saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/01/2008

Jangan komersial pengurusan jenazah

SETIAP yang bernyawa pasti merasai mati. Perkataan ini memang biasa kita dengar. Malah, Allah turut mengingatkan kita tentang perkara ini dalam firman-Nya, Setiap yang bernyawa akan merasai mati. (Ali Imran: 185).

Pada masa yang sama, walau apa pun usaha yang dilakukan oleh manusia waima menyorok di dalam dinding atau konkrit yang kukuh pun, apabila tiba masanya ajal menjelma, kita akan dipanggil menghadap Allah.

Ini bertepatan dengan firman Allah, Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (al-Nisa’: 78)

Sebab itu, kita boleh menerima kematian sebagai ketentuan Allah. Cuma pengumuman kerajaan negeri Selangor yang memperkenalkan subsidi mengurus kematian sebanyak RM2,000 kepada penduduk negeri itu yang berusia 60 tahun dan ke atas serta orang kurang upaya (OKU), minggu lalu menarik perhatian.

Subsidi tanpa mengira agama dan kaum itu sedikit sebanyak melegakan pada masa masyarakat hampir pasti berhadapan dengan kenaikan pelbagai harga barang keperluan selepas menyambut tahun 2008.

Bagi masyarakat Islam, bantuan itu pastinya mengurangkan beban keluarga si mati. Secara umumnya, kos penyelenggaraan jenazah di Selangor ialah antara RM900 ke RM1,100.

Jumlah itu merangkumi harga kain kapan (RM200), upah gali kubur (RM200), urusan mandi dan mengkafan mayat (RM200), kenderaan jenazah (RM150 ke RM200), talkin dan solat jenazah (RM200), urusan kubur dan sewa tempat mandi jenazah (RM100).

Maknanya, tanpa wang sekitar RM1,000, sudah pasti waris yang kesedihan kerana kehilangan keluarga tersayang berpeluh memikirkan di mana mahu dicari duit bagi menguruskan jenazah ibu bapa atau keluarga mereka.

Lebih menyulitkan lagi, jika waris yang ditinggalkan itu balu yang tidak bekerja atau anak-anak yatim atau piatu. Wajarkah mereka dibebankan dengan soal kos sedemikian?

Sedangkan keutamaan yang perlu disegerakan selain menguruskan jenazah ialah menjelaskan hutang di mati jika ada. Ia dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda-Nya, Jiwa seseorang mukmin tergantung pada hutangnya hingga dibayarkan atas namanya. (riwayat Ahmad dan Tirmidzi).

Ini mengingatkan kita kepada dialog dalam filem Madu Tiga, ‘hidup susah mati pun susah’ yang diucap oleh Allahyarham Alias Congo atau lebih dikenali sebagai Abang Apek di Singapura.

Memanglah dalam dunia hari ini kita tidak boleh lagi hidup berdasarkan ikhlas semata-mata. Realitinya, tanpa wang kita tidak mampu menyara hidup diri dan keluarga. Malah, tidak keterlaluan jika disebut tanpa wang, masyarakat hanya memandang kita sebelah mata.

Sebagai Muslim adalah tanggungjawab fardu kifayah mengurus setiap jenazah iaitu memandi, mengkafan, menyembahyangkan dan menanamnya.

Justeru, langkah kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dilihat kena pada masanya.

Apa yang diharap pemberian subsidi ini berjalan lancar. Janganlah hendaknya wang tersebut hanya diperoleh berbulan-bulan selepas berlaku kematian. Pendek kata, selepas menerima borang yang dilengkapi dengan sijil mati serta lain-

lain pengesahan, wang subsidi itu diberikan kepada waris yang berkenaan.

Pada masa yang sama, janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan kos pengurusan jenazah sesuka hati berikutan subsidi oleh kerajaan negeri Selangor ini.

Bagi meringankan beban waris, umat Islam juga boleh menghapuskan budaya menerima upah untuk solat jenazah yang biasa disebut empat kepak RM2 yang diamalkan di sesetengah tempat.

Ini kerana solat jenazah sangat mudah tanpa perlu rukuk, sujud atau duduk tahiyat pun. Marilah kita menghayati sabda Rasulullah, Barang siapa yang melawat jenazah seorang Muslim kerana iman dan mencari ganjaran dan turut menyembahyangkan jenazah hingga mayat ditanam, maka sesungguhnya dia kembali dengan membawa dua kirat sedang tiap-tiap kirat itu banyaknya sebesar gunung Uhud. (riwayat Bukhari).

Bagi waris atau anak-anak lelaki yang ditinggalkan, apa yang lebih penting ialah mereka turut mempelajari kaedah solat jenazah jika kita benar-benar kasih dan cintakan mereka yang dipanggil Allah.

Janganlah kesedihan menyebabkan kita lemah sehingga tidak berdaya menunaikan solat tersebut kerana sabda Rasulullah, Tidak ada seorang (muslim) yang mati lalu disolatkan jenazahnya oleh 40 orang yang tidak menyekutukan Allah, melainkan Allah pasti menerima permintaan tolong mereka bagi si mati. (riwayat Muslim).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.