saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 25/11/2007

Dialisis Peritoneal - Alternatif rawatan buah pinggang


PESAKIT terpaksa menanti dalam waktu yang lama untuk mencari buah pinggang sesuai untuk prosedur pemindahan.


DALAM tempoh lebih 20 tahun, jumlah pesakit yang memerlukan dialisis di negara ini telah meningkat dengan begitu ketara.

Saban tahun, lebih 2,500 pesakit disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap lewat atau akhir (ESRF), bersamaan dengan kira-kira 100 orang bagi setiap sejuta penduduk.

Kadar ini terus meningkat dari 43 orang pesakit yang diterima menjalani dialisis pada tahun 1980 kepada 3,152 orang pada tahun 2006.

Pakar Runding Nefrologi, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada peningkatan kadar diabetes dan hipertensi (darah tinggi).

“Kira-kira 57 peratus daripada kes kegagalan buah pinggang lanjutan disebabkan oleh diabetes melitus.

“Adalah penting bagi seseorang individu untuk merawat dan menguruskan penyakit buah pinggang seawal yang mungkin terutamanya jika mereka berada dalam kategori berisiko tinggi (diabetes dan darah tinggi).

“Jika tidak dikesan dan dirawat secara berkesan, ia boleh mengancam nyawa,’’ ujar beliau pada majlis mengumumkan pemenang peraduan Dreamcatcher yang dianjurkan oleh firma farmaseutikal Baxter Healthcare Malaysia buat julung kalinya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

(Minggu hadapan, jangan lupa untuk berkongsi pengalaman finalis Dreamcatcher yang menderitai penyakit buah pinggang serta pilihan rawatan mereka)

Ia dikhaskan untuk semua pesakit buah pinggang di seluruh negara yang menjalani rawatan dialisis peritoneal (PD), iaitu salah satu pilihan rawatan bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang.

Mnurutnya, buah pinggang memainkan peranan penting menapis keluar kotoran di dalam darah dan mengeluarkan air yang berlebihan di dalam badan.

Di samping itu, ia turut membantu mengimbang tekanan darah, menghasilkan hormon untuk membantu tulang sum-sum menghasilkan sel-sel darah merah serta memelihara tulang yang sihat.

Apabila buah pinggang gagal berfungsi

* Kotoran terhasil di dalam darah membuatkan badan terasa gatal, hilang selera makan, diikuti dengan rasa mual dan muntah-muntah

* Air yang berlebihan yang terhasil di dalam badan mengakibatkan bengkak pada muka dan kaki. Ia juga boleh mengakibatkan sesak nafas

* Kekurangan hormon untuk membantu tulang sum-sum menghasilkan sel-sel darah merah boleh mengakibatkan kita kelihatan pucat dan sering terasa letih

* Kekurangan hormon untuk memelihara tulang boleh mengakibatkan penyakit yang ada kaitan dengan tulang seperti tulang reput

* Kekurangan hormon untuk mengimbangkan tekanan darah boleh mengakibatkan tekanan darah yang tidak terkawal (darah tinggi)

Dr. Zaki Morad yang juga seorang profesor dalam bidang perubatan dalaman berkata, penyakit buah pinggang kronik (CKD) berlaku apabila buah pinggang secara beransur-ansur kehilangan keupayaannya untuk berfungsi.

‘‘Ia merupakan penyakit senyap dan selalunya gagal dikesan kerana gejala-gejalanya mungkin tidak dirasai.

‘‘Bagaimanapun, tanda-tanda awal masalah buah pinggang boleh dikesan dengan ujian rutin air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah yang ringkas dan mudah,’’ katanya.

Berita baiknya lagi, CKD boleh ditangguhkan dan dicegah melalui ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup sebaik sahaja masalah ini dapat dipastikan.

Pengesanan dan rawatan awal CKD dapat memperlahankan perkembangan pesakit memasuki tahap ESRF dan memerlukan dialisis.

Para pesakit yang didiagnosis dengan ESRF mempunyai tiga pilihan rawatan iaitu pemindahan buah pinggang, hemodialisis dan PD, kata Dr. Zaki Morad.

‘‘Dialisis ialah rawatan perubatan yang membantu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang untuk mengeluarkan bendalir dan bahan buangan daripada darah.

‘‘Hemodialisis ialah jenis dialisis yang membersihkan darah anda dengan mengalirkan darah keluar daripada badan dan membersihkannya menerusi penapis yang dinamakan dialyzer (buah pinggang tiruan),’’ jelasnya.

Sebaliknya, PD dilakukan di dalam badan anda. Selaput nipis yang dinamakan membran peritoneum melapisi abdomen. Membran ini juga meliputi kesemua organ dalam rongga abdomen.

Ia separa telap, maksudnya hanya bahan tertentu boleh melalui selaput tersebut. PD menggunakan membran ini untuk menapis darah semasa dialisis.

Bagaimana proses PD berlaku?

Pertama sekali, tiub lembut yang dinamakan kateter dimasukkan secara pembedahan melalui dinding abdomen ke dalam rongga peritoneum.

Bergantung kepada jenis kateter yang diletakkan, sambungan kekal ini biasanya boleh digunakan untuk terapi dialisis peritoneum 10 hingga 14 hari selepas prosedur.

Kawasan di mana kateter itu dikeluarkan dari abdomen dipanggil exit site.

Kateter ini membolehkan larutan dialisis memasuki rongga peritoneum. Rongga peritoneum kemudian diisi dengan 2 hingga 3 liter cecair, yang boleg ditampung dengan selesa oleh orang dewasa.

Apabila larutan dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum, hasil buangan akan ditapis daripada aliran darah menerusi membran peritoneum ke dalam larutan dialisis.

Dari situ, bahan buangan akan dikeluarkan dari badan anda. Ini dinamakan fasa pengantaraan dalam pertukaran PD dan proses ini berlaku dalam tempoh beberapa jam setiap kali.

Kemudian, larutan dialisis yang telah digunakan disalurkan keluar dari rongga peritoneum dan digantikan dengan larutan baru. Penyaluran keluar dan penggantian larutan dialisis dinamakan pertukaran atau kitaran.

Jenis PD dan preskripsi rawatan yang dipilih akan menentukan bilangan pertukaran atau kitaran yang diperlukan sehari. Anda boleh memilih sama ada dialisis peritoneal ambulatori berterusan (CAPD) atau dialisis peritoneal automatik (APD).

CAPD – 4 hingga 5 tukaran sehari, yang disesuaikan dengan gaya hidup anda

Sebagai permulaan, kateter PD disambungkan kepada set tiub. Larutan yang berada dalam abdomen pada pertukaran sebelumnya, mesti disalur keluar dari rongga peritoneum ke dalam beg yang sudah tersambung.

Apabila cecair telah dikeluarkan sepenuhnya daripada rongga peritoneal, larutan dialisis baru disalur masuk melalui kateter, mengisi rongga peritoneum dengan jumlah cecair baru yang ditetapkan.

Beg dan set tiub kemudian ditanggalkan dan dibuang. Dalam fasa pengantaraan ini, apabila cecair berada dalam rongga peritoneum barulah dialisis sebenar atau penapisan bahan buangan dan cecair berlaku.

Kini, anda bebas menjalankan kegiatan harian sambil dialisis berlaku dalam rongga peritoneum anda.

Setiap pertukaran mengambil masa 30 minit dan dilakukan setiap 4 hingga 6 jam. Pertukaran malam terakhir kekal atau disimpan di dalam rongga peritoneum semalaman ketika anda tidur.

CAPD memberikan anda kebebasan untuk melakukan dialisis di rumah, tempat kerja malah semasa bercuti.

Anda boleh terus menikmati kehidupan tidak kira sama ada anda bekerja, bersekolah, mengembara mahupun melakukan hobi atau kegiatan lain seperti yang anda lakukan sebelum memulakan dialisis.

APD – Mesin dialisis waktu tidur, 10 jam sepanjang malam

Di sini, pertukaran atau kitaran larutan dialisis dilakukan oleh mesin semasa anda tidur. Sebelum tidur, kateter anda disambungkan kepada mesin APD. Mesin dan larutan diletakkan berhampiran katil.

Apabila anda tidur, mesin APD mengawal ketiga-tiga fasa kitaran, menyalur keluar larutan terpakai, mengisi larutan baru dan mengawasi masa larutan kekal dalam rongga peritoneum – masa penghantaran.

Pada waktu pagi, mesin melakukan isian terakhir bagi kebanyakan pesakit. Ini bermakna, larutan yang dimasukkan kekal dalam rongga peritoneum sehingga waktu tidur atau pertukaran seterusnya.

Apabila anda menanggalkan sambungan, anda bebas melakukan kegiatan harian seperti biasa.

Dalam kedua-dua kes, anda dan Unit Perubatan Buah Pinggang anda boleh membincangkan pilihan yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.