saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/10/2007

1957: Hati Malaya menghidupkan semula perjuangan bersejarah

DEBAT sering berlaku apabila menilai sesebuah filem sejarah. Mampukah filem itu menghidupkan semula tokoh-tokoh sejarah dan peristiwa dalam kronologi sejarah tersebut secara cukup meyakinkan? Apakah filem itu akan berlaku adil kepada tokoh-tokoh tersebut? Bukankah atas kepentingan dramatik dan ideologi filem akan memanipulasi? Malah, yang lebih merumitkan dari sudut pandangan siapakah sejarah perjuangan besar menuntut kemerdekaan itu hendak dilihat, sedangkan kronologi sejarah tersebut boleh dinilai dan dilihat daripada pelbagai sudut?

Apabila Shuhaimi Baba menghasilkan filem 1957: Hati Malaya, kita tahu filem ini akan berhadapan cabaran sukar dalam usaha menghidupkan semula sejumlah ikon dan peristiwa dalam kronologi sejarah kemerdekaan tanah air.

Dalam kolum Julai lepas saya menulis sebuah rencana; Filem Sejarah: Merosakkan Sejarah? Rencana tersebut mengambil pandangan beberapa tokoh sejarawan yang cuba menilai filem sejarah dalam usahanya ‘menghidupkan semula sejarah’. Dapatkah filem menghidupkan peristiwa dan tokoh yang sekian lama dikenal dan dikenang, atau usaha tersebut sekadar akan mengacaukan dan mengelirukan lagi fakta sejarah lalu?

Dalam 1957: Hati Malaya, filem ini membariskan senarai panjang fakta, tokoh-tokoh yang melatari peristiwa bersejarah tersebut. Dalam plot ini Shuhaimi cuba sesetia mungkin kepada fakta sejarah. Dalam mengangkat tokoh dan peristiwanya, Shuhaimi dalam Hati Malaya memfokuskan kembali kepada sejumlah tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan yang telah dikenali dalam teks sejarah sekolah, malah naratifnya bergerak secara kronologikal dengan pembukaan semasa Perang Dunia Kedua, penguasaan semula British dan kemuncak kebangkitan nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh politik UMNO seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, tokoh-tokoh MCA dan MIC. Dalam era kebangkitan nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan inilah turut berlakunya konflik, pertikaian, rundingan dan malah kekecewaan peribadi serta yang melibatkan sentimen kaum.

Elemen dramatik

Dua tokoh penting yang difokuskan oleh filem ini adalah perjuangan pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar (dimainkan oleh Zaefrul Nordin) dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman (yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Kamarulzaman Taib) yang terpaksa mengambil alih menerajui UMNO apabila Datuk Onn menarik diri dan kemudian mengetuai Parti Perikatan (Parti gabungan UMNO, MCA dan MIC) menuntut kemerdekaan daripada pihak British di London. Demi keperluan membangunkan struktur naratif yang dramatik dan estetika, Shuhaimi Baba menjalin kisah perjuangan kemerdekaan ini antara tokoh-tokoh sejarah dengan watak-watak fiksyen seperti Normala (Maya Karin), Zahari (Rusdi Ramli), Muzafar (Bront Palarae) dan Rozhan (Adlin Aman Ramli) adalah watak-watak era perjuangan yang mewakili rakyat biasa yang turut terlibat mendebatkan arah perjuangan kemerdekaan tersebut. Perbezaan pendekatan perjuangan antara Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman turut menyaksikan perdebatan dan perpecahan antara mereka ini. Melalui watak-watak fiksyen ini juga Shuhaimi membentuk sub-plot yang lain tentang setiakawan, kejujuran dalam perjuangan, percintaan dan kegagalan.

Elemen dramatik ini berjaya membantu mengelakkan Hati Malaya daripada menjadi sebuah dokumentari sejarah apabila footage sejarah tokoh-tokoh pejuang tersebut turut digunakan. Shuhaimi dengan bijak menyatukan footage tersebut dengan syot-syot peristiwa yang dibangunkan semula. Ini menjadikan filem ini sebuah kisah perjalanan perjuangan kemerdekaan yang berisi ketabahan, pengorbanan dan emosi yang bukan sedikit.

Memang menghasilkan filem yang mengangkat sebuah sejarah sebenarnya sama sukarnya seperti mengadaptasi sebuah novel, malah ia lebih kompleks. Filem dengan realiti novelistiknya mentafsir persoalan sejarah dengan sifat fiksyenal yang dikuasai oleh nilai estetika dan dramatik, sedangkan sejarawan mementingkan kronologi peristiwa secara tepat dan tokoh-tokoh sejarah yang berkaitan sahaja. Sejarah tidak terikat dengan peraturan melodrama atau tragedi sebuah drama. Malah persoalan yang utama dalam mengangkat peristiwa sejarah ke filem adalah ketepatan pembinaan tokoh sejarah. Maksud tokoh sejarah adalah berbeza dengan maksud watak sebagai orang yang diimaginasikan dalam karya fiksyen. Sejauhmana pelakon dapat menjadi stand-in yang meyakinkan untuk peranan seseorang yang berlaku pada masa lalu?

Sebab itu para sarjana di bidang sains sosial telah sekian lama bersikap skeptikal terhadap filem. Sifat filem yang membenarkan fragmentasi kerana adanya suntingan menyebabkan ia lebih diasosiasikan dengan karya fiksyen. Bagi antropologi hanya fakta daripada tulisan dapat diterima secara saintifik. Hubungan antara pilihan filemik dan realiti sebenar masa lalu tidak pernah bersifat langsung. Ini kerana sifat filem yang selalunya dikatakan menyelewengkan kebenaran.

Filem dimanipulasi atas kepentingan dramatik dan ideologi. Filem sejarah jarang menghadkan kepada apa diketahui, tetapi akan cuba mengisi ruang-ruang kosong (ruang kelabu) sesebuah sejarah dengan dialog-dialog yang tidak didokumentasikan, peristiwa yang diimaginasi dan keterangan yang tidak autentik. Filem mencipta adegan yang besar dan spektakular dan pada masa yang sama mencipta adegan dekat (close-up) dua atau tiga watak untuk memberikan kesan psikologi, dan cara ini telah menjadikan tokoh sejarah sebagai protagonis fiksyen.

Bagaimanapun sebahagian sejarawan secara positif melihat adanya ruang dalam filem yang perlu dimanfaatkan jika kita faham bahawa filem sejarah adalah genre yang cukup fiskyenal dan cuba tidak melihat filem sebagai alat representasi sejarah secara total. Filem bukanlah instrumen untuk mewakili zaman lalu tetapi ia boleh menjadi saksi kepada suatu zaman sejarah.

Sememangnya 1957: Hati Malaya tidak akan mampu memaparkan segalanya tentang perjuangan kemerdekaan tanah air. Masih banyak sudut sejarah perjuangan panjang dan perih itu boleh diungkapkan. Tetapi filem ini memaparkan hati perjuangan tersebut. Ia cuba berlaku adil. Shuhaimi Baba melakukannya dengan cukup baik untuk masyarakat menghargai dan memahami erti perjuangan tersebut.

- Filem: 1957: Hati Malaya

- Arahan: Shuhaimi Baba

- Lakon layar: Shuhaimi Baba, Halina Samad, Aida Buyung

- Pelakon: Rusdi Ramli, Maya Karin, Adlin Aman Ramli, Sharifah Amani, Kamarulzaman Taib, Zaefrul Nordin, Kee Thuan Chye, Chew Kin Wah, Kavita Sidhu, Ida Nerina, Nanu Baharudin, Liza Othman, Nasrizal Ngasri, Rozie Rashid dan lain-lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.