saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/12/2007

Nostalgik Awang Goneng

Judul buku: Growing Up In Trengganu
Penulis: Awang Goneng
Penerbit: Monsoon Books
Harga: AS$15.95
Pengulas: BAHAROM MAHUSIN
WAN Ahmad Hulaimi tinggal di London begitu lama, iaitu lebih separuh daripada usianya yang kini menjangkau 60 tahun. Beliau tiba di England ketika usia remaja untuk belajar di London School of Economics (LSE) pada awal 1970-an.

Hulaimi belajar bidang undang-undang di LSE. Sekembalinya ke Malaysia pada pertengahan tahun 1970-an beliau bekerja sebagai tutor di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebelum bertukar kerjaya menjadi wartawan, mula-mulanya sebagai penulis kanan di The New Straits Times sebelum berkhidmat dengan agensi berita Bernama. Pada tahun 1979 beliau kembali ke London dan sejak itu terus-menerus menjadi penulis yang berpangkalan di sana.

Kehidupan di kota London tidak pernah membuatkan Hulaimi melupakan negeri kelahirannya, Terengganu.

Tiga setengah tahun lalu, pada usia 57 tahun, beliau memulakan blog Kecek-Kecek dalam Internet untuk menceritakan pengalaman masa kecilnya di Terengganu dan keindahan kehidupan di negeri Pantai Timur itu. Penulisannya berasaskan fakta-fakta yang diperoleh daripada memorinya dan hasil penyelidikannya di beberapa perpustakaan dan arkib di London. Nada tulisan- tulisan itu kadangkala begitu nostalgik.

Dalam Kecek-Kecek, Hulaimi menggunakan nama samaran Awang Goneng.

Secara konsisten sejak 2004 Awang Goneng memperkatakan tentang Terengganu, manusia, bahasa dan sosio-budayanya, khususnya pengalaman pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an ketika Awang Goneng membesar di sana.

Dua bulan lalu, kompilasi tulisan Awang Goneng dalam Kecek-Kecek telah dibukukan oleh penerbit dari Singapura, Monsoon Books, dengan judul Growing Up In Trengganu.

Awang Goneng menceritakan bagaimana dia membesar dalam masyarakat Melayu di Terengganu yang tinggal di sebuah negeri menghadap Laut China Selatan dengan bahasa Terengganu menjadi identiti mereka, dan bahasa itu, menurut beliau, memaparkan falsafah shyness yang juga wujud dalam komuniti puak Indian Wintu di Amerika Utara.

Nama Terengganu itu sendiri, menurut Awang Goneng, tidak digunakan oleh penduduk Terengganu. Orang Terengganu memanggil negeri mereka ‘Trengganu’. Dalam tradisi keluarga Awang Goneng, mereka memanggil negeri itu ‘Teganung’, manakala orang lain memanggilnya ‘Teganu’. Ada juga yang sekadar gunakan ‘Ganu’ atau ‘Gganu’.

Untuk blog Kecek-Kecek dan buku Growing Up In Trengganu, Awang Goneng memanggil negerinya ‘Trengganu’.

Buku setebal 336 halaman itu bukan sebuah buku sejarah tetapi merupakan koleksi tulisan yang amat tajam pengamatan penulisnya tentang nilai-nilai yang membentuk masyarakat Terengganu.

Awang Goneng memulakan kisahnya dengan cerita ibunya, rumah Terengganu, tikar mengkuang, lempok durian dan nasi dagang. Dari halaman ke halaman pembaca kemudian dibawa oleh Awang Goneng mengenali Terengganu dengan cerita-cerita yang jarang kita dengar mengenai Istana Maziah, Bukit Putri, Pantai Teluk, Batu Buruk, Kuala Terengganu, Besut, Bukit Besi, Kuala Manir, Dungun dan banyak lagi.

Dengan kupasannya yang menarik, Awang Goneng juga memperkenalkan karakterkarakter dari Terengganu yang amat dekat dengan hidupnya daripada ibu, bapa, Ayoh Ngoh Pok We, Wan Salleh, Tok Pelam, Wang Mamat, Wang Mang Perahu Besar, Ah Chin Tukang Jahit, Abdullah AlYunani, Pok Mat Nasi Minyok, Talib Ahmad Turki, Che Mat Dok Dek, Cikgu Wan Chik, Lay Ling, Chee Seek, Dr. Sunder Raj dan berpuluh-puluh lagi nama yang tidak pernah kita dengar dalam buku-buku lain tetapi menjadi personaliti yang menyerikan Growing Up In Trengganu.

Ia diindahkan lagi dengan pantun-pantun lama yang digunakan oleh masyarakat Terengganu, antaranya: Bas kompeni, Jatoh dalam lokang; Kelahi laki bini, Berebut kepala ikang.

Memandangkan artikel-artikel dalam buku Growing Up In Trengganu asalnya adalah catatan Awang Goneng dalam blog Kecek-Kecek, tulisannya pendek-pendek. Artikel berjudul Doh Nok Wak Guane, misalnya, cuma sepanjang empat perenggan yang hanya memenuhi satu halaman. Keseluruhannya terdapat 131 artikel dalam buku ini selain glosari perkataan-perkataan dalam loghat Terengganu.

Beberapa penyesuaian juga dilakukan. Awang Goneng sendiri mengakui bahawa penulisannya dalam Kecek-Kecek dibuat secara tergesa-gesa, asalnya untuk memenuhi hobinya sebagai penulis. Apabila diterbitkan sebagai buku, beberapa pengubahsuaian dilakukan, misalnya dalam cerita bagaimana pahlawan dari Terengganu, Megat Panji Alam, terkorban di Pahang kerana berebut tunangnya, Tun Teja. Megat Panji Alam mati ditikam dari belakang dalam satu pertarungan yang tidak adil.

Versi Internet dan buku agak sedikit berbeza kerana dalam Growing Up In Trengganu tiada rujukan langsung kepada pahlawan dari Melaka bernama Hang Tuah yang membunuh Megat Panji Alam.

Berbeza dengan penulisan buku lain, sebahagian artikel dalam buku ini adalah hasil interaksi Awang Goneng dengan rakan-rakan yang memberi respons kepada tulisannya dalam blog Kecek-Kecek. Salah seorang yang memberi komen kepada blog itu ialah lelaki bernama Long Ladang yang antara lain menceritakan tentang “buoh-buoh kerekuk, ppisang, setor, setiar, jambu golok, jambu arang, jambu air, jambu butir banyak mminjar dan terajang.”

Menurut Awang Goneng, Long Ladang muncul dalam laman blognya pada bulan April 2005 tetapi apabila Awang Goneng menjemput Long Ladang bertemu dengannya ketika beliau berada di Malaysia, tiada jawapan daripada e-mel Long Ladang. Tidak lama kemudian, daripada seorang pengunjung blog itu yang tidak mahu dikenali, Awang Goneng dimaklumkan bahawa seorang lelaki separuh umur dipanggil Pak Long dari Sedili, Johor telah pun kembali ke rahmatullah.

Di Mekah, Pak Long yang dipercayai Long Ladang menceritakan mengenai penyertaannya dalam laman blog Kecek-Kecek kepada beberapa rakannya ketika mengerjakan umrah.

Awang Goneng menyatakan rasa terharunya kerana tidak berpeluang bertemu dengan Long Ladang. Dia hanya mempunyai gambaran mental mengenai Long Ladang, budak Terengganu yang melalui masa-masa kecil yang begitu menyeronokkan di negeri asalnya.

Melalui bukunya, Awang Goneng alias Wan Ahmad Hulaimi memberikan kita begitu banyak peluang untuk mengenali sosiobudaya Terengganu dan sedikit kesempatan memahami dirinya yang sentiasa nostalgik kepada Terengganu walaupun beliau kini memilih untuk meneruskan hari-hari tuanya di England, yang jauh beribu-ribu batu dari pantai Terengganu yang cantik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.