saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 19/12/2007

KL-Putrajaya 20 minit

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Jika sebelum ini anda perlu mengambil masa selama 40 hingga 50 minit untuk ke Putrajaya, namun tempoh itu mampu dipendekkan sehingga separuh dengan menggunakan laluan baru Lebuhraya KL-Putrajaya.

Berdasarkan komitmen yang diberikan oleh pengendali lebuh raya berkenaan, Konsortium Lapangan Terjaya Sdn. Bhd., pengguna hanya perlu mengambil masa di antara 15 hingga 20 minit untuk ke Putrajaya jika menggunakan lebuh raya berkenaan.

Utusan Malaysia yang teruja dengan komitmen itu mencuba laluan yang telah dibuka secara percuma sejak 13 Disember lalu itu semalam, untuk membuktikan kebenaran kata-kata itu.

Untuk itu, kami memulakan perjalanan di bulatan Kampung Pandan yang merupakan laluan masuk pertama di ibu negara jika ingin menggunakan lebuh raya berkenaan ke Putrajaya.

Bagi memastikan kami mencapai matlamat, kelajuan kenderaan telah dipastikan supaya bergerak mengikut kadar kelajuan yang ditetapkan di lebuh raya berkenaan.

Secara keseluruhannya kadar kelajuan di lebuh raya berkenaan telah ditetapkan antara 60 hingga 90 kilometer (KM) sejam.

Selepas melalui perjalanan sejauh 26 km, melintasi dua plaza tol dan sebuah hentian rehat dan rawat, kami sampai ke penghujung lebuh raya berkenaan iaitu di persimpangan bertingkat Putrajaya.

Masa yang dicatat pada ketika itu adalah 23 minit. Bagaimanapun, perlu diingat kadar masa itu dicatat pada ketika lebuh raya dan plaza tol berkenaan lengang.

Pun begitu, satu perkara yang perlu diambil kira dalam menentukan tempoh masa itu adalah sikap pemandu di negara ini yang kebanyakannya kurang mematuhi kadar kelajuan, lebih-lebih lagi pada kadar 60 hingga 90 km sejam.

Jika faktor itu diambil kira, masa yang boleh dicatat sebenarnya adalah di bawah 20 minit.

Bagaimanapun, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Konsortium Lapangan Terjaya Sdn. Bhd., Tihana Yon berkata, lebuh raya berkenaan bukan sekadar menjanjikan tempoh masa pendek untuk ke Putrajaya.

Pembinaan lebuh raya berkenaan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan sekelilingnya.

Lebih penting lebuh raya yang mula dibina sejak 2004 itu menyokong pembangunan di tiga kawasan di selatan Kuala Lumpur masing-masing Putrajaya, Cyberjaya dan Sepang khususnya sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pembukaan lebuh raya itu juga mampu menangani masalah kesesakan lalu lintas, khususnya untuk memasuki ibu negara menerusi laluan dari Desa Petaling ke Sungai Besi sebelum masuk ke Jalan Tun Abdul Razak.

Tihana berkata, secara keseluruhannya lebuh raya sepanjang 26 kilometer itu mempunyai lima persimpangan bertingkat dan dua plaza tol.

Lima persimpangan itu ialah persimpangan bertingkat Kampung Pandan, Salak Selatan, Kuchai Lama, Bukit Jalil dan Putrajaya.

‘‘Lebuh raya ini menawarkan pengguna laluan terus yang singkat tanpa perlu menghadapi masalah kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, pengguna dari Kuala Lumpur menuju ke Putrajaya hanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit berbanding 60 minit mengikut laluan yang ada sekarang.

Malah ia turut dilengkapi dengan sistem kawalan trafik seperti telefon kecemasan, kamera litar tertutup (CCTV) dan juga unit bantuan peronda.

Sementara itu, tinjauan mendapati persimpangan bertingkat Kampung Pandan boleh dimanfaatkan oleh pengguna yang datang dari arah Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Pahang, Jalan Sultan Ismail, Taman Maluri, Pandan Jaya dan Kampung Pandan.

Persimpangan bertingkat kedua atau Salak Selatan pula menghubungkan pengguna dari Damansara, Bangsar, Jalan Duta dan Jalan Kuching ke lebuh raya ini.

Persimpangan bertingkat Kuchai Lama pula mempunyai dua susur masuk iaitu pertama untuk pengguna dari Kerinchi, Mid Valley, Bangsar, Bandar Tun Razak dan Taman Connaught dan yang kedua ialah dari Jalan Klang Lama, Kuchai Lama dan Taman Desa.

Menurut Tihana, persimpangan bertingkat Bukit Jalil merupakan satu-satunya persimpangan arah Kuala Lumpur ke Putrajaya yang mempunyai susur keluar iaitu ke Ampang, Cheras dan Hulu Klang.

‘‘Persimpangan yang dibina menyeberangi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Shah Alam (Kesas) menghubungkannya dengan Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR) 1 dan 2 sekali gus mengatasi masalah kesesakan di sepanjang laluan itu.

‘‘Ini juga membolehkan pengguna dari Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Sunway, Gombak, Ampang dan Cheras menggunakan laluan ini untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA,’’ katanya.

Selain itu, ia dapat menyuraikan trafik dari Kuala Lumpur ke Sungai Besi, Kajang, Lebuhraya KL- Seremban, Sri Petaling dan Bangi.

Selepas dua kilometer dari persimpangan Bukit Jalil, terdapat kawasan rehat dan rawat (R & R) Seri Kembangan yang menyediakan kemudahan kepada pengguna yang ingin berhenti untuk berehat, menunaikan solat dan juga menjamu selera.

Persimpangan bertingkat Putrajaya terletak lima kilometer dari kawasan R&R itu dan pengguna akan melalui satu lagi plaza tol sebelum keluar ke susur kiri.

Persimpangan ini juga bersambung dengan Lebuhraya ELITE iaitu susur keluar ke kanan, di mana ia membolehkan pengguna yang ingin ke KLIA tiba ke destinasi dalam tempoh 10 minit.

Susur keluar ke Putrajaya terletak di Presint 9.

Sementara itu, perjalanan balik ke Kuala Lumpur menggunakan lebuh raya itu juga berjalan lancar berikutan masih tidak banyak kenderaan yang menggunakan lebuh raya ini dari kedua-dua arah.

Berlainan dengan laluan Kuala Lumpur ke Putrajaya, laluan Putrajaya ke Kuala Lumpur mempunyai susur keluar di semua persimpangan bertingkat.

Yang pasti, kini pengguna mempunyai lebih banyak pilihan untuk sampai ke destinasi yang diinginkan dan terpulang kepada mereka untuk memilih laluan mana bagi menjimatkan masa dan wang ketika dalam perjalanan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zuhur 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:20
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.