saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/12/2007

Kenali Abdul Hamid, Zaki


ZAKI TUN AZMI.


PELANTIKAN Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad sebagai Ketua Hakim Negara yang baru merupakan pilihan terbaik yang dilihat mampu mengembalikan keyakinan awam kepada badan kehakiman.

Berdasarkan pandangan beberapa pengamal undang-undang di negara ini, Abdul Hamid, 65, yang mula menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 11 Jun 1969 mempunyai kelayakan dan keperibadian yang sesuai untuk memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Pandangan yang sama turut diberikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi, 62, yang dilantik mengisi jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman negara.

Abdul Hamid menggantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara wajib pada 30 Oktober lalu. Beliau memangku tugas Ketua Hakim Negara mulai 1 November lalu.

Pengumuman pelantikan Abdul Hamid dibuat melalui satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi berkata, beliau amat bersetuju dengan pilihan Perdana Menteri untuk melantik Abdul Hamid sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

“Beliau adalah calon yang terbaik dan paling layak,” kata Abdul Gani.

Menurutnya, sepanjang tempoh beliau mengenali Abdul Hamid, bekas penuntut undang-undang dari Universiti Singapura itu merupakan seorang yang berperibadi tinggi, jujur, berwibawa dan amat berpengetahuan mengenai undang-undang.

‘‘Beliau sangat menghormati undang-

undang. Sebagai hakim, beliau sentiasa menghormati undang-undang dan melaksanakannya dengan penuh kejujuran. Saya rasa tiada sesiapa yang mempertikaikan kenyataan ini. Perasaan itu dapat dirasai oleh mereka yang berada dalam mahkamahnya,” kata beliau.

Abdul Hamid yang dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi dan pendidikan menengah di St. Xavier‘s Institution.

Beliau mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada 1969 dan menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak.

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan seperti Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.

Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian. Beliau menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Abdul Hamid dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 September lalu, menggantikan Tan Sri Abdul Malek Ahmad yang meninggal dunia pada 1 Jun 2007.

Beliau yang gemar memancing pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Memancing Malaysia. Beliau berkahwin dengan Datin Hamidah Choong Abdullah dan mempunyai empat anak.

Berusia 65 tahun sekarang, Abdul Hamid mempunyai masa yang singkat untuk berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara kerana mengikut perlembagaan, umur persaraan hakim ialah 66 tahun tetapi perkhidmatannya boleh disambung selama enam bulan lagi atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Zaki Tun Azmi pula yang merupakan anak kepada Ketua Hakim Negara kedua, Tun Mohamed Azmi Mohamed, mendapat ijazah undang-undang dari Lincoln‘s Inn, London dan pernah berkhidmat sebagai majistret dan Presiden Mahkamah Sesyen, Ipoh.

Setelah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1984 dengan jawatan terakhir sebagai Peguam Kanan Persekutuan, beliau menyertai Tetuan Shahrizat Rashid & Lee sebagai peguam bela.

Zaki dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 4 Februari 2004 serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi membantu Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiasat kes politik wang pada 1995.

Pada 7 Februari 2005, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO. Zaki yang dilahirkan di Alor Star, Kedah, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 September lalu.

Mengenai pemilihan Zaki bagi mengisi jawatan Presiden Mahkamah Rayuan yang dikosongkan oleh Abdul Hamid, Abdul Gani berkata, keputusan itu juga merupakan satu pilihan yang baik memandangkan pengalaman luas Zaki sebagai peguam.

Katanya, Zaki mampu memanfaatkan pengalaman tersebut dalam badan kehakiman.

‘‘Pelantikan mereka akan mewujudkan suasana yang lebih baik dalam badan kehakiman negara dan saya melihat kejayaan yang lebih tinggi akan dicapai dalam badan itu.

“Saya yakin dengan pelantikan kedua-duanya, badan kehakiman akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang,” ujarnya.

Sementara itu, peguam terkemuka, Datuk K. Kumaraendran berkata, sebagai pengamal undang-undang, beliau sangat gembira dengan pelantikan Abdul Hamid sebagai Ketua Hakim Negara dan beliau berharap pelantikan itu akan mengubah imej badan kehakiman.

‘‘Akhir-akhir ini, kebebasan badan kehakiman banyak dipersoalkan menyebabkan imejnya tercemar. Kami mengalu-alukan pelantikan Abdul Hamid dan kami amat yakin beliau akan membetulkan keadaan serta mengembalikan keyakinan awam yang sepatutnya diberikan kepada badan kehakiman,” ujarnya.

Peguam Gurbachan Singh pula melihat Abdul Hamid sebagai individu yang penuh integriti serta bebas daripada pengaruh dalam melaksanakan tugas-

tugas sebagai hakim, malah ada kalanya penghakiman beliau tersasar daripada jangkaan orang awam.

Gurbachan memberi contoh beberapa kes yang diputuskan oleh Hakim Abdul Hamid seperti rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kes yang membabitkan pertikaian bidang kuasa antara undang-undang Islam dan mahkamah sivil seperti kes pelajar berserban, Meor Atiqulrahman Ishak.

‘‘Sangat sedikit orang awam yang menyangka rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan berikutan suasana dalam badan kehakiman ketika itu. (Tetapi) keputusan Abdul Hamid mengembalikan keyakinan dan kepercayaan awam kepada badan kehakiman,” katanya.

Mengenai pelantikan Zaki sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Gurbachan berkata, Zaki mencipta sejarah apabila menjadi peguam pertama dilantik secara terus menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan.

Katanya, dengan pelantikan itu, Zaki menjadi antara sebilangan kecil hakim yang berpengalaman sebagai peguam persekutuan dan peguam bela.

Zaki, seorang peguam terkemuka, melepaskan pelbagai jawatan korporat dan tugas sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO apabila beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 September lalu.

‘‘Zaki adalah seorang yang penuh integriti dan bermaruah. Beliau mampu melaksanakan tugas sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dengan sewajarnya,” kata Gurbachan.

Dalam pada itu, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid mengucapkan tahniah kepada Abdul Hamid dan Zaki atas pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sambil menyifatkan mereka layak mengisi jawatan itu kerana berpengetahuan luas dalam bidang undang-undang.

‘‘Saya gembira dengan pelantikan mereka berdua. Pada saya, pelaksanaan undang-undang dan pemberian keadilan oleh mereka akan menjadi amat penting pada masa akan datang,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.