saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 14/12/2007

Lima ditahan ISA -- *Pemimpin Hindraf gugat keselamatan awam *PM puas hati bukti polis

(DARI kiri P.UTHAYAKUMAR, M. MANOHARAN, R. KENGADHARAN, V. GANABATIRAU dan T. VASANTHAKUMAR.


KUALA LUMPUR 13 Dis. – Lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mendalangi perhimpunan haram dan mencetuskan ketegangan dengan membangkitkan isu perkauman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini.

Mereka ialah empat peguam yang menjadi penasihat undang-undang Hindraf iaitu P. Uthayakumar, 46, M. Manoharan, 46, R. Kengadharan, 40, dan V. Ganabatirau, 34, serta penyelarasnya, T. Vasanthakumar, 34, yang bertugas sebagai Eksekutif Kanan Malaysia Building Society Berhad (MBSB).

Penahanan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 (1) akta tersebut yang membolehkan mereka ditahan sehingga dua tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam kenyataannya di ibu negara petang ini memberitahu, Uthayakumar, Vasanthakumar dan Manoharan ditahan di ibu negara, Kengadharan di Petaling Jaya dan Ganabatirau pula di Seremban.

Menurutnya, Kengadharan ditahan pada pukul 12.30 tengah hari di Jalan SS2/55 Petaling Jaya, diikuti Manoharan (1.55 petang di Jalan Pantai Baru di sini), Vasanthakumar (2 petang di sebuah restoran di Brickfields), Ganabatirau (2.10 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Seremban) manakala Uthayakumar (2.30 petang di firma guamannya di Menara Mutiara, Bangsar).

“Kesemua mereka telah dihantar ke pusat tahanan ISA di Kem Tahanan dan Perlindungan Kamunting, Taiping untuk menjalani perintah tahanan serta-merta,” katanya.

Pada 23 November lepas, Uthayakumar, Ganabatirau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang mengikut Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan semasa berucap dalam satu perhimpunan di Batang Berjuntai pada 16 November.

Pada 25 November, satu perhimpunan haram diketuai lima pemimpin itu diadakan di ibu negara bagi menyerahkan memorandum yang mendakwa kononnya masyarakat India di negara ini dipinggirkan dan kerajaan melakukan penghapusan etnik.

Kumpulan itu dipantau sejak 28 Julai lalu apabila mereka bergiat aktif menyemai sentimen perkauman di kalangan masyarakat India dengan membangkitkan kebencian dan penentangan terhadap kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, arahan penahanan kelima-lima pemimpin Hindraf itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri, beberapa jam sebelum penahanan mereka.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom memberitahu, Perdana Menteri berpuas hati dengan laporan daripada pihak polis yang membuktikan mereka menjalankan aktiviti menghasut serta menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Pada masa yang sama, kata beliau, Abdullah mengarahkan pihak polis meningkatkan kawalan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tercetus ekoran penahanan mereka.

Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, Perdana Menteri turut mengarahkan polis mengesan dan menahan sesiapa sahaja di bawah ISA jika terbukti menjadi pencetus kekecohan dan menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ditanya sama ada arahan itu meliputi lain-lain pemimpin perhimpunan haram yang turut melakukan beberapa kekacauan di ibu negara baru-baru ini, Mohd. Johari menegaskan:

“Tidak kira sama ada Hindraf atau mana-mana perhimpunan haram... Perdana Menteri sudah arahkan polis tahan sesiapa saja yang dikenal pasti menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam ditahan di bawah ISA.”

Isnin lalu, dalam ucapannya pada siri syarahan Khazanah Global di Putrajaya, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya jangan bermain dengan isu perkauman kerana ia akan menyebabkan negara menuju kepada kehancuran.

Abdullah menegaskan yang beliau tidak akan berasa bersalah dan sedih sekiranya terpaksa menggunakan ISA untuk tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Johari berkata, laporan polis kepada Abdullah itu jelas menunjukkan kelima-lima penggerak Hindraf itu menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tambahnya, laporan dan bukti-bukti dikemukakan itu adalah berdasarkan pemantauan oleh pihak polis terhadap segala aktiviti anjuran Hindraf dan kelima-lima tahanan tersebut sejak kebelakangan ini.

“Kerajaan tidak pernah mengambil sesuatu tindakan yang zalim. Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah selepas mengambil kira bukti-bukti yang nyata mengenai ancaman yang dicetuskan,” ujarnya.

Sementara itu, kira-kira 50 penyokong Hindraf berhimpun di hadapan pintu utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini untuk membantah penangkapan ke atas pemimpin mereka.

Bagaimanapun, perhimpunan bermula pukul 4.30 petang itu berjaya dikawal oleh 100 pegawai dan anggota polis.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.