saya nak baca ..

SUKAN TEMPATAN


ARKIB : 31/10/2007

Sazali, anda memang hebat!


SAZALI Samad dijulang rakan sekerja Polis Diraja Malaysia sambil menayangkan trofi Mr. Universe Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia ke-61, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.


SEPANG – Mr. Universe Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia ke-61, Sazali Samad menyifatkan kejayaan merangkul gelaran keempat di Jeju, Korea Selatan, Ahad lalu itu sebagai satu kejutan bukan sahaja kepada dirinya bahkan pencabar dan barisan juri.

“Kejutan bagi saya kerana ia satu kategori baru (lightweight 70 kilogram) selepas sekian lama dalam bantamweight 65kg. Lagipun saya cuma sasar tiga tempat teratas pusingan akhir,” katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sazali, 40, anggota polis berpangkat sarjan, turut mengakui dia dapat merasai kejutan pada riak wajah pencabarnya terutama naib juara lightweight tahun lalu, Richard Riedl dari Slovakia yang hanya meraih tempat ketiga kali ini dan pemenang perak, Patrick Ostolani dari Jerman.

“Mereka dan panel juri seperti tidak menyangka saya mampu menceburi lightweight apatah lagi menjuarainya namun tentangan mereka memang sengit dan saya cuma menang dengan perbezaan mata yang cukup tipis,” katanya yang mendapat sambutan kepulangan seorang wira daripada kaum keluarga dan rakan sekerja.

“Saya juga tidak memperkecilkan pencabar lain seperti dari Eropah mahupun Asia Tenggara seperti Thailand dan Myanmar. Mereka hebat-hebat belaka,” kata Mr. Universe bantamweight di Melaka pada 2000, Moscow 2004 dan Ostrava 2006 ini.

Kata anak jati Batu Pahat, Johor ini, agak merisaukannya ialah apabila diserang kekejangan otot tiba-tiba tetapi mujurlah semangat cekal untuk terus mencipta sejarah bina badan negara memulihkan semula tumpuan kepada persembahan di pentas.

Kata Sazali, latihan pesat dalam menghadapi kejohanan anjuran Persekutuan Ahli Bina Badan Antarabangsa (IFBB) itu sejak empat bulan lalu turut banyak membantunya selain sokongan khidmat nasihat dan teknikal Majlis Sukan Negara (MSN).

Kejayaan gemilang itu turut melayakkannya meraih duit raya sebanyak RM20,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Kelas 2 iaitu ganjaran tetap untuk atlet yang menjuarai sebarang kejohanan bertaraf dunia yang diadakan secara tahunan.

“Memang berbaloi apabila menang setelah saya terus berpantang larang dengan pelbagai makanan walaupun ketika Aidilfitri, baru-baru ini. Kejayaan ini juga berkat doa seluruh peminat sukan tanah air,” katanya yang berlatih ke Jeju tanpa khidmat jurulatih khusus.

Milos Sarcev dari Amerika Syarikat yang pernah melatihnya menghadapi Sukan Asia Doha, tahun lalu, telah menamatkan kontraknya dengan MSN selain masih menjalani hukuman penggantungan 12 bulan kerana mengkritik seorang pegawai Persekutuan Bina Badan Asia (ABBF).

Tuduhan itu disiarkan oleh media Malaysia selepas Sazali kempunan emas di Doha apabila kalah kepada peserta tidak ternama dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), Salem Abdulla Zahmi sedangkan beberapa bulan sebelumnya dia menggondol gelaran dunia di Ostrava.

Sazali yang turut dikejutkan seorang atlet Filipina dalam Sukan SEA 2005, hanya akan ke temasya dwitahunan itu di Korat, Disember ini sebagai jurulatih tiga muka baru - Buda Anchah (bawah 70kg), Mohd. Salim Mat Salleh (bawah 60kg) dan Tun Jahfar Abdul Rahim (bawah 55kg).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.