saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 04/11/2007

Makan daging korban

SOALAN: Saya berniat untuk melakukan korban tahun ini. Tetapi saya belum faham berapa banyak daging yang dapat saya makan dari bahagian daging korban saya itu. Harap mendapat penjelasan daripada tuan.

– Munir Samat, Besut, Terengganu.

JAWAPAN: Dalam isu ini terdapat berbagai-bagai pendapat ulama mengenainya. Sesetengah mengatakan sekiranya korban tersebut adalah sunat dan sukarela, maka digalakkan anda memakan daripada bahagian daging tersebut. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkorban sebanyak 63 ekor unta di mana kemudian diberinya kepada Ali untuk meneruskan korban tersebut. Manakala yang bakinya lagi, lalu baginda perintahkan mengambil sedikit dari setiap bahagian daging korban tersebut dan lalu dimasukkan ke dalam periuk dan dimasaknya (hadis Riwayat Muslim).

Kata sesetengah ulama lagi, harus anda memakan separuh dan bersedekah dengan yang separuh lagi. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. bermaksud: Maka hendaklah kamu makan sebahagian (separuh) daripadanya dan beri makan sebahagian lagi kepada fakir miskin yang merempat (maksud al-Quran surah Al-Hajj ayat 28).

Menurut kata Imam Syafii dalam kaul jadidnya: Hendaklah dimakan dari daging tersebut satu pertiga daripadanya dan dua pertiga lagi dibahagi dengan beri hadiah kepada al-Qania (orang berada) dan bersedekah kepada al-muktar (fakir melarat) dan ini sesuai dengan maksud firman Allah dalam surah al Hajj ayat 36. Jadi daging tersebut dibahagi tiga. Kata sesetengah ulama, bahagian untuk orang berada tadi boleh diberi makan sahaja tetapi orang miskin harus diberi daging korban itu untuk mereka. Wallahualam.

Balik haji masih menyanyi

SOALAN: Kawan saya dulu kerjanya menyanyi dan sekembalinya dari Tanah Suci, dia masih lagi kekal dengan kerjaya lamanya. Bagaimanakah dengan ibadat hajinya?

– Mastura Said,

Hulu Klang, Selangor.

JAWAPAN: Seseorang yang ingin mengerjakan haji, kata ulama hendaklah memastikan ibadat haji adalah sebagai haji mabrur iaitu haji yang diterima Allah dan tidak ada balasannya selain syurga. Kata mereka, antara syarat untuk mendapatkan haji mabrur tersebut ialah ada syarat-syarat sebelum haji, semasa melakukannya dan selepasnya. Di antara syaratnya yang berterusan ialah keikhlasan hati dan kefahaman kita tentang tujuan ibadat tersebut iaitu untuk memperhambakan diri di bawah kebesaran Allah sehingga urusan yang lain-lain dipandang gampang dan tidak dapat memalingkan ibadat tersebut dari matlamat asalnya iaitu untuk menyatakan sebenar-benar kehambaan dan untuk keredaan Allah semata-mata.

Nyanyian tidak semesti semuanya berunsur melalaikan malah ada juga yang berbentuk memberi semangat patriotik dan rangsangan untuk tujuan baik seperti nyanyian berbentuk semangat keagamaan memuji kebesaran Allah dan kecintaan kepada negara. Sewajarnyalah sekembali dari mengerjakan ibadat tersebut, nyanyiannya sepatutnya berubah bentuk pengertian dan tujuannya, sesuai dengan ajaran dan tuntutan agama. Wallahualam.

Baca qunut solat subuh
Soalan: Ketika menghadiri satu kursus yang disertai oleh para peserta dari seluruh negara, seorang rakan kursus telah mengimamkan sembahyang subuh. Bagaimanapun ketika tiba bacaan qunut, imam itu terus sujud tetapi saya melakukannya (membaca qunut). Para jemaah lain kemudiannya menegur saya kerana melakukan qunut. Apakah saya boleh mengikutnya terus atau boleh juga membaca qunut kemudian terus mengikuti imam tersebut?

– Ahmad Shafie,

Bukit Beruntung, Selangor.

JAWAPAN: Anda diberi pilihan sama ada membaca qunut secara ringkas atau terus mengikut imam tersebut. Anda juga boleh tanpa membaca qunut malah terus sujud mengikut imam tersebut. Ini kerana solat anda tidak batal tanpa membaca qunut. Anda sepatutnya bersikap terbuka dan berlapang dada dengan mereka yang memarahi anda kerana melakukan qunut tersebut kerana pada pandangannya qunut tidak dilakukan oleh Rasululllah s.a.w. Pada pendapat mereka, segala perkara yang tidak dilakukan Rasulullah itu adalah bidaah. Mereka bersikap syadid (loket) dalam agama kerana sanggup menyanggah perbuatan anda sedangkan kita lebih tasamuh (toleransi) kerana walaupun perkara itu tidak dilakukan tetapi ianya tidak dilarang oleh Rasulullah dalam hadisnya atau al-Quran. Justeru maka ianya adalah afwu (kemaafan dari Allah sebagaimana hadisnya bermaksud: Perkara halal itu jelas diterangkan dalam al-Quran dan perkara haram itu jelas semuanya disebut dan dilarang dalam kitabnya (al-Quran dan hadis) dan apa yang didiamkan-Nya bukan kerana lupa itu adalah kemaafan daripada-Nya (Riwayat Tarmizi, Bazzar dan lain-lain). Kemudian sabda Nabi lagi yang bermaksud: Agama ini fleksibel (teguh) tidak dapat sesiapa mengerasinya melainkan akan dikalahinya maka bersikap luruslah (jujurlah) dan bersatulah, rapatkan barisan dan gunalah peluang dan masa yang sesuai di akhir malam (Riwayat Tarmizi dan lain). Wallahualam.

Ziarah kubur
Soalan: Kenapa ada orang kita yang tidak membenarkan kita berziarah kubur pada hari raya sedangkan pada hari itulah kesempatan kita dan anak-anak untuk berkunjung ke pusara ibu bapa sekali setahun semasa balik kampung. Adakah hadis yang melarang amalan tersebut?

– Suri Zakaria,Petaling Jaya, Selangor.

JAWAPAN: Amalan ziarah kubur sememang disuruh oleh Rasulullah sebagaimana dalam hadis Muslim yang mengarah umat Islam semua menziarah kubur. Sabdanya yang bermaksud: Aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur, sekarang aku benarkan kamu menziarah kubur kerana ianya boleh mengingatkan kematian dan mendatangkan pengajaran. Rasulullah sendiri selalu pergi ziarah kubur Baqi’ al Gharqad. Pernah Rasulullah menziarahi kubur ibunya dan lalu duduk menangisi ibunya dan para sahabat di kelilingnya turut menangis sama. Tidak ada siapa yang dapat mempertikaikan kebaikannya. Yang kecohnya ialah orang kita menimbulkan persoalan kenapa ditentukan hanya dilakukan pada Hari Raya sahaja. Jawabnya kerana kebetulan kita pulang kampung pada hari itu sedangkan pada hari lain kita di bandar. Soal menentukan Hari Raya dengan amalan ziarah tidak timbul sama sekali melainkan bagi kumpulan yang ingin mencari pasal bermusuh dan berkelahi dengan kita. Bagi kita amalan ziarah kubur digalakkan pada bila-bila masa termasuk Hari Raya. Ini adalah untuk mendapat pengajaran dan mendidik anak-anak supaya dapat mengenal dan mengenang jasa orang tua mereka dengan mengenang jasa baik mereka berdua sebagaimana yang diajarkan al- Quran: Tuhanku! Kasihanilah dua ibu bapaku sebagaimana mereka mendidik aku semasa kecil dahulu (surah al Israk ayat 24). Tetapi sekiranya ada orang mengatakan ziarah kubur sunat dan disuruh Rasulullah hanya pada Hari Raya sahaja maka itulah fahaman bidaah dan karut. Wallahualam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.