saya nak baca ..

MAHKAMAH


ARKIB : 21/11/2007

Singapura gulung hujah Batu Putih

THE HAGUE, Belanda 20 Nov. – Singapura hari ini menutup kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dengan mempertahankan dakwaan bahawa republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau tersebut.

Duta Kelana republik itu, Tommy Koh di akhir ucapan penutupnya meminta mahkamah membuat keputusan berdasarkan perenggan kedua, Perkara 60, Peraturan-Peraturan Mahkamah bahawa Singapura mempunyai hak ke atas pulau-pulau tersebut.

Pasukan Singapura memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, pihaknya telah membuktikan bahawa ketiga-tiga pulau itu milik mereka berdasarkan hujah serta bukti bertulis yang terkandung dalam memorialnya.

Republik itu mendakwa telah berjaya mengemukakan kesnya sepanjang pusingan pertama dan pusingan kedua hujah lisan selama enam hari di hadapan barisan 15 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Kesemua hujah Singapura itu akan dijawab oleh pasukan Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad Khamis ini.

Koh yang bertindak sebagai ejen utama Singapura dalam tempoh 15 minit membentangkan 10 hujah bagi menyokong dakwaan republik itu bahawa ketiga-tiga pulau tersebut adalah milik mereka sejak tahun 1851.

Hujah-hujah tersebut ialah Pulau Batu Putih terra nullius (tiada pemilik), justeru kehadiran British di situ pada tahun 1847 untuk membina Rumah Api Horsburgh serta tindak-tanduknya sehingga tahun 1851 jelas menunjukkan British mempunyai hak kedaulatan di pulau itu.

Malaysia dalam hujahnya mendakwa, Pulau Batu Putih adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor, justeru ia merupakan pemilik asal pulau tersebut.

Keduanya, Koh merumuskan bahawa, di antara tahun 1847 hingga 1851, British tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak menyempurnakan pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih.

Bagaimanapun, bagi dakwaan itu, Malaysia baik dalam memorialnya atau ketika hujah lisan membangkitkan tentang surat keizinan oleh Sultan dan Temenggung kepada British berhubung pembinaan rumah api.

Hujah ketiga Singapura seperti yang dibangkitkan oleh Koh ialah sepanjang tahun 1847 dan 1851, British telah mendapatkan hak kedaulatan di Pulau Batu Putih berdasarkan;

i) Niat untuk memasukkan hak kedaulatannya dan

ii) Segala tindak-tanduk yang dijalankan di pulau tersebut.

Malaysia dalam hujahnya berulang kali menegaskan, bahawa semua tindak-tanduk British itu adalah selari dengan peranan mereka sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh dan ia tidak lebih daripada itu.

Koh kemudian membangkitkan hujah keempat iaitu sepanjang tempoh 130 tahun (1847-1979), kedaulatan Singapura ke atas pulau itu dipamerkan secara terbuka dan diakui oleh pelbagai pihak dan Malaysia hanya mengeluarkan bantahan pada tahun 1979 menerusi penerbitan peta barunya.

Semasa pusingan pertama hujah lisan dan dalam memorialnya, Malaysia mempertahankan pendiriannya bahawa setiap tindak- tanduk Singapura sepanjang tempoh itu juga berkaitan dengan pengurusan rumah api semata-mata.

Ejen Singapura itu kemudian menarik perhatian mahkamah mengenai hujah kelima iaitu surat balasan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 21 September 1953.

Beliau menekankan tentang ayat yang tertera di dalam surat itu iaitu: “Kerajaan negeri Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih”.

Koh mendakwa menurut undang-undang antarabangsa surat itu mengikat Malaysia dan pemangku setiausaha kerajaan negeri mempunyai kapasiti untuk menulis surat tersebut terutamanya selepas merujuk pelbagai pihak.

Malaysia dalam hujahnya mendakwa surat tersebut bertujuan menjelaskan pendirian Malaysia berhubung pemilikan Rumah Api Horsburgh dan bukannya Pulau Batu Putih.

Hujah keenam Singapura merujuk pula kepada bantahan Malaysia berhubung pengibaran panji-panji marin Singapura di Pulau Pisang pada tahun 1968 iaitu tiga tahun selepas republik itu berpisah daripada Malaysia.

Koh berhujah, republik itu menghormati hak kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang dan segera bertindak menurunkan panji-panji tersebut.

Namun dalam kes Pulau Batu Putih, hujahnya, Malaysia tidak pernah menunjukkan bantahan berhubung pengibaran panji-panji marin Singapura di Rumah Api Horsburgh dan ia disifatkan sebagai mengakui kedaulatan Singapura di Pulau Batu Putih.

Malaysia dalam hujahnya mendakwa pengibaran panji-panji marin Singapura di Pulau Batu Putih menandakan bahawa republik itu berfungsi sebagai pengendali rumah api dan bukannya mengiktiraf kedaulatan ke atas pulau tersebut.

Koh menarik perhatian mahkamah mengenai hujah ketujuh iaitu enam peta Malaysia yang dikeluarkan bagi tempoh 1962 hingga 1975 yang jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura.

“Sebaliknya Singapura tidak pernah mengeluarkan peta mengiktiraf Pulau Batu Putih adalah dalam wilayah Malaysia,” hujah Koh.

Malaysia mendakwa, Singapura tidak pernah mengeluarkan peta yang menunjukkan Pulau Batu Putih dan dua lagi bentuk maritim itu terletak di dalam wilayah mereka.

Mengenai Middle Rocks dan South Ledge, ejen Singapura itu berhujah, kedua-dua bentuk maritim itu adalah gugusan Pulau Batu Putih dari sudut kedudukannya, geologi, sejarah serta undang-undang, justeru ia tidak boleh dipisahkan.

Bagaimanapun, Malaysia berhujah bahawa, ketiga-tiga bentuk maritim itu mempunyai ciri-ciri tersendiri dan dipisahkan oleh laluan pelayaran, oleh itu ia bukan menjadi sebahagian daripada Pulau Batu Putih.

Koh kemudian berhujah mengenai pentadbiran berkesan yang dilakukan oleh Singapura di Pulau Batu Putih bagi membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau itu.

“Jika mahkamah menyemak, melihat pentadbiran berkesan di pulau itu, Singapura secara jelas telah membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan di Pulau Batu Putih.

“Singapura faham mengapa Malaysia prihatin (berhubung pentadbiran berkesan) itu, ini kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang aktiviti di situ,” katanya.

Hujah terakhir ejen Singapura itu merujuk kepada kenyataan bahawa republik itu akan terus berperanan sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh jika keputusan memihak kepada Malaysia.

Beliau merumuskan bahawa, kenyataan seumpama itu adalah satu percubaan oleh Malaysia untuk mengubah susunan undang-undang yang telah berlangsung selama 150 tahun.

Di akhir penggulungannya, Koh berhujah, Singapura terus menjalankan tindak-tanduk di Pulau Batu Putih dan perairannya secara terbuka sambil mendakwa Malaysia tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan.

“Surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan peta-peta yang dikeluarkan oleh Malaysia mengukuhkan lagi gambaran keseluruhan ini.

“Tidak ragu-ragu lagi Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Singapura,” hujahnya.

Persidangan bersambung Khamis ini dengan pasukan Malaysia mengemukakan hujah-hujah pada pusingan kedua hujah lisan.

– Utusan

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.