saya nak baca ..

MAHKAMAH


ARKIB : 14/11/2007

Penyiasat persendirian terima SMS Razak, Altantuya

SHAH ALAM 13 Nov. – Pemadanan data yang dilakukan terhadap telefon bimbit milik penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam menunjukkan bahawa dia ada membuat atau menerima panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Abdul Razak Abdullah Baginda dan Altantuya Shaariibuu sekitar Oktober tahun lalu.

Ketua Jabatan Digital Forensik Cybersecurity Malaysia, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin, 36, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pemadanan data dilakukan olehnya terhadap telefon bimbit jenis Nokia 6600 bernombor 012 2409311 milik Subramaniam yang diserahkan oleh pihak polis kepadanya.

Beliau berkata, pemadanan dilakukan dengan berpandukan kepada data-data yang diperoleh daripada telefon bimbit itu dan log (rekod transaksi panggilan suara dan SMS) nombor telefon itu dengan dua buah telefon bimbit dan tiga nombor telefon bimbit 012 2132303, 012 3916082 (kedua-dua milik Abdul Razak) serta 017 3992411 (milik Altantuya) yang dihubungi melalui panggilan suara atau SMS.

Balasubramaniam yang merupakan penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak adalah saksi pendakwa pertama pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu.

Menjelaskan proses pemadanan data yang dilakukannya, juruanalisis itu menyatakan, maklumat mengenai nombor-nombor telefon itu dan nama pemiliknya diperoleh daripada pihak polis dan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Communications Bhd. (Maxis).

Menurut Aswami, pemadanan data yang dibuat melibatkan panggilan suara (yang dihantar dan diterima) dan SMS (yang dihantar dan diterima) pada rekod transaksi di telefon bimbit dan rekod transaksi yang dibekalkan oleh Maxis.

Data-data tersebut dimasukkan ke dalam laporannya bagi nombor telefon bimbit terbabit termasuk jenis telefon dan nama pemilik, yang mengandungi enam kolum A hingga F terdiri daripada panggilan keluar, SMS keluar, turutan daripada SMS keluar, panggilan yang diterima, SMS yang diterima dan turutan SMS yang diterima.

Kata beliau, bagi memadankan panggilan yang dilakukan oleh nombor telefon 9311 (mengambil empat digit akhir nombor telefon bimbit Balasubramaniam), beliau perlu melihat log nombor telefon yang dihubungi pada masa dan tarikh yang sama.

Misalnya, kata Aswami, pada waktu 12:25:54, pemilik nombor telefon 9311 telah membuat panggilan telefon ke nombor telefon 012-2132303 (milik Abdul Razak).

“Untuk tujuan pemadanan, saya memerlukan pula log 2303 (empat digit akhir nombor telefon Abdul Razak itu) pada masa dan tarikh panggilan diterima (yang dibekalkan Maxis), di samping log pada telefon bimbit 2303 itu sendiri (yang diterima daripada pihak polis),” ujarnya.

Bagi nombor telefon 017-3992411, kata saksi pendakwa ke-52 itu, tiada telefon bimbit diserahkan tetapi pemadanan dilakukan berdasarkan log yang diperoleh daripada Maxis.

“Ini bermakna pemadanan masih boleh dilakukan berpandukan rekod transaksi daripada syarikat tersebut walaupun tiada telefon bimbit diperoleh, " katanya.

Aswami memberi keterangan demikian semasa disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada perbicaraan kes bunuh Altantuya, 28, di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin.

Perbicaraan masuk hari ke-58 hari ini.

Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia itu di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.

Berhubung terdapat kolum panggilan telefon atau SMS yang ditulis ‘Data’ tidak ditemui dalam laporannya, Aswami menjelaskan, ia berlaku kerana mungkin data tersebut telah dipadamkan oleh pengguna pada telefon bimbit, data baru dimasukkan di ruangan data lama akibat ruang telah penuh, atau ‘di telefon bimbit lain yang tidak berkenaan’.

Ditanya oleh Tun Abdul Majid apa maksud beliau ‘di telefon bimbit lain yang tidak berkenaan’, jelas Aswami, kemungkinan satu kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) digunakan untuk dua telefon bimbit yang berbeza.

Tun Abdul Majid: “Jadi, data yang diperoleh dari mana?"

Aswami: “Untuk model terkini, data disimpan pada memori telefon contohnya flash memory. Bagi model lama, selalunya disimpan pada kad SIM kerana telefon bimbit tiada memori.”

Selain telefon bimbit Balasubramaniam, saksi tersebut menyatakan, beliau juga membuat pemadanan rekod transaksi dua buah telefon bimbit jenis Nokia N80 dan Nokia 2100 milik Lans Koperal Rohaniza Roslan, Nokia 3230 milik Sirul Azhar, Nokia 6680 milik Azilah dan Nokia 6680 kepunyaan seorang lagi penyiasat persendirian, K. Suras Kumar.

Turut dibuat pemadanan ialah dua buah telefon bimbit jenis Nokia 6020 dan Nokia 7610 milik Deputi Supritendan Musa Mohd. Safri dan tiga buah telefon bimbit milik Abdul Razak (Palm Treo 650 & 750 dan dua buah telefon bimbit masing-masing jenis Nokia 6280), katanya.

Ketika mengemukakan keterangannya itu, Aswami turut membacakan setiap nombor telefon bimbit tersebut kepada mahkamah.

“Bagi nombor telefon 017-3992411, tidak ada telefon bimbit diberikan. Saya dimaklumkan nombor ini milik mangsa,” katanya.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.