saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 12/12/2007

Pesawat UAV Aludra MK ‘helang’ perisik ciptaan tempatan

PESAWAT peninjau tanpa pemandu (UAV) mula popular di dunia semasa berlakunya Perang Dingin antara pejuang ideologi demokrasi, Amerika Syarikat (AS) dengan pejuang fahaman komunis atau sosialis iaitu Kesatuan Soviet (kini Rusia) antara 1945-1991.

Perang yang berlaku tanpa pertempuran secara langsung antara dua kuasa besar dunia pada waktu itu nyata tegang, sehinggakan beberapa negara di muka bumi ini antaranya Jerman dan Korea secara geopolitiknya terbahagi kepada dua iaitu prodemokrasi menentang prokomunis.

Sepanjang waktu itu juga, industri ketenteraan di kedua-dua negara kuasa besar berkenaan membangun secara rancak sehinggakan terciptanya teknologi-teknologi canggih.

Penciptaan teknologi-teknologi itu dilihat khusus untuk mewujudkan cegah-rintang serta langkah-langkah membina keyakinan diri negara masing-masing.

Pada era itu juga kedua-dua negara, AS dan Kesatuan Soviet yang berseteru untuk memenangkan ideologi masing-masing ligat menguatkan teknologi ketenteraan serta sistem perisikan sendiri.

Dengan terciptanya teknologi canggih dan stigma keperluan menguatkan sistem perisikan, AS melalui angkatan tentera dan Agensi Perisikan Pusatnya (CIA) membangunkan UAV secara serius sekalipun penciptaannya dilaporkan telah bermula seawal tahun 1916.

Pesawat unik yang berfungsi seperti `helang perisik’ itu dibangunkan khusus bagi melakukan tinjauan menyelidik kekuatan angkatan tentera dan kemudahan lain seteru utamanya ketika itu, Kesatuan Soviet.

UAV yang diterbangkan melalui sistem kawalan jauh dari daratan dibina menggunakan bahan komposit bagi menyukarkan sistem radar musuh mengesannya.

Ia nyata memberi kelebihan kepada AS apabila negara ‘Uncle Sam' berkenaan mampu mengorek rahsia kekuatan dan kelemahan musuhnya dengan jaya, membolehkan persediaan-persediaan strategik dilakukan.

Sementara itu kekalahan Kesatuan Soviet semasa berperang dengan Afghanistan akibat cuba memperluaskan pengaruhnya ke benua sebelah sini pada akhir 1980-an nyata memberikan kelebihan kepada AS.

Kejayaan itu juga jelas membuktikan dengan penggunaan UAV, AS berjaya memenangi Perang Dingin manakala Kesatuan Soviet pula ‘terduduk' setelah kebanyakan pendapatan negaranya berkurangan.

‘Kemuflisan’ Kesatuan Soviet secara drastik antaranya adalah disebabkan melakukan penyelidikan dan pembangunan fizikal aset ketenteraan lain seperti kereta kebal dan kapal selam tanpa mengetahui keupayaan sebenar AS.

Menyedari kepentingan UAV dan keperluan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebuah konsortium tempatan, Unmanned Systems Technology Sdn. Bhd. (UST) muncul dengan pesawat sedemikian bagi menguatkan sistem perisikan maklumat negara.

Ia juga membuktikan syarikat tempatan mampu bersaing secara global sekiranya diberikan landasan serta sokongan yang berkaitan.

Lebih menarik, UST merupakan gabungan kerjasama antara tiga syarikat tempatan iaitu Composite Technology Research Malaysia (CTRM), System Consultancy Services Sdn. Bhd. (SCS) dan Ikramtic Systems Sdn. Bhd.

Di bawah syarikat konsortium para pencipta UAV ini, CTRM mengepalai program tersebut bagi tujuan rekaan, ujian dan pembuatan pesawat.

Ikramatic pula membangunkan persepaduan rekaan perisian, sistem juruterbang automatik dan berat berbayar (payload), sementara SCS membangunkan sistem penyambungan data serta stesen kawalan di darat.

Hasilnya, konsortium UST ini yang tertubuh pada 15 Januari 2007 berjaya mencipta UAV buatan Malaysia iaitu Aludra MK I dan kini dalam proses menyiapkan Aludra MK II mereka pula.

Pengarah Eksekutif UST, Datuk Rosdi Mahmud berkata, konsortium yang disokong dan diilhamkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu nyata membuahkan hasil.

Lebih membanggakan, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan dana kerajaan berjumlah RM5 juta manakala UST turut membelanjakan jumlah sama, membolehkan penciptaan siri Aludranya.

Aludra MK I, kata Rosdi telah dipersetujui untuk digunakan oleh Markas Angkatan Bersama (MAB), iaitu gabungan perkhidmatan dalam ATM bermula awal 2008, antaranya di sekitar kawasan operasi perkhidmatan tersebut.

Tambah Rosdi di bawah kontrak ini, Aludra MK I bakal dioperasi dan diselenggarakan oleh UST, manakala MAB akan membayar perkhidmatan tersebut secara bulanan.

“Ini jelas merupakan sebuah usaha sama yang menguntungkan ATM dan UST,’’ katanya semasa ditemui, baru-baru ini.

Kelebihan memiliki aset ini dilihat dapat memperkasakan MAB selaras dengan arus pemodenan ATM dan sistem pertahanan negara.

Dari segi sejarah Malaysia bukanlah sebuah negara yang agresif dan suka bermusuhan tetapi penggunaan UAV dilihat perlu kerana keadaan politik semasa yang ‘mengancam’ secara bukan konvensional seperti aktiviti pengganas.

Demonstrasi penerbangan Aludra Mk I pada Jun lalu di Batu Berendam, Melaka telah disaksikan oleh Najib sendiri beserta pemimpin-pemimpin tertinggi ATM termasuk panglimanya, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Menurut Rosdi selepas demonstrasi tersebut, Najib menyatakan beliau berpuas hati dengan Aludra tersebut dan keupayaannya jauh melebihi jangkaan.

Antara spesifikasi Aludra MK I menurutnya adalah ia berupaya terbang selama dua jam tanpa henti dengan kawalan dilakukan dalam jarak radius 50 kilometer (km).

Berat berbayarnya pula adalah sebanyak 25 kilogram (kg) dan antara lain dibina menggunakan kaca dan fiber.

Sementara itu, UST kini turut membangunkan siri kedua Aludra iaitu MK II dan antara kelebihannya nanti termasuk kemampuan untuk beroperasi sehingga lapan jam tanpa henti.

MK II juga dikatakan mampu dikawal dalam radius sejauh 100 hingga 150 km selain sistem kamera untuk peninjauannya adalah setaraf dengan yang dimiliki oleh negara-negara besar seperti AS dan Perancis.

Ini disebabkan sistem tersebut dibangunkan oleh UST sendiri dengan kerjasama dari syarikat yang mengusahakan teknologi ketenteraan terkemuka dunia, Thales Corporation.

Dari segi prospek Rosdi berkata, kedua-dua siri Aludra itu akan berupaya menembusi pasaran di negara-negara Asia Tenggara yang tidak mempunyai angkatan tentera begitu besar seperti Malaysia.

``Selain itu, harga UAV kita (buatan Malaysia) adalah lebih rendah iaitu hampir satu pertiga dari yang dijual di pasaran antarabangsa,’’ jelasnya.

Tahniah diucapkan kepada UST kerana merupakan syarikat pertama Malaysia yang membangunkan UAV sepenuhnya dengan teknologi sendiri.

Keupayaan ini membolehkan syarikat tempatan itu menjadi syarikat pertama yang mendapat kontrak menyelenggara dan mengoperasikan UAV untuk ATM atau lebih tepat, MAB.

Dengan memiliki UAV, ATM diharap dapat melakukan perisikan dan tinjauan bagi mengawal keselamatan perbatasan negara terutamanya kawasan-kawasan penting seperti di Selat Melaka.

Selain itu, ia juga boleh dimanfaatkan oleh ATM untuk melakukan pemeriksaan di kawasan-kawasan yang tidak begitu `dikenalinya,’ terutama bila terlibat dalam aktiviti keamanan di negara lain yang bergolak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.