saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 25/11/2007

Keliru istilah khalwat

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Terminologi “khalwat” telah diselewengkan daripada definasi asal, lalu akhirnya menjadi satu istilah yang boleh dikatakan mengaibkan. Istilah ini akhirnya lebih lebih difahami daripada terma yang asal, iaitu satu keadaan menyendiri, bertafakur kerana kebesaran, kekuasaan dan kewujudan Allah Yang Maha Esa.

Saya berkeyakinan bahawa membesar-besarkan kes-kes khalwat di dada akhbar, lebih-lebih lagi yang melibatkan orang yang ternama tidak banyak menyumbang dalam usaha menyekat perbuatan berkhalwat, tetapi ia lebih merupakan seumpama memerah limau di garisan luka.

– Man, Kajang.

Jawapan: Fenomena yang berlaku sekarang ini memperkukuh apa yang saudara jelaskan di atas. Istilah “berkhalwat” atau “khalwat” yang merujuk kepada pasangan lelaki perempuan yang berada di tempat sunyi berdua-duaan, manakala maksud yang asal, tidak banyak difahami.

Perkataan “khalwat” ialah perkataan pinjaman daripada bahasa Arab “khalwah, kata nama infinitif khala, yakhlu secara literal menunjukkan mahu menyendiri. Sebagai istilah Islam, ia menunjukkan kesunyian untuk bertafakur terhadap Allah dan supaya mengingati-Nya setiap masa dengan menyebut nama Allah di dalam hati, fikiran atau secara lisan.

Di kalangan orang Melayu ia merangkumi makna lain iaitu pengasingan pasangan lelaki dan wanita yang akil baligh yang harus berkahwin di tempat yang terpencil. Pemahaman terhadap makna yang terakhir lebih difahami apa lagi sekiranya ia melibatkan pasangan lelaki perempuan yang bukan muhrim.

Amalan berkhalwat ditegah oleh Islam. Ia merupakan salah satu faktor yang menghela berlakunya perzinaan yang diistilahkan sebagai “wasitah” (perlakuan yang menyebabkan berlakunya sesuatu) menurut usul fikah.

Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (Enakmen No. 14 Tahun 1978):152. (1) Mana-mana orang Islam yang didapati bersekediaman atau bersekedudukkan atau berkurung atau bersembunyi atau bercumbu-cumbuan di mana-mana tempat yang mendatangkan syak dengan seorang yang bukan muhrimnya adalah melakukan kesalahan khalwat dan jika sabit kesalahannya boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Barang siapa lelaki Islam yang bersekedudukkan sebagai suami isteri dengan mana-mana perempuan yang tidak harus nikah dengannya mengikut hukum syarak atau didapati bersekediaman dan bersekedudukkan yang mendatangkan syak dengan perempuan itu adalah melakukan kesalahan dan apabila sabit kesalahannya hendaklah dihukum dan hukuman yang sama seperti disebut di bawah seksyen kecil (1) seksyen ini.

(3) Mahkamah boleh memerintahkan bahawa seorang perempuan yang telah didapati bersalah atas satu kesalahan menurut seksyen ini hendaklah dihantar kepada mana-mana rumah kebajikan yang disediakan oleh kerajaan bagi tempoh tidak lebih dari enam bulan bagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No. 3 Tahun 1952 memperuntukkan hukuman yang sama bagi mereka yang sabit melakukan kesalahan berkhalwat seperti yang diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor. 14. Tahun 1978. Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 157 (1) menyebutkan:

Siapa-siapa orang Perempuan Islam bersubahat di atas kesalahan pecahan satu (1) di dalam fasal ini hendaklah diseksa dengan penjara kerja ringan tidak lebih daripada tiga bulan atau denda tiada lebih RM500 dan jika didapati di atas kesalahan kedua dan lain lagi lepas daripada itu yang serupa hendaklah di penjara tidak lebih daripada enam bulan atau didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau kedua-dua sekali.

Kebanyakan orang Melayu, terutama pihak ibu bapa sekiranya anak-anak mereka terutamanya anak perempuan ditangkap kerana berkhalwat, dia dianggap telah memalukan seluruh keluarga terutama ibu bapanya.

Dalam kebanyakan hal si lelaki selalunya diperalatkan. Untuk memulihkan kembali kehormatan keluarga dan untuk menembus dosanya, si lelaki kadang-kadang dipaksa atau diugut jika dia menolak untuk mengahwini perempuan tadi.

Jika lelaki itu bersetuju, biasanya majlis perkahwinan akan diadakan tanpa adat dan upacara yang biasa dilakukan, kecuali bayaran mas kahwin sebelum akad nikah di majlis ini berakhir dengan kenduri yang dihadiri oleh beberapa tetamu. Menurut sesetengah pegawai yang terlibat dengan hal-hal seumpama ini, sesuatu perkahwinan hasil daripada peristiwa ini tidak digalakkan, biarpun perempuan itu hamil atas alasan tertentu iaitu:

a. Perkahwinan itu biasanya tidak kekal.

b. Untuk mengelakkan seorang bujang mengahwini gadis melalui tangkapan berkhalwat.

c. Untuk mengelakkan lelaki yang sudah berkahwin, berkahwin dengan perempuan lain melalui proses ini yang dirancangkan.

Walaupun demikian, mahkamah syariah bersedia mengahwinkan mana-mana lelaki dengan perempuan jika mereka ditangkap dan kes ini dibawa ke mahkamah asalkan syarat dan keperluan dipenuhi.

Di Semenanjung Tanah Melayu, istilah “tangkap basah” begitu popular di kalangan orang Islam walaupun peristiwa itu dikata jarang berlaku. Di setiap pejabat agama di Malaysia terdapat pegawai agama yang dinamakan Inspektor Agama atau yang seumpamanya, yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan tangkapan ini. Dengan bantuan pegawai polis dan mereka yang diberi kuasa, mereka akan menggeledah hotel, rumah urut, rumah rehat, sarang pelacuran dan rumah-rumah persendirian jika mereka menerima sebarang maklumat daripada orang awam. Istilah “tangkap basah” selalunya tidak merujuk kepada mereka yang ditangkap dengan pelacur.

Walaupun tidak ada bukti rasmi bahawa setengah-setengah orang dengan sengaja merancang untuk ditangkap dengan cara “tangkap basah”, ia boleh dilakukan oleh seorang lelaki untuk mengahwini seseorang perempuan tanpa kebenaran ibu bapa perempuan dengan cara yang sempurna, atau untuk mengelakkan daripada mengeluarkan belanja yang besar.

Ini kerana apabila pasangan itu ditangkap, kebenaran mahu atau tidak mahu diberikan. Bagi lelaki yang sudah berkahwin, ini adalah cara yang membolehkannya berkahwin lain, terutama jika persetujuan (dalam bentuk tulisan atau lisan) daripada isteri pertama diperlukan, kerana biasanya dalam hal ini, isteri pertama terpaksa memberikan kebenaran kepada suaminya berkahwin dengan perempuan lain.

Sebaliknya itu bapa perempuan itu juga membenarkan anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki tersebut terutama jikalau perempuan itu telah hamil. Kedua-dua belah pihak memberikan persetujuan untuk mengelakkan hilangnya kehormatan masing-masing dengan lebih lanjut, Proses poligami kadangkala terjadi cara ini.

Biarpun tidak terdapat bukti secara khusus atau terperinci, adalah dipercayai bahawa pasangan yang berkahwin, yang melibatkan pasangan perempuan yang telah hamil sebelum akad nikah dilakukan, meletakkan nama lelaki yang terlibat sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan. Amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Larangan atau jalan keluar mengatasi masalah anak di luar nikah ini tidak disebut oleh mana-mana enakmen pentadbiran agama Islam di Malaysia.

Saya setuju dengan saudara bahawa membesar-besarkan peristiwa khalwat di dada akhbar bukan sesuatu yang baik atau boleh membantu masyarakat. Allah menyuruh setiap umat Islam itu menutup aurat atau keaiban saudaranya. Membesar-besarkan hal seumpama ini hakikatnya tidak menguntungkan, malah ia menyemarakkan rasa permusuhan atau rasa tidak senang hati pihak yang lain.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.