saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/10/2007

Buku jadi produk pelancongan

UMUM mengetahui 2007 merupakan Tahun Melawat Malaysia. Tujuan utama adalah untuk menarik seberapa ramai pengunjung atau pelancong ke Malaysia, lantas menyumbang kepada ekonomi negara. Sesungguhnya ini adalah satu usaha berterusan Kementerian Pelancongan.

Tidak dapat dinafikan, berlibur adalah untuk melepas lelah daripada kepenatan harian bekerja. Seseorang akan ke tempat-tempat yang difikirkannya dapat memberikan ketenangan untuk berehat dan ‘mengosongkan minda’.

Tetapi, ada juga antara kita menjadikan libur sebagai satu usaha mencari ilmu. Bak kata pepatah Melayu, jauh perjalanan luas pandangan. Malah, di dalam Islam pun menggalakkan umatnya untuk berziarah keluar daripada kepompong dunia sendiri. Salah satu tujuan berumrah adalah untuk menziarahi tempat-tempat yang bersejarah di dalam peradaban Islam, selain sebagai mengerjakan ibadah di Tanah Suci Mekah.

Namun sejauh manakah aktiviti berlibur ini boleh dikaitkan dengan buku dan aktiviti membaca? Adakah dengan buku, aktiviti berlibur pada definisi bagi sesetengah orang akan terjejas? Atau adakah dengan adanya buku, aktiviti berlibur akan lebih bererti?

Pengalaman penulis berada di negara orang selama setahun, telah membuka minda seluas-luasnya. Seperti seekor katak yang baru keluar dari tempurung. Penulis melihat hubungan antara buku dan berlibur tidak dapat dipisahkan. Umpama bak kata P. Ramlee dalam lagunya, andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa.

Selama setahun di tanah United Kingdom, memperlihatkan kepada penulis bahawa tidak mustahil buku juga ada nilainya yang tersendiri di dalam industri pelancongan. Namun tidak keterlaluan jika penulis membezakan budaya membaca antara Britain dan Malaysia. Kajian daripada Perpustakaan Negara Malaysia mendapati bahawa secara puratanya 2 buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia, walaupun penulis percaya angka ini mungkin lebih. Bezanya dengan United Kingdom, penduduknya menjadikan buku sebagai makanan utama minda mereka. Buku terdapat di mana-mana sahaja, termasuklah di kedai-kedai pakaian dan pejabat pos.

Apa yang menariknya ialah buku dijual di pejabat pos, pada setiap daerah. Malah judul-judul buku yang dijual itu adalah mengikut sejarah daerah itu sendiri. Misalnya, penulis pernah menetap di Edinburgh, Scotland, dan mendapati buku yang dijual di pejabat pos berhampiran kawasan kediaman penulis adalah berkaitan dengan kawasan tersebut. Misalnya Old Dalry in Edinburgh tulisan Malcolm Cant adalah catatan bergambar yang begitu menarik. Foto-foto yang disajikan adalah himpunan koleksi sejarah kawasan Old Dalry iaitu salah satu daerah di Edinburgh, sekitar tahun-tahun 1800-an hinggalah 1900-an. Maka, sebagai pengembara, penulis dapat mengenali kawasan ini dengan lebih mendalam, seperti mana kita mempelajari sejarah Malaysia di bangku sekolah.

Malah, apabila penulis mengembara ke kawasan-kawasan lain Scotland, penulis akan sentiasa mencari-cari buku-buku yang memperkatakan tentang kawasan-kawasan tersebut. Seperti apabila melawat Glasgow, penulis akan cuba mendapatkan buku-buku yang berkaitan dengannya. Misalnya Once Upon A Time in Glasgow: The City From The Earliest Time tulisan John Watson. Bukan sekadar buku sejarah, malah apa-apa sahaja yang dapat menerangkan tentang cara hidup, masyarakat, sosio ekonomi setempat dan sebagainya. Dan sudah tentu, buku-buku tersebut terdapat di kedai-kedai buku dan pejabat pos dengan mudahnya.

Itu yang menariknya apabila memperkatakan tentang buku dan pelancongan di negara maju seperti United Kingdom. Keadaan ini tentunya mengujakan penulis. Lantas terfikir, di manakah letaknya kedudukan Malaysia pada keadaan ini?

Kehancuran Kampung Buku Langkawi membuktikan bahawa teori penulis adalah bercanggah. Buku masih belum dapat diterima sebagai salah satu produk pelancongan. Malah, penulis masih ternanti-nanti apakah nasib yang akan menimpa Kampung Buku Melaka pula.

Padahal, seperti yang penulis lihat di Britain tempoh hari membuktikan ia tidak mustahil dapat direalisasikan – buku juga adalah antara produk utama pelancongan. Kampung Buku di Langkawi adalah kena pada lokasinya. Cuma kesediaan masyarakat menidakkannya. Bukan sekadar masyarakat setempat atau para pelancong tempatan, malah kesediaan pihak-pihak berwajib masih dapat dipertikaikan. Umum mengatakan bahawa lokasinya tidak strategik, kerana kedudukannya di sebuah pulau, yang kononnya jauh daripada metropolitan. Namun, kampung buku pertama di dunia iaitu Hay-on-Wye di United Kingdom membuktikan sebaliknya. Kedudukan kampung buku ini sememangnya jauh daripada tamadun. Tetapi ia masih bertahan malah masih dilawati oleh puluhan juta pelancong.

Buku dan libur masih boleh digandingkan sekiranya semua pihak yang bertanggungjawab sedar akan kepentingan buku sebagai salah-satu produk pelancongan. Ia dapat memperkenalkan sesuatu kawasan itu dengan lebih tepat, lantas meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada para pelancong. Seterusnya tidak mustahil maklumat dan ilmu yang didapati itu akan membuka minda seseorang untuk kembali dan menghayatinya untuk beberapa kali lagi.

* PENULIS ialah Setiausaha Agung, Komuniti Bukuonline.org dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:14
Asar 4:30
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.