saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/10/2007

Mini KDN di semua negeri


ASEH CHE MAT.


MUKADIMAH
NAMA Tan Sri Aseh Che Mat sudah cukup sinonim dengan Jabatan Imigresen Malaysia, walaupun telah dilantik menjadi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2001.

Ini kerana di jabatan itu, bermula sebagai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen pada Disember 1995, kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah pada Mac 1998, Aseh membuktikan keupayaannya mengurus dan menangani isu-isu imigresen terutamanya pengenalan pasport pintar, pelaksanaan piagam pelanggan dan persijilan ISO di kaunter-kaunter imigresen dan sebagainya.

Wartawan Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim yang berpeluang menemu bualnya pada hari pertama Aseh di Jabatan Imigresen pada tahun 1995 juga berkesempatan berkongsi pengalaman sempena persaraannya daripada perkhidmatan awam berkuat kuasa hari ini, 22 Oktober 2007.

Berikut adalah wawancara Utusan Malaysia dengan Aseh di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis lalu.

LAZIMNYA, bersara pada usia 55 tahun dianggap masih muda. Mengapa Tan Sri memilih untuk tidak menyambung perkhidmatan?

Sebenarnya, saya telah diminta sambung perkhidmatan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Namun, saya merayu kepada beliau supaya tidak menyambung perkhidmatan. Saya rasa adalah wajar bagi pegawai-pegawai muda diberi peluang mengisi jawatan ini. Selama di sini pun, tujuh orang timbalan KSU di bawah saya telah bersara.

Kalau perkhidmatan saya disambung, nanti tujuh lapan orang timbalan KSU juga bersara sebelum saya. Saya berpendapat moral para pegawai wajar dijaga setiap masa. Tambahan lagi, sebagai Presiden Persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), saya berperanan menjaga kebajikan ahli-ahli, termasuk dalam soal prospek kenaikan pangkat mereka.

Apa perancangan Tan Sri selepas bersara? Menyertai sektor swasta?

Saya belum membuat apa-apa perancangan setakat ini. Rasa hendak berehat dan menghabiskan masa yang lebih dengan keluarga.

Khidmat Tan Sri menjangkau 34 tahun. Apakah Tan Sri berpuas hati dengan pencapaian Tan Sri selama ini?

Saya rasa sudah mencapai tahap yang sebaiknya. Saya harap pengganti saya nanti akan meneruskan usaha atau menambah baik laginya.

Kita telah banyak mencapai kejayaan yang di luar jangkaan. Misalnya, bila kita usahakan supaya setiap pejabat imigresen mendapat persijilan ISO serentak di seluruh negara dengan melaksanakan pemprosesan dokumentasi dalam tempoh tiga hari saja, MAMPU pun pada awalnya, tidak yakin ia boleh dibuat. Namun kami buktikan ia boleh dicapai.

Satu lagi ialah permohonan pasport. Dulu tempoh permohonannya dua bulan, kemudian diturunkan kepada sebulan. Kemudian seminggu dan akhirnya tiga hari.

Sekarang, permohonan pasport boleh dibuat dalam tempoh segera iaitu pada hari itu juga. Jika sekarang, katakan 45 minit dianggap ‘pantas’, mungkin sedikit masa lagi ia akan dianggap ‘lewat’. Inilah bentuk cabaran-cabaran yang perlu difikirkan. Teknologi bergerak pantas. Kita tidak boleh ketinggalan atau berpuas hati dengan pencapaian hari ini.

Nama Tan Sri pernah disebut-sebut sebagai calon dalam pilihan raya 2004? Apakah Tan Sri berminat menyertai politik?

Saya pernah menjadi ketua cawangan UMNO sejak di universiti lagi. Ketika itu Negeri Sembilan dipimpin Menteri Besar Datuk Mansor Othman. Saya terpaksa melepaskan jawatan selepas dua tahun menyertai perkhidmatan awam. Namun pengalaman dalam politik jugalah banyak membantu saya menjalankan tugas dalam kerajaan. Ini kerana saya memahami politik akar umbi dan UMNO itu sendiri.

Bagaimana hubungan Tan Sri dengan Menteri Besar sekarang (Datuk Seri Mohamad Hasan)?

Saya sudah kenal lama dengan Menteri Besar. Malah, dia panggil saya abang dan saya panggil dia adik. Kami selalu berhubung dan juga berbincang mengenai cara menambah baik prestasi membangunkan Negeri Sembilan.

Dalam konteks ini, apakah Tan Sri akan menyertai politik, apatah lagi pilihan raya umum bakal menjelang bila-bila masa?

Saya tidak memikirkannya buat masa ini. Pada 1999, orang sebut nama saya menjadi calon Menteri Besar. Kemudian nama saya juga disebut akan mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara.

Pada pilihan raya 2004, orang sekali lagi sebut nama saya jadi calon. Saya tidak bimbang keadaan itu walaupun ternyata ia spekulasi semata-mata.

Mungkin orang pandang saya boleh menyempurnakan tugas yang diamanahkan dan boleh berkomunikasi dengan segenap lapisan masyarakat daripada bawah hinggalah raja-raja.

Bila sebut nama Tan Sri, orang akan kaitkan dengan imigresen, walaupun Tan Sri menjadi KSU di kementerian. Apakah ini suatu kelebihan atau bebanan?

Setelah menjadi KSU, saya cuba menjarakkan diri daripada turun ke padang seperti yang saya biasa lakukan semasa menjadi Ketua Pengarah Imigresen dulu. Tugas KSU lebih kepada menyusun dasar-dasar.

Namun sepanjang masa di sini, saya tetap dirujuk mengenai hal-hal imigresen. Malah, tiga Ketua Pengarah Imigresen sebelum ini pun sering merujuk kepada saya.

Mungkinkah pencapaian Tan Sri semasa di imigresen turut menjadi faktor?

Ketika saya mula menyertai imigresen, hasil tahunannya ialah RM300 juta setahun. Selepas dua tahun, hasil tahunannya meningkat menjadi RM1.8 bilion dan kini stabil pada paras RM2 bilion setiap tahun.

Imigresen menjadi antara penyumbang terbesar hasil kepada kerajaan selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Semasa di imigresen juga, saya bersama pasukan saya berjaya meraih empat pencapaian pertama di dunia iaitu pasport pintar pada 1998 sebelum ia dipertingkatkan lagi pada tahun lalu, sistem Pagar Auto bagi pelaksanaan pasport pintar di semua lapangan terbang negara ini, sistem pemantauan biometrik pekerja asing (FORMS) bagi mengatasi pemalsuan dokumen pekerja asing dan MyKad pelbagai guna (MPP) iaitu kad pengenalan yang menggabungkan lapan aplikasi seperti lesen memandu, ATM dan kad tol.

Selain itu, pasukan saya juga berjaya memperkenalkan I-kad bagi semua pelajar asing dan pekerja serta pegawai dagang menggunaka mikrocip dan cap jari biometrik.

Tentu ada cabaran dalam mengetengahkan inovasi itu?

Cabarannya hebat juga. Namun ia dapat diatasi menerusi kerja berpasukan. Semua lapisan kakitangan dan pegawai daripada ketua pengarah hinggalah tukang sapu telah memberikan komitmen kerja yang baik bagi menjayakannya.

Cuma, saya sedikit kecewa kerana meskipun kita negara pertama memperkenalkan pasport pintar tetapi ia tidak diguna meluas oleh lain-lain negara.

Ini kerana kelemahan daripada aspek promosi pasport pintar. Takkan imigresen sebagai pelaksana pun kena bertindak sebagai tukang promosi.

Saya difahamkan juga Tan Sri disenangi warga imigresen kerana menjaga kebajikan mereka?

Memang kebajikan kakitangan dan pegawai menjadi satu agenda utama kami di kementerian. Atas faktor itu jugalah, kami mendirikan ‘Mini KDN’ di semua negeri. Ia merupakan kompleks pejabat yang menempatkan pejabat imigresen, Rela, polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain agensi KDN di satu kawasan, lengkap dengan kuarters yang selesa.

Semua negeri akan ada Mini KDN kecuali Kota Kinabalu, Sabah kerana ia telah mendirikan Mini Putrajaya yang berkonsepkan sama. Pada masa ini, Mini KDN sudah ada di Langkawi, Johor dan tidak lama lagi Perlis, Kelantan dan Sarawak.

Dengan penyelarasan sebegini, kita tidak akan ada masalah untuk menukar kakitangan KDN dari satu lokasi ke satu lokasi, khususnya bagi mereka yang keberatan berpindah kerana faktor sewa rumah yang mahal di bandar-bandar besar dengan adanya kuarters tersebut.

Daripada skim gaji pula, kita telah mewujudkan Gred 54 bagi pegawai bukan jurusan Tadbir dan Diplomatik untuk maju di dalam Jabatan Imigresen.

Dalam konteks yang sama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan mendirikan akademi latihan di Mantin, Negeri Sembilan dengan kos RM100 juta. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.

Di akademi ini, ia akan menjadi pusat latihan khusus bagi pegawai-pegawai kanan semua agensi dalam kementerian, termasuk latihan kemahiran berkomputer.

Kebetulan saat ini, heboh diperkatakan lagi soal kebanjiran pekerja asing. Kementerian ini juga menerima kritikan yang ia lemah dalam penguatkuasaan. Apakah kritikan itu wajar?

Semasa saya di Imigresen, kita ada 196 pegawai penguat kuasa. Sekarang ada lebih 1,000 pegawai penguat kuasa di seluruh negara tetapi bilangan pekerja asing yang haram dan sah juga telah meningkat besar.

Sebenarnya, fokus kita kepada aktiviti penguatkuasaan tidak pernah beralih arah. Tetapi sempena Tahun Melawat Malaysia, kerajaan mengarahkan supaya dipermudahkan kaedah kemasukan pelawat. Atas faktor itu, diperkenalkan dasar pengeluaran visa segera di pintu masuk bagi negara-negara yang diwajibkan visa sebelum ini.

Jika dulu, mereka kena memohon visa di kedutaan kita di negara masing-masing. Kini mereka boleh datang dan dikeluarkan visa segera di lapangan terbang dengan bayaran RM100 untuk visa selama 30 hari.

Malangnya, 30 peratus yang masuk ke negara kita atas dasar itu tidak keluar selepas sebulan. Mereka ini dipercayai masuk untuk bekerja secara haram di Malaysia.

Ini menjadi dilema kepada pihak penguat kuasa. Jika hendak ketat, kita boleh perketatkan kemasukan bila-bila masa. Malah, kita boleh gantung kemasukan pekerja asing seperti yang dikenakan terhadap pekerja Bangladesh, baru-baru ini.

Benarkah pihak Imigresen sekarang ini dilarang bertanya pelawat sama ada memiliki RM500 untuk tempoh lima hari dan tiket pulang, sebagai satu daripada kaedah mengenal pasti sama ada mereka ini pelawat tulen?

Saya tidak boleh mengulas mengenainya. Tetapi menurut laporan yang kami terima, kira-kira 60 peratus daripada mereka yang masuk menggunakan dasar visa itu, tidak layak pun masuk. Tetapi jika kita bertegas, akan ada pihak mengkritik kita juga nanti kerana tidak mahu bekerjasama menjayakan program negara atau dituduh menyebabkan pelawat jadi kurang. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, kita telah memutuskan Kementerian Sumber Manusia membuat kajian terperinci mengenai keperluan sebenar negara ini terhadap pekerja asing.

Apakah pendapat Tan Sri mengenai bilangan pekerja asing di negara ini sudah mencapai tahap membahayakan?

Kita tunggulah kajian Kementerian Sumber Manusia mengenai perkara ini. Mereka akan tentukan. Ada pihak mengatakan nisbah pekerja asing di sesebuah negara tidak boleh melebihi 10 peratus jumlah penduduk asal. Kita sekarang ada kira-kira 27 juta penduduk dan pekerja asing dianggarkan 2.1 juta orang.

Ini dianggap sudah mencapai tahap yang dikata berbahaya. Tetapi jika dilihat model Emiriyah Arab Bersatu pula, pekerja asing di negara itu tiga kali ganda bilangan penduduknya tetapi ia masih harmoni. Jepun pula tidak memerlukan langsung pekerja asing. Jadi, kita perlu nilai keperluan sebenar negara ini dan kemudian kita putuskan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.