saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 23/11/2007

Bukan milik Singapura -- Gagal buktikan 3 pulau dituntut hak republik itu - Peguam Negara

THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Malaysia memulakan pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menegaskan bahawa Singapura gagal membuktikan, jauh sekali mengemukakan sebarang dokumen, bahawa pulau tersebut milik republik itu.

Malah, Malaysia berhujah, kelewatan Singapura membuat tuntutan ke atas dua bentuk maritim iaitu Middle Rocks dan South Ledge (13 tahun selepas tuntutan Pulau Batu Putih) menunjukkan republik itu tidak mempunyai hak ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik perhatian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai dakwaan Singapura bahawa Malaysia bukan pemilik asal Pulau Batu Putih.

Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan dakwaan Singapura bahawa pulau tersebut menjadi milik British pada tahun 1847 hingga 1851 kerana ketika British datang ke situ, ia adalah terra nullius (tiada pemilik).

Menurut Abdul Gani, Singapura tidak dapat mengemukakan sebarang bukti bahawa Pulau Batu Putih ketika itu adalah terra nullius.

“Singapura tidak membuktikan kesnya, sebaliknya kes republik itu berdasarkan kepada kesimpulan mereka bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.

Abdul Gani kemudian berhujah mengenai perkara kedua iaitu sikap berdiam diri Singapura atau kegagalan republik itu mengemukakan dokumen undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan sehingga tahun 1978 untuk menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik mereka.

Malaysia, hujah beliau, telah menunjukkan bahawa kebenaran yang diberi oleh Johor berhubung pembinaan Rumah Api Horsburgh di pulau itu dibuktikan menerusi surat keizinan Sultan dan Temenggung bertarikh 25 November 1844.

“Sikap Singapura yang berdiam diri berhubung perkara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” kata beliau sambil memetik keputusan ICJ dalam kes Temple of Preah Vihear mengenai pertikaian antara Kemboja dan Thailand.

Dalam kes itu, ICJ menggariskan bahawa beban untuk membuktikan sesuatu tuntutan sudah pasti terletak kepada pihak yang membuat dakwaan atau mengemukakan tuntutan.

“Malaysia telah membuktikan kesnya, bagaimanapun Singapura tidak berbuat demikian,” hujah beliau.

Abdul Gani turut menarik perhatian mahkamah mengenai dakwaan Peguam Negara Singapura semasa hujah lisan republik itu pada 19 November 2007 berhubung tarikh penting tuntutan ke atas Middle Rocks dan South Ledge.

Menurut beliau, Singapura mendakwa tarikh penting itu adalah berikutan jawapan balas kepada kenyataan Malaysia bahawa kedua-dua bentuk maritim itu adalah milik negara ini iaitu sehari sebelum rundingan dua hala antara kedua-dua negara diadakan.

Sebaliknya, Abdul Gani berkata, jika republik itu ingin menuntut kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge, sudah pasti ia telah memasukkan nama kedua-dua pulau itu dalam nota bantahannya pada 14 Februari 1980 iaitu ketika bermulanya pertikaian ke atas Pulau Batu Putih tetapi Singapura tidak berbuat demikian.

‘‘Kedua-dua bentuk maritim itu telah dikenali dengan namanya sekarang ini sejak lama dulu, iaitu pada abad ke-14 bagi Pulau Batu Putih dan abad ke-19 bagi dua bentuk maritim lagi.

‘‘Kenyataan bahawa Singapura membangkitkan perkara itu sebagai tindak balas kepada apa yang Malaysia katakan adalah tidak relevan kerana tiada pertikaian langsung berhubung kedaulatan Malaysia ke atas kedua-dua bentuk maritim itu sebelum 6 Februari 1993,” katanya.

Esok Malaysia akan menyambung hujah lisan dan menggulung kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

– Utusan

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.