saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 19/12/2007

Pemuliharaan Lembah Danum

SEWAKTU berlangsungnya persidangan sejagat mengenai perubahan iklim di Bali, Indonesia hujung minggu lalu, penulis bersama sekumpulan kecil wartawan berada di tengah-tengah hutan rimba di Lembah Danum, Sabah.

Pengaruh aktiviti penulis dengan persidangan ini pastinya bagai langit dan bumi, tetapi kami berkongsi misi dan aspirasi yang sama merungkai permasalahan pembebasan gas rumah hijau daripada perspektif yang berbeza.

Namun, ada sebab mengapa penulis perlu berasa bangga dengan pengalaman tiga hari mengenali biodiversiti Lembah Danum ini berbanding dengan apa yang berlaku sepanjang 12 hari pada persidangan mengenai iklim itu.

Ini kerana sewaktu persidangan itu ditutup tanpa sebarang persetujuan mengenai kadar pelepasan gas rumah hijau yang perlu dipatuhi oleh negara-negara maju, Lembah Danum ketika itu pula sibuk menghirup gas berkenaan yang kebanyakannya dilepaskan oleh negara-negara yang bersidang.

Barangkali ada baiknya jika persidangan itu diadakan di tengah-tengah hutan seperti di Lembah Danum ini, kerana ia sekurang-kurangnya boleh membuka mata negara-negara yang menolak perjanjian baru bagi mengurangkan pencemaran gas rumah hijau selepas 2012, apabila berakhirnya Protokol Kyoto.

Lembah Danum di atas peta Sabah berkeluasan kira-kira 438 kilometer (km) persegi dan berada dalam lingkungan kawasan konsesi pembalakan Yayasan Sabah seluas 9,782km persegi.

Ia merupakan kawasan yang diasingkan untuk pemeliharaan di bawah Pelan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah bersama- sama tiga lagi kawasan konservasi yang berjiran iaitu Maliau Basin, Imbak Canyon dan Tumunong Hallu.

Kawasan pemeliharaan ini menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna tanah pamah Sabah termasuk spesies yang jarang ditemui dan terancam seperti badak sumbu sumatra, tembadau, gajah, harimau dahan, orang utan, monyet bangkatan dan beruang.

Memenuhi undangan syarikat tempatan bertaraf antarabangsa, Kumpulan Petra (Petra Group), kunjungan penulis ke Lembah Danum ini bertujuan melihat sendiri usaha-usaha menyelamatkan Bumi yang dijalankan di sebuah kawasan yang sangat jarang dijejaki oleh manusia ini.

Kumpulan Petra dalam komitmen sosial mereka baru memeterai perjanjian dengan sebuah badan penyelidikan mengenai alam sekitar yang berpusat di Lembah Danum, iaitu Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP).

Perjanjian itu antara lain bagi membiayai projek penyelidikan, pemeliharaan dan pemuliharaan yang dijalankan oleh SEARRP berjumlah RM8 juta bagi tempoh 10 tahun bermula pada 2008-2015.

Tidak sukar untuk mengaitkan Kumpulan Petra dengan komitmen yang diberikan mereka dalam usaha di Lembah Danum ini, sementelah syarikat itu sendiri lebih dikenali sebagai peneraju dalam industri kitar semula tayar terpakai sebagai bahan berguna.

Ia juga merupakan sokongan yang sememangnya diperlukan oleh Yayasan Sabah yang berganding bahu dengan beberapa agensi dan jabatan lain dalam mengekalkan hutan Lembah Danum ini sama seperti permulaan kewujudannya.

Jumlah RM8 juta yang diperuntukkan oleh Kumpulan Petra menerusi usaha murni mereka itu juga ibarat tabung oksigen buat SEARRP yang sejak 10 tahun lalu mengetuai penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan biodiversiti di kawasan hutan ini.

Bergerak tanpa banyak publisiti, SEARRP yang berpusat di Pusat Kajian Lapangan Lembah Danum (DVFC) menjadi medan kerjasama penyelidikan membabitkan saintis dari Malaysia, United Kingdom dan Eropah.

Tumpuan serius badan yang disokong oleh Royal Society dalam usaha menyelamatkan Bumi menerusi pengekalan hutan ini menjurus kepada beberapa bidang utama alam sekitar.

Ia termasuk taksonomi, biologi, ekologi, zoologi, geomorfologi, perubatan tumbuhan, entomologi, perhutanan, hidrologi, konservasi, perubahan iklim dan pengurusan sumber air.

Sehingga kini, lebih 200 penyelidikan mengenai alam sekitar berjaya diselesaikan di sini dengan kira-kira 370 daripadanya diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Dengan kredibiliti lapangan kajian DVFC sebagai satu-satunya pusat seumpamanya di Asia Tenggara dan diiktiraf di kalangan tiga terbaik selepas Costa Rica dan Panama, setiap kajian yang dijalankan oleh SEARRP tidak boleh dipandang sebelah mata.

Antara kajian yang dilihat memberi impak yang sangat besar adalah projek The Innoprise-FACE Foundation Rainforest Rehabilitation Project (INFAPRO), iaitu projek penghijauan hasil kerjasama Innoprise Corporation dan Foundation Forests Absorbing CO2 Emissions (FACE Foundation), Belanda.

Projek rehabilitasi yang dimulakan sejak 1992 itu bermatlamat menukarkan kawasan seluas kira-kira 30,000 hektar yang diwartakan oleh kerajaan negeri Sabah sebagai kawasan pembalakan dengan aktiviti penanaman semula kira-kira 180 spesies pokok hutan.

Spesies

Sehingga kini, hampir 10,000 hektar kawasan hutan Sabah yang dikonsesikan sebagai kawasan pembalakan sudah ditanam dengan kira-kira 38 spesies pokok ini.

Kesemua spesies pokok itu dipindahkan daripada DVFC yang mampu menempatkan sehingga satu juta anak pokok dalam satu-satu masa sebaik mencapai usia di antara tiga hingga empat tahun.

Usaha ini sangat besar pengaruhnya terhadap isu pemanasan global dan perubahan iklim melampau yang sedang melanda dunia kini lantaran ia berkait rapat dengan faktor penyebab kepada masalah sejagat ini iaitu pembebasan gas rumah hijau.

Dengan projek penanaman semula anak pokok ini, ia mampu memerangkap berbilion-bilion tan gas karbon dioksida, klorofluorokarbon dan metana yang merupakan penyumbang utama gas rumah hijau daripada terus merosakkan lapisan ozon Bumi. Ia juga berperanan mengimbangi kestabilan tanah dan larian air permukaan ke dalam sungai, kesan daripada aktiviti pembalakan sama ada yang dibenarkan atau yang haram yang menjadi antara punca kepada bencana seperti tanah runtuh dan banjir.

Sesuai dengan tempoh matang anak- anak pokok yang kebanyakannya menjangkau di antara 20 hingga 30 tahun, projek penanaman semula ini juga memakan masa yang panjang untuk membebaskan Bumi daripada gas-gas beracun rumah hijau ini.

Namun, jika pendekatan ini diguna pakai oleh semua negara di dunia, lebih-lebih yang memiliki khazanah hutan yang besar, misi menyelamatkan Bumi ini boleh dicapai lebih awal.

Inilah juga matlamat yang sedang digerakkan oleh SEARRP, Kumpulan Petra dan Yayasan Sabah iaitu dengan menarik perhatian dunia terhadap projek rehabilitasi yang sedang dijalankan di Lembah Danum ini untuk dibangunkan di kawasan-kawasan lain.

Dalam usaha itu, mereka bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bersama-sama menyelamatkan Bumi daripada terus dibebankan dengan segala punca pencemaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.