saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/11/2007

Menjelajahi sumbangan belia mengisi kemerdekaan

Dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara ini, dapat dilihat peranan belia sebagai pemangkin perubahan dan pencetus kesedaran di kalangan rakyat negara ini. Mereka yang berjuang ke arah kemerdekaan rata-ratanya berada pada usia muda pada ketika itu. Namun mereka telah membuktikan kemampuan memimpin rakyat negara ini keluar daripada belenggu penjajahan.

Memang tidak dinafikan sumbangan ulama, ahli politik berhaluan kanan dan kiri, guru dan ramai lagi dalam perjuangan ke arah kemerdekaan, namun sumbangan belia juga tidak boleh dipandang ringan. Hal ini kerana, belia melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan dan gerakan, di maktab perguruan, Universiti Malaya di Singapura dan dalam pelbagai jabatan kerajaan.

Inilah inti pati buku Jelajah Belia yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini. Buku yang diterbitkan dalam bentuk bergambar ini dilihat sebagai simbolik kepada semangat cintakan bangsa dan negara di kalangan belia sempena sambutan kemerdekaan ke-50.

Buku setebal 151 halaman yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) itu akan diedarkan kepada semua pemimpin persatuan belia seluruh negara.

Azalina berkata, sejumlah 11.1 juta belia seluruh negara perlu menjadikan buku itu sebagai rujukan bagi memahami erti sebenar kemerdekaan dan perjuangan pemimpin terdahulu yang bekerja dengan ikhlas, tekun dan berhikmah.

Salah satu sumbangan besar belia semasa menuntut kemerdekaan adalah memastikan nasib dan kepentingan orang Melayu terus dipertahankan. Perjuangan belia menuntut ketuanan Melayu amat jelas daripada beberapa babak yang dapat disingkap dan dipaparkan dalam buku ini.

Salah satu usaha penting dalam menggerakkan usaha ke arah kemerdekaan dilakukan oleh Persatuan Melayu Great Britain yang mendesak British menghapuskan Malayan Union. Antara pelajar dan belia Melayu yang memainkan peranan dalam perkara ini ialah Tun Ismail Mohd. Ali, Tun Mohamed Suffian Hashim dan Tunku Abdul Rahman.

Pada halaman 20 buku ini ditampilkan surat Tunku Abdul Rahman selaku Presiden Persatuan Melayu Great Britain kepada Setiausaha bagi Tanah Jajahan bertarikh 15 Januari 1947 yang menggesa dipercepatkan proses kemerdekaan.

Melalui memorandum bertarikh 6 Ogos 1956 sekumpulan pegawai muda Melayu (Malay Forum) mengemukakan memorandum mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Memorandum yang ditandatangani 24 anggota Malay Forum itu ditujukan kepada Pengerusi, Pesuruhjaya Perlembagaan. Antara mereka yang menandatangani surat dan memorandum ini ialah Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Raja Tun Mohar Badiozaman, Tun Hamdan Tahir, Tan Sri Abdullah Ayub, Tan Sri Dol Ramli, Tan Sri Yaacob Abdul Latif, Tun Syed Nasir Ismail, Abdul Jamil Rais dan Sujak Rahiman.

Meskipun sedang berkhidmat dalam pelbagai jabatan di bawah pentadbiran British ketika itu, mereka tidak gentar akan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi dengan menandatangani memorandum berupa desakan tersebut.

Menuntut

Pada 15 Ogos 1956, Kongres Pelajar Melayu Malaya mengemukakan memorandum menuntut bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Aminuddin Baki telah menandatangani memorandum ini bagi pihak Kongres Pelajar Melayu Malaya.

Belia juga telah dari awal bergerak ke arah mengisi kemerdekaan. Setelah meruntuhkan Malayan Union, nasib orang Melayu mesti terus dibela. Pelajar Melayu bermuafakat menubuhkan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948 untuk membela nasib orang Melayu dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik.

Atas inisiatif Aminuddin Baki dan Abdullah Ayub, GPMS mengemukakan memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi British menuntut penubuhan sebuah suruhanjaya pelajaran Melayu bagi menangani masalah pelajaran di kalangan orang Melayu.

Pelajar-pelajar Melayu juga turut prihatin dengan sebarang dasar yang menyentuh kepentingan masa depan orang Melayu. Pada 16 Mei 1950, belia Melayu di Universiti Malaya, Singapura telah mengemukakan memorandum membantah cadangan Communities Liaison Committee mengenai hak kewarganegaraan. Mereka menuntut kerajaan berhati-hati dalam melaksanakan dasar kewarganegaraan demi keselamatan orang Melayu.

Buku ini juga menekankan kepentingan ilmu bagi menjadikan sesuatu bangsa itu kuat. Kekuatan ilmu yang ada pada para pemimpin muda yang awal ditampilkan. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditampilkan dengan citra pemuda yang cemerlang dalam pelajaran sewaktu zaman muda mereka.

Mereka bukan saja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga dalam kegiatan olahraga dan berpersatuan.

Buku ini turut merakamkan kesemua menteri yang pernah memberikan sumbangan bakti mereka menerajui Kementerian Belia dan Sukan. Ini tentulah sesuatu maklumat yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda hari ini dalam mengenali pemimpin belia terdahulu.

Demikian sebahagian daripada pelbagai sumbangan belia sepanjang lima dekad mengisi kemerdekaan negara yang dipaparkan dalam buku ini. Dengan isinya yang mantap, buku ini baik menjadi teman bagi setiap belia yang ingin menghayati sumbangan pemimpin belia zaman terdahulu.

Patah tumbuh hilang berganti, belia hari ini bakal menjadi pemimpin di hari muka. Negara memerlukan lebih ramai belia sebagai pemimpin pelapis untuk menongkah arus perubahan dan cabaran yang bakal mendatang.

Justeru, generasi muda harus mengenali dan menghayati setiap jerih payah yang telah dilalui oleh pemimpin belia terdahulu. Kini mereka cuma perlu meneruskan perjuangan yang belum selesai. Jalan terbentang di hari muka mestilah dilalui dengan penuh bersemangat dan iltizam agar nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama ini akan berkekalan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.