saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 15/11/2007

Nahas Tanjung Kupang sukar dilupakan Ramli


Ramli Mat Arshad.


Kata pujangga, manusia tidak boleh mencipta pengalaman tetapi mesti menghadapinya. Hakikatnya, pengalaman yang dihadapi setiap manusia berbeza dan itulah yang akan mendewasakan kita.

Bagi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Asisten Komisioner Ramli Mat Arshad, pengalaman lebih tiga dekad dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi pelbagai warna dalam kanvas hidupnya.

Tidak keterlaluan andai dikatakan, segala pengalaman yang dikumpul itu hampir melengkapkan perjalanan kariernya sebagai pegawai polis yang hanya tiga tahun lagi akan ditinggalkannya.

“Apa yang saya lalui selama lebih 30 tahun dalam PDRM terlalu berharga,’’ kata beliau waktu memulakan bicara ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Awalnya, penulis tidak mampu menangkap maksud beliau dan apabila Ramli membuka kisah nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH653 di Tanjung Kupang, Johor, serangan kumpulan ekstremis agama ke atas Balai Polis Batu Pahat dan terlibat dalam kejayaan memberkas penjenayah dikehendaki yang juga orang pertama berjaya melepaskan diri dari Penjara Pudu - barulah terlerai kisahnya.

“Bayangkan berjalan di atas cebisan daging manusia, mayat-mayat berkecai merata-rata di depan mata, begitulah keadaan yang saya harungi ketika masih mentah kerana baru menjadi anggota polis,’’ katanya.

Nahas ngeri pada 4 Disember 1977 yang mengorbankan 100 orang termasuk tujuh krew MAS itu masih segar dalam memori Ramli sehingga ke hari ini.

Tragedi nahas pesawat yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah negara itu turut mengorbankan Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Ali Ahmad.

Ramli yang ketika itu berkhidmat sebagai Pegawai Penyiasat di Balai Polis Kulai, dikerah ke tempat kejadian untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Memang dahsyat nahas tersebut, tidak ada satu mayat pun yang dapat dicam oleh waris kerana keadaan mayat yang tidak sempurna.

“Tidak mampu untuk saya gambarkan perasaan apabila melihat kebanyakan waris sedu-sedan melihat pihak berkuasa mengutip cebisan daging dan tulang orang yang mereka sayangi,” kata Ramli yang ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Belum terhakis pengalaman ngeri itu, tiga tahun kemudian Ramli ‘diuji’ lagi dengan satu cabaran hebat apabila Balai Polis Batu Pahat diserang sekumpulan lelaki ekstremis berjubah hijau yang diketuai oleh ‘Mohd. Nasir’.

Tragedi berlaku pada 16 Oktober 1980 dan Ramli ketika itu bertugas sebagai Inspektor kawasan Yong Peng, Batu Pahat.

“Ia merupakan satu detik hitam dalam sejarah tanah air walaupun tidak ada kematian dilaporkan tetapi seorang kerani yang bertugas di balai berkenaan, Rohana Jantan putus tangan kanan akibat diserang kumpulan ajaran sesat itu.

“Mereka yang bersenjatakan pedang turut mencederakan beberapa orang lain,’’ katanya.

Tambah Ramli, dalam kejadian itu dua buah kereta kepunyaan orang awam termasuk sebuah teksi turut dilarikan oleh kumpulan penjenayah terbabit.

“Pemandu teksi berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Yong Peng dan sayalah yang menerima laporan tersebut,’’ katanya.

Itu antara kisah tragis yang dikumpul Ramli pada awal penglibatannya dalam PDRM dan lelaki ini turut menyimpan kejayaan manis yang dikecapi beliau dalam karier kepolisannya.

Ketika menjadi Pegawai Penyiasat di Kulai pada tahun 70-an, Ramli berjaya menjejaki dan memberkas penjenayah berbahaya yang paling dikehendaki polis iaitu Lam Wah Chai dan Chim Kim Chai @ Kim Long.

Doa dan restu

Menurutnya, Lam Wah Chai merupakan penjenayah pertama yang berjaya melepaskan diri dari Penjara Pudu, Kuala Lumpur sekali gus menyebabkan kekecohan di seluruh tanah air.

“Selepas melepaskan diri, Wah Chai yang berasal dari Kulai masih tidak serik dan terus melakukan rompakan bersenjata dan pembunuhan di sekitar negeri Johor,’’ katanya.

Berikutan satu kes rompakan bersenjata dilakukan Wah Chai terhadap seorang peniaga di Kulai Besar, gerakan besar-besaran telah dilakukan untuk menangkapnya.

“Beberapa hari lepas kejadian iaitu pada hari pertama Tahun Baru Cina, saya menerima maklumat bahawa Wah Chai sedang memandu kereta menuju ke Johor Bahru dari Kulai.

“Maklumat itu telah disampaikan kepada rakan karib saya, Inspektor Abu Bakar Idris (telah bersara) yang kemudiannya mengetuai sepasukan polis dari IPK Johor dan berjaya memberkas Wah Chai di Skudai,” katanya.

Mengecapi kejayaan dalam bidang kepolisan, anak kelahiran Tebing Tinggi, Kangar, Perlis ini selalu percaya bahawa doa dan restu kedua-dua arwah orang tua merupakan azimat berharga untuknya.

“Doa dan restu itulah yang membuatkan saya berjaya menamatkan latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu pada Disember 1970 sebelum mula berkhidmat sebagai Inspektor Kawasan Johor Bharu selama tiga tahun,’’ jelasnya.

Selepas tamat latihan, Ramli kemudiannya berkhidmat selama enam tahun sebagai Pegawai Penyiasat di Kulai dan kemudiannya Inspektor Kawasan Yong Peng selama tiga tahun sebelum meninggalkan seketika kerja menyiasat untuk menjadi Pegawai Pendakwa Mahkamah Batu Pahat pada tahun 1982.

“Pada tahun 1987, saya telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang namun hanya selama tiga bulan sebelum dilantik pula menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Muar sehingga 1990,” imbas Ramli.

Ramli pernah menjadi Ketua Polis Daerah Jasin, Melaka dan berkhidmat selama tiga tahun di sana.

Apabila menjangkaui usia 40-an, beliau membuat keputusan yang dianggap drastik iaitu mengambil cuti belajar selama empat tahun untuk meneruskan pengajian dalam bidang perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Syukurlah majikan saya memberikan lampu hijau untuk saya meneruskan pengajian pada usia yang agak lanjut.

“Namun saya memang percaya usia bukan jadi penghalang, setidak-tidaknya saya memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-undang sebelum bersara,’’ jelasnya.

PDRM terus menagih khidmatnya sebaik beliau tamat belajar apabila dilantik semula sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di IPD Melaka Tengah dan bertugas selama enam tahun sebelum menerima kenaikan jawatan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur pada 2003 sehingga hari ini.

Beliau menamatkan zaman bujangnya pada 1978 dan perkahwinan Ramli dengan seorang guru, Salmah Shamsudin dikurniakan lima cahaya mata, tiga putera dan dua puteri.

Tiga puteranya ialah Saiful Rizal, Shahir Rafiq dan Siddiq Rafee serta dua puterinya ialah Sofia Rehan dan Siti Rafiqah.

“Anak sulung dan kedua telah bekerja, yang ketiga dan keempat masih menuntut di universiti manakala anak bongsu sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Ditanya apakah pegangan sebagai seorang pegawai polis, katanya, setiap anggota atau pegawai polis perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan undang-undang supaya tugas harian menjadi mudah dan efektif.

Mengenai hobinya, Ramli memberitahu, sekiranya berkesempatan, beliau gemar melancong dan bersiar-siar bersama keluarganya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.