empayar Khmer petanda bermulanya kejatuhan kerajaan Champa dan akibat daripada kekalahan itulah bermulanya penghijrahan bangsa Champa ke Kemboja.

Di Kemboja, tempat pertama diterokai oleh orang-orang Champa ialah Kampung Cham yang masih terdapat sehingga ke hari ini.

Di samping itu sebahagian orang Champa bertaburan setelah menyeberangi Sungai Mekong, termasuk ke kawasan Nha Trang, Phan Rang, Phan Ri dan Phan Thiet di wilayah tengah Vietnam.

Agama awal orang Champa ialah Hindu yang dibawa masuk dari India.

Bagaimanapun, berikutan kedatangan saudagar Arab yang sering berulang alik ke Vietnam dan China, akhirnya mendorong orang Champa memeluk Islam.

Dua batu bersurat berbahasa Arab dengan jelas menunjukkan kewujudan kelompok Islam di Champa pada tahun 1000 Masihi.

Mengikut catatan sejarah juga menyatakan hampir keseluruhan orang Champa menganut Islam pada tahun 1675.

Kini bilangan penduduk Melayu Champa yang bertutur dianggarkan melebihi 500,000 orang daripada keseluruhan 13 juta penduduk negara Kemboja.

Sewaktu zaman pemerintahan rejim komunis Pol Pot di Kemboja selama lima tahun (1975-1979), bangsa Melayu Champa yang keseluruhannya beragama Islam itu telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai, termasuk alim ulama serta Mufti Kemboja, Imam Abdullah Idris.

Amat daif

Di Kemboja kini terdapat 370 perkampungan Islam dengan tahap kehidupan amat daif, manakala pendidikan secara tidak formal iaitu mengaji di pondok-pondok, dikendalikan badan-badan kebajikan yang ditubuhkan oleh individu tertentu dan berkeadaan serba kekurangan.

Presiden (Mufti) Majlis tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja, Kamaruddin Yusof, mengakui kesulitan yang terpaksa dihadapi untuk mengembangkan pendidikan agama Islam di kalangan masyarakat Islam negara itu.

“Kami amat memerlukan bantuan terutama kitab al-Quran dan buku-buku agama kerana bahan-bahan bacaan tersebut amat sukar diperoleh di Kemboja,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bantuan daripada masyarakat Islam Malaysia untuk penduduk Islam Kemboja memang banyak dan amat menggalakkan.

“Masyarakat Islam Malaysia bukan sahaja membantu menyalurkan kitab al-Quran dan buku-buku agama, malah terdapat dermawan Malaysia yang membiayai pembinaan masjid serta sekolah agama di Kemboja.

“Sumbangan bantuan masyarakat Islam Malaysia terhadap perkembangan agama Islam di Kemboja adalah begitu besar dan kami amat menghargainya,” katanya.

Kamaruddin menegaskan, walaupun penganut Islam sebagai minoriti penduduk Kemboja, tetapi pegangan agama serta perpaduan mereka amat kuat.

Mengunjungi Melayu Champa di perkampungan Chrouk Romiet, kira-kira satu jam setengah perjalanan dalam bas dari ibu kota Kemboja, Phnom Penh, membuktikan betapa rapatnya hubungan persaudaraan umat Islam Kemboja-Malaysia.

Rombongan Gabungan Penulis Nasional (Gapena), serta Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disambut meriah oleh para penduduk Chrouk Romiet. Ternyata, mereka cukup ramah sambil sambil menikmati jamuan makan tengah hari selepas menunaikan solat Jumaat.

Walaupun hanya beberapa orang daripada lebih 300 orang penduduk kampung tersebut yang boleh bertutur bahasa Melayu, tetapi mereka boleh membaca tulisan Jawi. Melalui cara penulisan itulah sahabat dari Malaysia dapat berbual dengan mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.