saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 26/11/2007

Perhimpunan bertukar ganas -- Penyokong Hindraf bertindak liar melontar batu, besi ke arah polis


AGRESIF... Sebahagian daripada para penyokong Hindraf bertindak liar dengan membaling objek termasuk kon ke arah anggota polis dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Nov. – Perhimpunan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) di ibu kota hari ini bertukar menjadi ganas, tidak seperti yang dijanjikan oleh penganjurnya dengan penyokong pertubuhan itu bertindak agresif melontar batu dan besi ke arah polis.

Kumpulan itu yang berpecah di beberapa lokasi di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Jalan Yap Kwan Seng sejak pukul 6.30 pagi tidak mengendahkan nasihat polis untuk bersurai, turut mengeluarkan kata-kata kesat dan berbau perkauman.

Sebahagian daripada mereka membuka baju dan melakukan pelbagai provokasi kepada pihak polis yang mengawal persekitaran bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang, di sini, tempat Hindraf dijadual menyerahkan petisyen kepada kerajaan British.

Keganasan yang dicetuskan oleh para penyokong Hindraf itu telah menyebabkan empat anggota polis cedera, dua daripadanya parah akibat dibaling dengan batu dan besi.

Malah, sebuah jentera bomba yang melalui Jalan Yap Kwan Seng dalam perjalanan pulang memadam kebakaran di Pasar Besar Datuk Keramat telah dibaling batu sehingga cermin depan dan sisi kenderaan itu pecah.

Pasukan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan bom air setelah peserta demonstrasi itu enggan mematuhi nasihat supaya bersurai.

Kehadiran beribu-ribu penyokong Hindraf itu jelas tidak menghiraukan perintah mahkamah yang melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan tersebut.

Perhimpunan haram itu turut menimbulkan rasa takut dan kegelisahan di kalangan warga kota, para peniaga dan pelancong.

Sejak seminggu ini, mereka terpaksa menghadapi kesesakan jalan raya berikutan langkah polis mengadakan sekatan jalan raya untuk menghindari anasir jahat memasuki ibu kota.

Hari ini, sebahagian besar premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Ampang Park ditutup kerana para peniaga takut dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Selain itu, orang ramai dan pelancong terkandas tidak dapat ke tempat kerja dan destinasi pelancongan di sekitar Jalan Ampang berikutan perkhidmatan awam dihentikan sementara waktu.

Jalan-jalan utama menuju ke Suruhanjaya Tinggi British turut ditutup sejak awal pagi ini.

Dalam perhimpunan haram yang berakhir kira-kira pukul 2 petang itu, seramai 241 penyokong Hindraf ditahan dan 105 orang daripadanya dibebaskan setelah melalui proses dokumentasi.

Kumpulan itu akhirnya menghantar petisyen mereka kepada kerajaan British melalui faksimile ke Suruhanjaya Tinggi British pada pukul 1.30 tengah hari.

Di KAMPALA, Uganda, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan polis menyuraikan demonstrasi berkenaan adalah langkah perlu untuk menjaga keamanan dan keselamatan orang ramai.

Katanya, polis terpaksa bertindak demi menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya dan kumpulan yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Polis telah menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan tidak menggunakan kekerasan walaupun terpaksa bertegas ketika menyuraikan mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia.

Di PEKAN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula menyifatkan keganasan yang dicetuskan oleh penyokong Hindraf itu satu perbuatan yang amat liar dan tidak boleh diterima sama sekali oleh kerajaan serta sebahagian besar rakyat.

Katanya, golongan terbabit terus ingkar dan bertindak lebih kasar serta agresif sehingga ada yang melempar batu kepada pihak polis.

‘‘Ini merupakan tindakan yang amat liar, degil, kasar dan agresif serta tidak boleh diterima oleh kerajaan dan sebahagian besar rakyat negara ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Al Wardah di Dewan Orang Ramai Batu 8, Lepar di Pekan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi berkata, tindakan menahan peserta perhimpunan haram tersebut diambil berikutan mereka bertindak liar dengan membaling batu dan besi kepada anggota polis yang bertugas mengawal keadaan.

Menurutnya, polis terpaksa bertindak demikian kerana kumpulan berkenaan mengingkari arahan bersurai selepas diminta berbuat demikian.

Seramai 4,000 anggota polis yang ditugaskan, kata Musa, tidak menggunakan kekerasan dalam usaha menyuraikan mereka daripada menyertai perhimpunan haram itu.

Ditanya dalang di sebalik perhimpunan haram itu, katanya, polis masih menyiasat individu yang bertanggungjawab menganjurkannya dan yakin mereka dapat dikenal pasti dalam masa terdekat ini.

‘‘Para peserta perhimpunan haram hari ini seolah-olah tiada haluan dan berpecah belah, sekali gus menunjukkan seolah-olah mereka tiada ketua,’’ katanya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.