saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 26/12/2007

Bukan Yang Pertama (Siri 151 - Akhir)

PERJUANGAN ini belum selesai, malah baru bermula. Perjuangan ini akan merentasi laluan yang panjang, mungkin berliku dan sengsara. Tetapi dia tahu dia sudah bersedia. Sudah bersiap untuk menerima apa sahaja yang bakal mendatang.

Kerana dia percaya, dalam setiap kesukaran akan ada kesenangan.

Bukankah itu janji Allah kepada makhluk-Nya?

Masa depan, jika dia ditakdirkan masih ada, dia akan bangga bercerita kepada anak cucu mengenai perusahaan yang memberikan makna ini. Masa depan, jika ditakdirkan dia masih ada dan desa ini berkembang maju, dia akan ria menyatakan kepada anak cucu, bahawa segala-galanya dimulakan dengan suatu tekad.

Dia hanya mahu menyempurnakan tuntutan agama, menjadikan segala-galanya sebagai suatu ibadah. Dia benar-benar yakin, dia menjadi lebih manusia dengan segala-galanya yang dilaluinya. Dia dididik menjadi seorang insan yang bijak menilai, tahu bersyukur, tidak lokek berbakti dengan segala kerenah yang dilalui.

Bukankah itu suatu pengajaran yang besar buat manusia kecil seperti dia?

Bahawa dia ‘dibesarkan’ oleh peristiwa yang kecil seperti ini!

Untuk generasinya yang bakal mengekor, dia akan bangga kerana telah menurunkan suatu perusahaan buat mereka. Dia menyediakan pancing dan sekali gus kolam yang besar untuk mereka, supaya mereka tidak kelaparan.

Yang pasti, selagi mereka tekal cekal meneruskan perjuangan, selagi itulah dia percaya perusahaan ini akan terus tegak, malah mungkin berkembang maju dan besar, juga yang lebih penting kekal berbakti tanpa sempadan.

Itu yang dia harapkan.

Jauh dalam hati, dia menanam tekad, dia mahu jadi manusia yang terbaik dan manusia terbaik seperti kata Rasulullah seperti yang diriwayatkan Qudhaie, adalah orang yang banyak memberikan manfaat kepada manusia lain.

Malah dia kalau boleh, setiap seorang yang datang kepadanya untuk meminta bantuan, dia mahu membantu menyelesaikan masalah mereka, kerana dia ingat benar pesan Rasulullah, “Sesiapa yang setiap pagi tidak memerhatikan dan berusaha menyelesaikan urusan dan masalah orang Muslim, maka dia bukan tergolong dalam golongan mereka.”

Lama memikir, lama bergelut menatang dugaan, dia jadi percaya bahawa sebenarnya hidup yang singkat ini akan jadi mudah kalau kita mengikut sunah, buat segala suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya.

Semua itu akan memimpin jiwa ke arah perjalanan yang murni dan meyakinkan. Tidak perlu risau-risaukan segala yang tidak tentu kerana arah panduan sudah jelas diberi; hanya perlu mengikut saja.

Dia bukanlah wanita hebat, jauh sekali untuk menandingi orang-orang terdahulu yang telah mencatat sejarah. Cuma dia amat terkesan setiap kali membaca sirah; menyusuri kisah Liyya dan Safura puteri Shuaib dari Madyan yang jadi wanita penternak. Tetapi setiap kali melewati surah al-Qasas: 23-25, dia bagaikan diseru semangat.

“Tatkala dia (Musa) sampai di sumber air di Madyan, beliau menjumpai sekumpulan orang yang sedang memberi minuman kepada ternakan dan melihat dua orang wanita sedang menghambat binatang ternakan di belakang orang ramai. Nabi Musa bertanya, mengapa mereka duduk di belakang? Mereka menjawab, “Kami tidak dapat mengambil air untuk ternakan kami sehingga orang lain selesai. Sedangkan bapa kami orang tua.” Musa membantu mereka memberikan minuman kepada ternakan itu dan kembali berteduh dan berdoa, “Ya Allah, sesungguhnya aku sangat memerlukan kebaikan (makanan) yang Engkau turunkan kepadaku.” Maka datanglah salah seorang wanita itu dengan malu-malu sambil berkata, “Sesungguhnya bapa kami memanggil kamu untuk memberi balasan (atas kebaikan kamu menolong kami).” Ketika Musa menemui Shuaib dan menceritakan hal dirinya, kata Shuaib, “Janganlah kamu takut, kamu telah selamat daripada orang yang zalim.”

Kisah Liyya dan Saffura sangat mengujakan dia. Kisah Liyya dan Safura mengingatkan dia mengenai keupayaan untuk bekerja, membuat keputusan dan seterusnya berbakti. Bukankah salah seorang puteri itu yang menyarankan kepada bapa mereka supaya mengambil Musa, si pemuda pendatang sebagai pekerja dan akhirnya Musa berkahwin dengan salah seorang daripada gadis itu?

Mereka jelas pengurus yang cekap kerana berjaya mendapatkan seorang pekerja yang amanah untuk melaksanakan tugas.

Isteri Rasulullah yang paling dicintai, Saidatina Khadijah juga adalah potret wanita hebat, peniaga dan pengurus yang bijak membaca masa depan. Dia sendiri yang memilih Muhammad sebagai pengurus perniagaannya dan nyata, perniagaan itu maju berkembang sehingga membawa keuntungan berlipat kali ganda.

Justeru tugas seperti ini, bukankah sudah jadi suatu tradisi yang berakar umbi sejak zaman nenek moyang? Bukankah itu semua sudah ditunjukkan oleh para suri teladan yang lain?

Dia sesungguhnya mahu jadi seperti mereka, walaupun dia tahu dia takkan mampu menandingi kehebatan mereka.

Kiranya dia tidak silap memilih lorong ini. Cuma dia berharap agar dia selalu di lorong yang lurus atau kalau berliku, dia berjaya sampai ke destinasi dengan selamat dan sempurna. Ketekalan dan kecekalan, dia berdoa-doa tanpa putus agar itu jadi bekal untuk dia selama-lamanya.

Dia juga percaya suatu perkara. Bahawa manusia memang ditakdirkan dengan pelbagai nasib hidup. Tetapi semua orang ada peluang dengan satu alat atau kenderaan untuk mendekati Tuhan. Alat atau kenderaan itu mungkin berbeza mengikut manusia; justeru tugas manusia untuk mencari alat itu dan tahu cara menggunakannya bagi membalas nikmat Allah.

Dan mungkin tugasnya ini akan menjadi alat atau kenderaan yang akan membawa dia mendekati Tuhan.

Dia mahu serahkan dirinya kepada Tuhan dengan rasa aman, tenteram, sentosa dan damai.

Jika nanti dia ditanya Tuhan, dia harap dia sudah bersedia untuk menjawab, bahawa dia melakukan segala-galanya demi Dia Rabbul Alamin. Dia membangunkan semua ini di bawah payung tauhid dan mengharapkan keredaan-Nya. Kerana dia tidak mahu jadi perempuan yang terleka, yang diberikan ilmu tetapi lalai akan kegunaan ilmu itu sendiri

Dia hanya mahu jadi manusia yang insaf.

Dia hanya mahu jadi manusia yang pengingat.

Tamat

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.