saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/10/2007

Perginya seorang taikun


Mendiang Lim Goh Tong.


SEJAK beberapa tahun lepas, Tan Sri Lim Goh Tong, pengasas Kumpulan Genting, yang juga individu keempat paling kaya di negara ini, seakan memilih untuk menjauhi publisiti. Autobiografi beliau, Cerita Saya, yang mendedahkan potret suka-duka kehidupannya daripada melarat sehingga menjadi hartawan, diterbitkan pada tahun 2003.

Ia dilancarkan pada 1 Januari 2004 dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberi penghormatan membuat perutusan dalam buku berkenaan.

Serentak itu, beliau turut mengumumkan persaraannya sebagai Pengerusi Kumpulan Genting, yang diterajuinya selama 36 tahun. Tempatnya digantikan oleh anak lelaki kedua beliau, Tan Sri Lim Kok Thay.

Dan sejak itu, cerita mengenainya barangkali tidak kedengaran, cuma sesekali kita di sini diburu rasa kekaguman apabila majalah Forbes, yang berpangkalan di Washington menyenaraikan beliau antara yang terkaya di dunia.

Terbaru pada Mac lepas, Goh Tong menyertai lapan rakyat negara ini dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes bagi 2007, menduduki tempat ke-204 dengan harta bernilai AS$4.2 bilion.

Goh Tong bagaimanapun meninggal dunia semalam dengan ‘meninggalkan’ juga aset-aset beliau yang berjumlah berbilion-bilion ringgit itu. Beliau berusia 89 tahun.

Dilaporkan, beliau meninggal dunia di sebuah hospital swasta di negara ini. Tiada maklumat lanjut diperoleh, sama ada menerusi rakan atau keluarga terdekat beliau berhubung kematiannya.

Apabila disebut nama Goh Tong, yang sinonim dengannya tentulah Genting, lebih khusus beliau dilabel taikun perjudian.

Tetapi bukan itu sahaja yang cuba dibawa pergi oleh mendiang.

Yang cukup melekat tentunya kegigihan beliau menyusuri ranjau kehidupan, daripada miskin tiada wang satu sen pun tetapi akhirnya berjaya merealisasikan impian di puncak awan.

Menyedari kisah hidupnya itu begitu berwarna-warni dan beliau juga seorang usahawan yang sentiasa menarik perhatian, Cerita Saya terhasil.

Di dalamnya, mendiang mendedahkan bagaimana liku-liku, hambatan dan masalah diatasi dalam usahanya membina Genting Highlands sehingga ia bertukar menjadi sebuah tempat peranginan bertaraf dunia.

Buku berkenaan, terhasil dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Malaysia dan Cina dianggap sebuah cerita yang mengilhamkan apabila beliau bermula tanpa memiliki wang satu sen, berkelana pada usia 20 tahun dari daerah Anxi, wilayah Fujian, China berhijrah ke Malaysia (pada ketika itu Malaya).

Bekerja sebagai tukang kayu buat permulaan kehidupan baru pada tahun 1937 tentunya bukan sesuatu yang mudah. Tetapi bertindak dengan tekad mahu mengubah kesusahan menjadi kesempatan, mendiang menceburi diri dalam bidang perniagaan pembinaan dan perlombongan bijih timah serta besi di Johor.

Bertindak mengikut gerak minda dan mengambil risiko terancang menyebabkan syarikat miliknya, Kien Huat Berhad menjalankan beberapa projek besar antaranya Empangan Air Itam (Pulau Pinang) dan Projek Kuasa Hidro Elektrik di Cameron Highlands.

Hasil pandangan jauh dan berbekal hati yang cekal pada tahun 1965, beliau bersama seorang rakan bumiputera, Tan Sri Mohd. Noah Omar mendapat kelulusan untuk membina hotel dan resort di kawasan pergunungan di sempadan Selangor-Pahang (Genting Sempah), yang kemudiannya kini dikenali sebagai Genting Highlands.

Sejak itu, momentum pembangunan di situ bertukar rancak dengan pembinaan jalan perhubungan dari kaki bukit di Genting Sempah hingga ke Hulu Kali dilaksanakan. Ia kemudiannya menyaksikan pembinaan hotel pertama, Highlands Hotel (kini dikenali sebagai Theme Park Hotel) siap pada tahun 1971.

Pusat peranginan Genting Highlands yang pada satu ketika dahulu hanya menyediakan 200 bilik kini mempunyai lebih 10,000 bilik dan dilawati lebih 18 juta pelancong sepanjang tahun.

Kemudahan-kemudahan yang terdapat di Genting Highlands tentunya taman tema luar dan dalam Genting, kereta kabel terpanjang di Asia Tenggara, Arena Bintang yang mampu memuatkan lebih 6,000 penonton dan beberapa buah hotel seperti Hotel Genting, Hotel Highlands dan Hotel Resort.

Setiap tahun, Kumpulan Genting mencatatkan keuntungan melebihi RM1 bilion.

Sementara itu, generasi muda perlu menjadikan pesan-pesan Goh Tong ini sebagai pencetus semangat untuk bekerja dengan lebih keras dan rajin demi mencapai kejayaan.

Menyusuri kejayaan Goh Tong, beliau melalui satu detik yang sukar dan jatuh bangun dalam perniagaan.

Dengan hanya bersiar-siar di Genting Highlands pada tahun 1964 telah mencetuskan ilham untuknya mendirikan kawasan peranginan di puncak walaupun ramai yang beranggapan beliau akan gagal.

Namun berkat kesabaran dan ketekunan beliau Genting Highlands kini menjadi destinasi tumpuan dunia.

Selebihnya pada setiap hujung minggu, ramai rakyat Malaysia dan pelancong asing yang membawa keluarga bercuti di samping menikmati kedinginan udara di puncak awan.

Genting selama-lamanya merupakan impian Goh Tong. Itu diakui sendiri dalam bukunya, My Dream, diterbitkan pada tahun ini.

Pada bab penutup buku tersebut, beliau berkata begini: ‘‘Genting membuatkan saya berjaya mencecah impian melangit dalam karier sebagai usahawan. Ia memberikan kepuasan, yang semestinya terhasil daripada realiti bahawa saya memiliki peluang untuk turut sama menyertai kerancakan ekonomi negara.’’

Genting, nama dipilih oleh Goh Tong dalam bahasa Cina ialah Yun Ding, bermakna di puncak awan.

Goh Tong meninggalkan seorang balu, Puan Sri Lee Kim Hua, enam anak (tiga lelaki dan tiga perempuan) serta 19 cucu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.