saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 18/01/2008

Kongsi khasiat Mahkota Dewa


SYED Hanasudin (kanan) dan Zulkernain Abdullah berkeyakinan bahawa produk minuman herba dari Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. mampu memberi kesan kesihatan yang positif kepada pengguna.


LAMBAKAN produk minuman herba dengan pelbagai jenama di pasaran negara, tidak sekali-kali dianggap saingannya, malah berkeyakinan penuh bahawa produk yang cuba diperkenalkan itu terbukti kebaikannya di dalam bidang perubatan dan telah digunakan secara tradisional sejak turun-temurun.

Menurut Pengarah Eksekutif Biopusaka Dewa Sdn. Bhd., Syed Hanasudin Syed Yassin, pengambilan Kopi Mahkota Dewa secara berterusan dikatakan mampu membantu mengurangkan penyakit darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.

Ikuti temu ramah wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, AHMAD ZAKKI JILAN dengan Syed Hanasudin dan seorang daripada dua rakan kongsi beliau yang juga selaku pengurus, Zulkernain Abdullah mengenai keistimewaan produk sulung keluaran syarikat mereka.

MEGA: Sejauhmanakah penglibatan saudara dalam dunia perniagaan dan bagaimanakah Kopi Mahkota Dewa yang diusahakan oleh Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. mula diketengahkan?

SYED HANASUDIN: Sebenarnya penglibatan saya dalam bidang bisnes telah bermula lebih 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya lebih kepada perniagaan untuk membekalkan kain-kain ela.

Namun, bisnes berkaitan produk minuman herba tercetus pada tahun 2004 selepas saya bertemu rakan lama, Ghani Yatmin, seorang yang berpengalaman luas dalam menghasilkan ubat-ubatan tradisional. Malah dia juga berpendidikan dalam bidang berkaitan dari Universiti Gadjamada, Indonesia.

Jadi, saya bertanya kepadanya mengapa tidak dihasilkan satu produk yang menggunakan buah Mahkota Dewa tetapi dalam bentuk yang lebih mudah diperoleh pengguna atau maksud lainnya, dipelbagaikan penggunaannya. Beliau mengakui ada hasrat tersebut tetapi oleh kerana kekurangan modal, hasrat itu terpaksa dipendamkan.

Lantas saya bersama dua rakan kongsi iaitu Zulkernain dan Ghani menubuhkan Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. pada Ogos 2005. Syarikat ini bertujuan memasarkan produk utama dan sulung syarikat iaitu Kopi Mahkota Dewa.

Bagaimanapun, sebelum minuman kesihatan ini dihasilkan, banyak penyelidikan dan kajian yang dilakukan demi mahukan hasil yang memuaskan hati pengguna dan bukan omongan kosong.

Langkah pertama yang dilakukan ialah kami menghantar buah Mahkota Dewa ini ke makmal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai, Johor untuk kajian seterusnya menghasilkan beberapa produk daripada buah ini.

Alhamdulillah, Kopi Mahkota Dewa akhirnya berada di pasaran pada pertengahan tahun 2007. Kopi Mahkota Dewa ini boleh diperoleh terutamanya di kedai-kedai kopi, sekitar Lembah Klang.

Bagi yang mahu mendapatkan terus, boleh juga menghubungi kami di talian 013-341 7639, 019-377 2799 atau 03-40414799. Malah kami juga sedang mencari pengedar-pengedar dari seluruh Malaysia.

Kini kami telah menghantar buah Mahkota Dewa untuk tujuan kajian dan pemprosesan di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Apakah faktor yang membuatkan anda memilih produk minuman herba sedangkan kita lihat terlalu banyak produk minuman herba di pasaran?

SYED HANASUDIN: Faktor utama syarikat kami mengeluarkan produk ini kerana yakin dengan khasiat dan keistimewaan yang ada pada buah Mahkota Dewa.

Lebih-lebih lagi, soal penjagaan kesihatan sama ada dalaman dan luaran semakin dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia, tidak kira yang sihat ataupun berpenyakit.

Perlu dijelaskan kepada pengguna di luar sana bahawa produk Kopi Mahkota Dewa lebih berfungsi sebagai kesan kesihatannya bukan kepada rasa. Sebab itulah bagi mereka yang biasa mengambil jamu, mereka akan rasa kelainan pada Kopi Mahkota Dewa iaitu ia lebih kepada rasa jamu daripada rasa kopi.

Kalau kita lihat, kebanyakan produk kopi yang terdapat di pasaran, tumpuan mereka adalah pada rasa berbanding khasiatnya. Namun, produk minuman herba Kopi Mahkota Dewa keluaran Biopusaka Dewa Sdn. Bhd. mengutamakan khasiatnya untuk kesihatan.

Di samping itu, kalau kita lihat produk ini mampu dimiliki oleh semua golongan memandangkan harganya yang tidak membebankan pengguna serta di dalam setiap peket mengandungi bahan herba yang lain seperti; pule pandak (Reuvolfia Serpentina), kayu manis (Cinnamonan Burmani), kayu angin (Usnea Misaminensis) dan beberapa lagi.

Boleh saudara terangkan serba ringkas tentang pokok Mahkota Dewa dan keunikannya untuk pengetahuan pengguna Malaysia?

SYED HANASUDIN: Pokok Mahkota Dewa atau nama saintifiknya Phaleria Macrocarpa juga dikenali sebagai satu tanaman ubatan di Indonesia. Pokok ini dikatakan berasal dari wilayah Papua New Guinea atau Irian Jaya. Bagi masyarakat di sana pokok ini dianggap anugerah dari tuhan kerana khasiatnya yang pelbagai.

Fungsi perubatan dan khasiat pokok ini amatlah pelbagai. Dalam perubatan tradisional, pokok ini digunakan untuk pelbagai tujuan kesihatan seperti melancarkan perjalanan darah, meningkatkan tenaga, anti-oksidan, membantu mengurangi rasa sakit bila bengkak dan sebagainya.

Di Jawa, ia dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti; Makuto Rojo, Makuto Ratu, Obat Dewa, Pau (Obat Pusaka) dan Crown of God.

Bagaimana dengan cabaran dalam memperkenalkan sesuatu produk yang dikira masih baru ini?

SYED HANASUDIN: Itu memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan waima produk kita itu masih baru ataupun sudah lama di pasaran. Cabaran memang dihadapi, cuma jenisnya yang berbeza-beza.

Bagi kami cabaran persaingan itu memanglah hebat tetapi dengan keyakinan bahawa produk Kopi Mahkota Dewa boleh dikatakan mempunyai 75 peratus herba, di situlah kelebihan kami.

Malah yang pasti kopi ini tidak mengandungi bahan pengawet serta pewarna tiruan. Pun begitu, sekiranya selepas pengambilan minuman ini, pengguna mengalami kesan sampingan yang agak ketara, seeloknya jangan takut tetapi kurangkan kuantiti pengambilannya daripada satu peket kepada setengah peket.

Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Sirim Berhad yang akan membantu mengadakan promosi sepanjang 2008.

Apakah perancangan masa depan saudara untuk Biopusaka Dewa Sdn. Bhd.?

SYED HANASUDIN: Alhamdulillah, selepas setengah tahun produk Kopi Mahkota Dewa berada di pasaran, banyak respons positif yang kami terima. Lantaran itu, kami giat melakukan promosi bagi mengembangkan pasaran ke seluruh Malaysia.

Pada peringkat awal ini, kami cuba menyasarkan orang Jawa yang berada di negara ini memandangkan mereka lebih mengetahui khasiat buah Mahkota Dewa.

Kami juga merancang untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan buah Mahkota Dewa seperti dalam bentuk jus dan kapsul. Perancangan lebih jauh seperti penghasilan barangan kosmetik daripada buah Mahkota Dewa, minyak urut daripada akar buah Mahkota Dewa dan akhir sekali spa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.