saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 30/12/2007

Hui Yi, Siti Salmah cetus kesedaran

TAHUN 2007 menyaksikan naik turun, kejayaan dan kegagalan dalam dunia transplantasi (pemindahan) organ di Malaysia.

Pemindahan organ pertama bermula di negara ini sekitar tahun 1970-an melibatkan pemindahan kornea pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kemudian kejayaan teknologi transplan organ melangkah setapak lagi dengan pembedahan pemindahan buah pinggang pertama pada 1975 melibatkan penderma hidup yang mempunyai pertalian darah, juga dilakukan di HKL.

Pemindahan sum-sum tulang menyusul tidak lama kemudian pada 1987 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Rekod Pusat Transplan Negara pula menyebut bahawa pemindahan hati pertama dilakukan pada 1995 di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sementara pemindahan jantung menyusul dua tahun kemudian di Institut Jantung Negara (IJN) pada 18 Disember 1997.

Antara kejayaan lain yang dicatatkan dalam pemindahan organ melibatkan pemindahan tangan pada 18 Mei 2000 di Hospital Selayang melibatkan seorang bayi yang menjadi bayi pertama di dunia menjalani pembedahan menyambung tangan kirinya, yang diambil daripada kembarnya yang telah meninggal dunia.

Pemindahan paru-paru pertama pula berjaya dijalankan di IJN pada 16 Disember 2005 kepada seorang lelaki berusia 55 tahun yang menerima paru-paru baru sebelah kiri.

* Jantung besi

Kejayaan terus dicapai dengan kisah suka duka penerima jantung mekanikal kedua negara, Tee Hui Yi, 14, yang akhirnya berjaya mendapat penderma jantung, bukan seorang malahan dua orang dalam masa dua hari pada 3 dan 4 Oktober 2007.

Kisah Hui Yi bermula pada 2004 apabila keadaan kesihatannya yang terus merosot menyebabkan dia terpaksa meninggalkan alam persekolahan dan dimasukkan ke hospital.

Keluarga Hui Yi kemudian dirujukkan ke IJN yang mencadangkan dia melalui pembedahan untuk memasang alat pembantu denyutan jantung (PVAD) bagi menyokong fungsi ventrikel kiri jantungnya yang semakin lemah.

Berbekalkan pengalaman pakar bedar kardiotorasik IJN memasang alat serupa kepada Mohd. Fikri Nor Azmi, 15, pada Julai 2005, Hui Yi menjalai pembedahan tersebut dan menjadi penerima jantung mekanikal kedua negara pada 26 September 2006.

Selepas pulih daripada pembedahan itu, Hui Yi banyak menghabiskan masa untuk pulih di wad IJN sambil sesekali diberikan kebenaran untuk melawat beberapa tempat menarik sekitar Kuala Lumpur.

Berbeza dengan nasib Mohd. Fikri yang mendapat penderma jantung sesuai pada 17 Disember 2005, hanya selepas lima bulan menunggu, Hui Yi masih terus menunggu selepas satu tahun berlalu.

Hui Yi yang jarang dapat keluar dari wad IJN sepanjang penantiannya itu juga mula menunjukkan tanda-tanda kecewa dan kurang harapan untuk menemui penderma yang sesuai sebelum tempoh alat PVAD itu berfungsi tamat.

Ini menyebabkan keluarga remaja itu dan para doktor serta kakitangan IJN semakin bimbang melihatkan tahap kesihatan dan berat badannya semakin menurun.

* Keajaiban

Pada 29 September 2007, media kembali bertumpu kepada Hui Yi ketika dia melangkau tempoh satu tahun hidup menggunakan ‘jantung besi’.

Melihatkan kesayuan di wajahnya ketika itu menyebabkan semua yang hadir menitiskan air mata dan mengorak langkah untuk membantu.

Media cetak dan elektronik, orang kenamaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang ramai turut serta dalam kerjasama besar-besaran untuk mendapatkan penderma yang sesuai untuk Hui Yi.

Sinar harapan muncul empat hari kemudian dengan kesediaan sebuah keluarga mendermakan organ ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.

Bukan sahaja jantung, keluarga penderma turut bersetuju menderma paru-paru, hati dan buah pinggang untuk menyelamatkan ramai pesakit yang memerlukannya.

Bagaimanapun, kejayaan ini menemui batu penghalang apabila berlaku penolakan terhadap organ itu selepas beberapa jam pembedahan dijalankan sehingga menyebabkan nyawa Hui Yi terancam.

Keajaiban muncul pada 4 Oktober 2007 apabila satu lagi keluarga di Johor Bahru bersedia mendermakan organ ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.

Pada awal pagi 5 Oktober 2007, sekali lagi Hui Yi dibawa ke bilik pembedahan untuk menjalani pemindahan jantung untuk kali kedua.

Keajaiban ini terus kekal dengan Hui Yi semakin pulih dan badannya tidak menolak jantung kedua itu.

Walaupun terpaksa hidup dengan mengambil ubat seumur hidup bagi mengelakkan penolakan terhadap jantung barunya, Hui kini dapat hidup sebagai remaja normal dan juga boleh kembali ke sekolah.

Tanggal 22 Disember 2007, Hui Yi mengucapkan selamat tinggal kepada para doktor dan kakitangan IJN selepas dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambut perayaan Krismas bersama keluarganya.

* Kisah baru

Siti Salmah Jasni, 18, yang juga berasal dari Johor Bahru seperti Hui Yi mula menerima tumpuan media yang masih rancak dalam kempen menderma organ seluruh negara.

Remaja yang telah berada dalam senarai pesakit untuk pemindahan paru-paru sejak 2005 lagi menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari yang tidak dapat dirawat selain melalui pemindahan paru-paru.

Penyakit itu mengakibatkan peningkatan tekanan darah dalam sistem salur darah paru-paru yang membawa kepada masalah nafas pendek, pitam dan senang keletihan.

Penyakit Siti Salmah itu juga dilaporkan berada pada tahap keempat yang memaksanya bergantung hidup kepada tangki oksigen untuk menjalani kehidupan seharian.

Penyelaras Pusat Sumber Pemindahan Nasional (NTRC) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lela Yasmin Mansor juga meluahkan keyakinan untuk remaja ini mendapatkan paru-paru dalam masa terdekat.

Seperti kempen untuk mendapatkan jantung baru Hui Yi, NTRC turut menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang ingin tahu bagaimana dapat membantu atau menderma organ.

Beberapa keluarga yang sanggup mendermakan organ turut tampil untuk membantu tetapi malangnya organ tersebut tidak sesuai untuk Siti Salmah.

* Cekal

Pada 1 November 2007, harapan kembali muncul dengan tampilnya penderma dari Kedah yang mendermakan jantung dan paru-parunya.

Pembedahan selama lapan jam yang dijalankan di IJN itu, bukan sahaja menggantikan paru-paru malahan jantung Siti Salmah untuk mengurangkan risiko penolakan dan juga kerana keadaan jantung asalnya telah membengkak.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi hadir untuk membantu dengan penerbangan ihsan bagi membawa organ-organ tersebut dari Hospital Sultanah Bahiyah ke IJN.

Selepas dua hari dibedah, Siti Salmah dilaporkan semakin pulih dan menunjukkan reaksi positif.

Pada 4 November 2007, Siti Salmah mula menggerakkan jari dan bebola mata ketika cuba berkomunikasi dengan doktor dan ahli keluarganya.

Kumpulan doktor dan kakitangan di IJN terus memantau rapi situasi Siti Salmah di wad rawatan rapi (ICU) dan mengehadkan bilangan pelawat bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Perkembangannya untuk tempoh dua minggu seterusnya dilihat semakin baik apabila remaja cekal ini sudah boleh duduk, membuka mata dan berinteraksi.

Pada petang 26 November 2007, doktor terpaksa memasang semula tiub pernafasan Siti Salmah selepas membukanya pada pagi hari yang sama berikutan organ barunya masih lemah dan tidak dapat berfungsi sepenuhnya untuk menampung keperluan badan remaja ini.

Malangnya, selepas 25 hari berjuang, Siti Salmah menghembuskan nafas terakhir di wad ICU IJN akibat jangkitan kuman di dalam darah yang teruk pada 27 November 2007.

Walaupun badannya tidak menolak organ yang dipindahkan itu, jangkitan kuman tidak dapat dibendung berikutan pengambilan ubat untuk mengurangkan risiko penolakan menyebabkan sistem imuniti badan remaja ini semakin lemah.

Jenazah anak kelapan daripada 12 beradik ini kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Johor Bahru pada hari yang sama.

Bapa Siti Salmah, Jasni Zainal, 52, seorang pemandu lori dan ibunya Sabariah Mustaffa, 49, seorang suri rumah terpaksa meredakan pemergiannya kerana segala usaha telah dilakukan bagi mendapatkan penderma dan juga untuk memastikan remaja ini berjaya hidup seperti remaja normal lain.

Pemindahan organ tidak pernah menjanjikan kejayaan 100 peratus tetapi dapat memberi peluang untuk pesakit berjuang untuk terus hidup.

Dengan kemajuan teknologi dan kepakaran, pemindahan organ di Malaysia masih mampu berkembang jauh namun masalah kekurangan penderma tetap menjadi rintangan utama.

Walaupun beribu-ribu orang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, bilangan yang menderma amat rendah sedangkan mangsa tragedi ini dapat menyinari hidup pesakit yang memerlukan pemindahan organ.

Selain Siti Salmah dan Hui Yi, masih ramai pesakit dengan masalah jantung yang menantikan peluang memulakan hidup baru.

Bagi memastikan pesakit diberikan peluang untuk terus hidup, semua pihak tidak kira media, pemimpin, NGO atau individu perlu terus mengambil berat dan menimbangkan untuk menjadi penderma.

Jangan menjadi hujan panas yang datang dan pergi mengikut awan dibawa angin semata-mata.

Orang ramai boleh menghubungi NTRC melalui talian 03-26156576/03-26942704 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ.

Anda juga boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-9080 untuk bercakap dengan koordinator NTRC, mendermakan organ ahli keluarga yang meninggal dunia atau mati otak atau untuk mendaftar sebagai penderma organ.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.