saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 22/10/2007

Misi kita berjaya -- Sheikh Muszaphar dan dua lagi krew mendarat di Kazakhstan pukul 6.37 petang


ANGKASAWAN negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor tiba di bandar Kustanai utara Kazakhstan dengan helikopter yang membawanya dari lokasi pendaratan Soyuz TMA-10 di Arkylk, sebelum menunjukkan tanda berjaya sejurus kemudian. Beliau kemudian diterbangkan ke Moscow bersama-sama dua lagi angkasawan Rusia yang pulang bersamanya dari ISS, semalam.- AP.


MOSCOW 21 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke Bumi selepas 10 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sekali gus menempa sejarah baru kejayaan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas.

Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa beliau bersama dua lagi angkasawan iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov, mendarat di Arkylk, Kazakhstan pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia), selepas melalui perjalanan 3 jam 23 minit dari ISS.

Sejurus mendarat, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pencapaian angkasawan negara sebagai satu kejayaan yang besar bagi satu projek pertama angkasa lepas yang penting.

Di Pusat Kawalan Misi (MCC) di sini pula, kejayaan pendaratan itu disambut dengan tepukan gemuruh petugas serta orang ramai termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Sejurus mendarat, lambang program misi angkasawan Malaysia ditampal pada dinding pusat kawalan teknikal Malaysia, sebagai simbolik kejayaan negara menyempurnakan misi yang pernah dianggap ‘mustahil’ sebelum ini.

Kepulangan angkasawan pertama negara itu sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk ibu bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, yang menunggu penuh debar dan tidak putus-putus mendoakan keselamatan misi pendaratan tersebut.

Ini kerana impak terhadap kapsul yang membawa angkasawan itu semasa ia memasuki ruang atmosfera Bumi cukup kuat apabila ia bergerak pada kelajuan 755 meter sesaat.

Bagaimanapun impak itu diminimumkan selepas payung terjun khas dibuka dari kapsul angkasa itu pada ketinggian 10 kilometer sebelum ia mendarat di Bumi.

Enam helikopter kemudiannya dikerah mencari kapsul angkasa itu.

Turut menyaksikan detik-detik bersejarah pendaratan angkasawan pertama negara itu melalui skrin besar di MCC ialah Duta Besar Malaysia di Rusia, Datuk Mohamad Khalis Hassan dan enam pelajar sekolah menengah bertuah yang memenangi Pertandingan Inovasi, Sains dan Kejuruteraan peringkat kebangsaan, Ogos lalu.

Bagi rakyat Malaysia, kepulangan Sheikh Muszaphar bermula daripada perlepasan dari ISS pada pukul 11.15 pagi waktu tempatan (3.15 petang waktu Malaysia) sebelum mendarat dapat ditonton melalui stesen Astro dan stesen-stesen televisyen tempatan lain.

Arkylk yang menjadi lokasi pendaratan kapsul Soyuz TMA-10, lebih dikenali sebagai Space Drop Zone dan ia terletak kira-kira 500 kilometer dari bandar Baikonur.

Pengarah Program Angkasa Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh yang telah melatih Sheikh Muszaphar sejak di peringkat awal pemilihan angkasawan pada 2003, berada di tapak pendaratan untuk menyambut dan mengalu-alukan kepulangan beliau sebaik sahaja pintu kapsul dibuka.

Sebaik mendarat dan pintu kapsul Soyuz dibuka, Sheikh Muszaphar disambut oleh Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.

Dengan wajah yang cukup ceria, angkasawan pertama negara sempat melambai bagi menandakan beliau selamat kembali ke Bumi.

Kit bahan eksperimen yang dijalankan oleh Sheikh Muszaphar sepanjang berada di ISS kemudiannya dikeluarkan dan diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa Teknikal Program Angkasawan Negara, Datuk Dr. Mazlan Othman.

Sheikh Muszaphar kemudian dibawa ke pusat perubatan sementara untuk dipulihkan daripada kesan mikrograviti yang ditempuhinya sepanjang berada di ruang angkasa lepas.

Beliau kemudiannya dibawa ke Lapangan Terbang Chakalovsky, berhampiran Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin (GCTC), Star City di sini, di mana satu majlis khas diadakan untuk menyambut kepulangannya yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri.

Najib, delegasi Malaysia dan media tempatan diberi masa 15 minit sahaja untuk bertemu dengan angkasawan pertama negara sebelum beliau dikuarantin untuk tempoh dua minggu.

Program angkasawan negara merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Sheikh Muszaphar merupakan calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

– Utusan

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.