saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/01/2008

Kala Malam Bulan Mengambang - filem hitam putih Mamat Khalid


MAMAT Khalid (lima dari kiri) bersama barisan pelakon Kala Malam Bulan Mengambang selepas majlis pratonton filem tersebut di MidValley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SANG sutradara yang bernama Mamat Khalid ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak mula mencuri perhatian menerusi filem pertama arahannya, Lang Buana pada tahun 2003, anak kelahiran Ipoh, Perak ini terus menjadi salah seorang pengarah yang mempunyai visi dan misi tersendiri dalam memartabatkan filem tempatan.

Biarpun filem-filemnya mendapat kritikan dan mesejnya sering dipertikaikan, namun itu bukan penghalang untuk Mamat Khalid terus memberikan sesuatu yang baru dalam setiap filemnya.

Selepas Lang Buana, dia tampil dengan filem Rock pada tahun 2005, Man Laksa (2006) dan Zombie Kampung Pisang (2007) yang kesemuanya mempunyai jalan cerita berbeza namun masih mengekalkan gaya Mamat Khalid.

Diberi jolokan pengarah yang sering mengutarakan kritikan sosial dalam setiap filemnya, kreativiti Mamat Khalid ada kalanya tidak terjangkau oleh pengarah lain. Begitu juga dengan filem terbarunya, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) yang dibuat dengan kos sebanyak RM1.5 juta.

Di kala pengarah lain masih lagi mempertaruhkan filem seram dan komedi murahan yang kelihatan semuanya sama, Mamat Khalid dengan beraninya mempertaruhkan KMBM yang mengembalikan nostalgia menerusi filem hitam putih. Ia merupakan filem hitam putih abad ini selepas filem Jantina yang dihasilkan pada tahun 1974.

KMBM yang diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn. Bhd., dan berlandaskan genre noir (disebut no-wa) itu menjadi filem tempatan pertama yang membuka tirai 2008 apabila ditayangkan pada 10 Januari ini.

Keberanian pengarah ini mempertaruhkan genre noir yang agak asing pada generasi muda zaman ini wajar dipuji dan untuk membikin filem hitam putih di abad baru ini, sudah pastinya memberikan cabaran yang cukup hebat buat Mamat Khalid.

“Memang saya mengaku, untuk membuat filem KMBM bukanlah semudah yang disangka kerana ia merupakan filem hitam putih dan saya mengangkat kembali genre noir yang amat saya minati.

“Namun, demi untuk pembaharuan dalam industri perfileman tempatan, saya sanggup mengharungi segala rintangan dan cabaran. Apa pun, saya puas hati dengan penghasilan KMBM yang semuanya hanya berpandukan teori daripada pembacaan dan menonton sahaja,” katanya.

Namun jelas Mamat lagi, apa yang ditampilkannya dalam KMBM tidaklah seratus peratus seperti mana konsep noir yang ditampilkan dalam filem Inggeris dan Eropah kerana dia mahu generasi muda hari ini memahami maksud genre filem itu.

“Saya percaya jika saya mengarahkan filem noir yang sebetulnya, ia tidak akan mampu menarik perhatian penonton. Disebabkan itu, saya ubahkan sedikit mengikut peredaran hari ini,” katanya yang ditemui selepas majlis pratonton filem berkenaan di MidValley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, KMBM masih lagi mengekalkan mood filem tahun 50-an seperti mana yang pernah disaksikan sebelum ini.

Sambung Mamat lagi, katanya, penghasilan KMBM juga untuk memberi pengiktirafan kepada pelakon terdahulu yang telah memberi satu impak besar dalam industri perfileman satu ketika dulu.

“Walaupun rancangan awal filem ini, pelakon lelaki utamanya adalah Allahyarham Hani Mohsin, namun, saya amat berpuas hati dengan lakonan Rosyam Nor sebagai Saleh dan dia berjaya membawakan watak itu dengan berjaya dan cukup menyakinkan sekali. Dia sememangnya pelakon berkarakter,” katanya yang turut mencipta skor muzik KMBM bersama Ahmad Kamal.

Bagi Rosyam Nor yang pernah dinobatkan sebagai Aktor Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi filem KL Menjerit, pengalamannya berlakon dalam KMBM, membuka lembaran baru dalam kariernya sebagai seorang pelakon.

“Saya menerima untuk berlakon dalam filem ini kerana saya suka akan mesej yang ditampilkan dalam filem ini. Jujurnya, semasa mendapat skrip, saya tidak faham dengan jalan ceritanya.

“Namun, apabila berada di set dan Mamat sendiri memberitahu saya secara terperinci, barulah saya faham dan meletakkan jiwa saya dalam karakter Saleh itu,” katanya.

Selepas menyaksikan KMBM, filem itu dikira mampu menghiburkan dan tidak keterlaluan dikatakan, ia adalah masterpiece Mamat Khalid.

KMBM sememangnya cukup menyakinkan dan genre noir yang ditampilkan memang menjadi dan lengkap segala rencah dari drama, komedi, misteri dan aksi.

Pertaruhan genre noir Mamat Khalid patut dipuji. KMBM berjaya mengembalikan nostalgia filem hitam putih yang sering kita tonton selama ini dan menimbulkan mood zaman itu sendiri. Dari awal sehingga habis, tidak langsung timbul perasaan bosan walaupun ada beberapa ketika adegan yang ditampilkan agak meleret.

Inilah baru dikatakan keberanian dan dengan semangat ini, tidak mustahil, industri perfileman kita mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Tontonlah KMBM dengan hati terbuka dan hayati mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini. Bak kata Mamat Khalid, dia menghasilkan filem atas dua perkara iaitu menghiburkan penonton dan dalam masa yang sama memberi mesej yang tersirat.

Sinopsis KMBM

KALA Malam Bulan Mengambang mengisahkan tentang misteri kehilangan beberapa pemuda Kampung Senduduk Rimbun setiap kali bulan mengambang.

Misteri itu cuba diungkaikan oleh seorang bekas wartawan, Saleh Mat Piah (Rosyam Nor). Ia bermula apabila tayar kereta Saleh, pancit setelah tertusuk rangka tangan yang sedang memegang sebilah keris. Saleh terpaksa menghantar keretanya ke bengkel Jongkidin di Kampung Senduduk Rimbun dan bermalam di pekan itu.

Sepanjang berada di pekan, Saleh menyedari penduduk di situ seakan-akan tidak menerima kehadirannya. Hal itu telah menarik minat Saleh apa lagi dia juga mendengar banyak perkara misteri berlaku di pekan itu.

Walaupun telah diberhentikan tugas sebagai wartawan tetapi naluri kewartawanan yang kuat dalam dirinya menyebabkan Saleh bertekad merungkai setiap kejadian misteri yang berlaku di pekan Senduduk Rimbun.

Apakah misteri itu dapat diselesaikan dalam filem ini? Semuanya akan terjawab apabila Kala Malam Bulan Mengambang berputar di pawagam bermula 10 Januari ini.

Turut membintangi filem hitam putih abad baru ini ialah Umie Aida, Corinne Adrienne, Bront Palarae, Kuswadinata, Mohd. Hitler Zami, Sofi Jikan dan Adam Corrie.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.